Sunday, July 15, 2012

Arab Spring satu bencana?

Arab Spring ialah gerakan revolusi rakyat di kebanyakan negara timur tengah yang tidak puas hati dengan pemimpin sedia ada. Kebanyakan berkaitan isu hak asasi manusia, kezaliman dan korupsi.

Sehingga hari ini sebanyak 4 negara berjaya menjatuhkan pemimpin korup sedia ada iaitu Tunisia, Mesir, Libya dan Yaman. Sebuah negara lagi menunggu untuk mengikut jejak langkah yang sama iaitu Syria.

Semua kebangkitan ini bermula dengan demonstasi aman dan ada sesetengahnya berakhir dengan pertumpahan darah. Ini adalah harga yang perlu dibayar untuk masa depan mereka yang lebih baik.
Sesetengah pemerhati menyifatkan Arab Spring ialah suatu fenomena yang positif tetapi ada juga mereka yang menganggap perkara ini adalah satu bencana besar terhadap umat Islam.

Walau apapun anggapan mereka, kita perlu menghormati pendirian majoriti rakyat sesebuah negara kerana itu melibatkan masa depan mereka.

Kalau kita kaji zaman gelap barat pun, perubahan yang mereka lakukan perlu dibayar dengan darah untuk sampai ketahap negara maju zaman sekarang.

Sirah para nabi juga begitu, setakat ini tiada kita dengar dan baca jalan ceritanya begitu aman tanpa sebarang pengorbanan.

Kenapa apabila tiba masa umat Islam ingin bangkit dan berubah ke arah yang lebih baik ada suara-suara sumbang mengatakan ini propaganda barat dan mainan zionis?

Kalaulah negara yang mengalami kebangkitan rakyat itu pemimpinnya bagus, mengamalkan agama sepenuhnya, tidak korup dan kebajikan rakyat terjaga maka mungkin saya bersetuju ini adalah propaganda jahat barat.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Negara itu kebajikan rakyatnya teruk, rompakan kekayaan negara berleluasa, kezaliman kepada rakyat yang menegur pemimpin dan salah guna kuasa.

Baru-baru ini sempat menonton Majalah Islam di TV Al-Hijrah yang mengulas isu ini. Kebanyakan mereka yang ditemuramah memberi respon negatif terhadap Arab Spring. Hairan juga kenapa rancangan itu tidak menemuramah Dr.Maszlee sebagai individu yang agak pakar dalam bidang ini.

Ada juga yang mengatakan tengoklah apa yang berlaku pada rakyat mesir sekarang? (pada masa itu masih dalam proses pemilihan Presiden baru) Rakyat hidup lagi susah, Harga makanan meningkat naik. Setiap masa ada sahaja demonstrasi di Medan Tahrir. Keadaan jadi lebih buruk dari zaman Mubarak.

Itu adalah komen-komen mereka yang tidak berada di sana dan membaca berita dari saluran yang memainkan propaganda mengatakan perubahan belum tentu boleh membawa keadaan negara jadi lebih baik. Propaganda ini suka dimainkan negara yang takut rakyat bangkit membuat perubahan dalam pilihanraya termasuk Malaysia.

Akan tetapi dengan Kuasa Allah yang Maha Agung, pemilihan Presiden Mesir yang baru memihak kepada pihak Pro Islam iaitu Ikhwan Muslimin. Saban hari di Facebook dikongsi gambar memuji bagusnya Presiden Mesir yang baru. Perancangan perubahan dan sifat zuhud Presiden Morsi membuatkan ramai orang bermimpi untuk memiliki pemimpin seperti itu di masa hadapan.

Jadi apa yang buruk dan bencananya Arab Spring? Sudah tentu perlu ada pengorbanan yang perlu dibuat untuk menuju ke arah masa depan negara yang lebih baik.
"No Sacrifice, No Victory." 

No comments: