Wednesday, August 1, 2012

Membunuh tanpa kita disedari

Itulah kepahitan makna tajuk yang perlu ditelan malam ini. Tersentak dengan tazkirah ringkas yang diberikan seorang ustaz sebelum tarawikh tadi maka aku berkongsi apa yang mengejutkan.

Tanpa kita sedari kita sebenarnya berpotensi untuk membunuh seseorang iaitu dengan sikap bakhil kita sehingga menyebabkan seorang insan di dunia ini terseksa lapar sampai ada yang mati. Kalau kita rajin memderma mungkin kita mampu menyelamatkan mereka yang kelaparan.
Dalam Surah Al-Baqarah, Allah telah menyebut tentang kewajipan berpuasa ke atas umat Islam SELEPAS Allah menceritakan tentang hukuman bunuh dan Qisas.

Hikmahnya ialah supaya kita takut untuk membunuh nyawa insan lain dan hormati nyawa mereka tetapi tanpa kita sedari kita juga berpotensi untuk jadi pembunuh secara tidak sedar hasil dari sikap kita yang pentingkan diri sendiri!

Puasa sebenarnya mengajar kita peka dan ambil tahu dengan keadaan orang sekeliling kita. Kita akan jadi peka dengan keperitan mereka yang susah untuk makan. Kita jadi mudah terasa sayu dengan kelaparan yang ditanggung disebabkan kita juga telah merasa lapar selama sebulan iaitu berpuasa di siang hari.

Hebatnya Allah mendidik hamba-Nya dengan tidak menghukum hamba-Nya yang bakhil terhadap orang fakir miskin tetapi memberi rasa dengan diwajibkan puasa selama sebulan ke atas setiap orang Islam. Semoga puasa itu dapat menyedarkan orang beriman tentang peri pentingnya sikap cakna dan ambil tahu orang sekeliling.

Rezeki yang Allah beri adalah untuk dikongsi dengan mansuia lain. Kesenangan adalah satu bentuk ujian untuk melihat siapa diantara hambanya yang bersyukur dengan membantu fakir miskin.

Puasa + Baca Al-Quran dengan memahami makna + lihat gambar di atas sudah cukup untuk buat aku jadi serik untuk menjadi hambanya yang bakhil kedekut!

Ya Allah, jadikan aku manusia yang beriman, bersyukur dan sedar tentang tanggungjawab aku untuk membantu hambamu yang lain.

No comments: