Kisah

Kisah manusia yang berjiwa muda dan bebas...

Sunday, October 27, 2013

Travelog di Bumi Iraq Siri 5

Catatan syiah yang ku kenali siri 5.

Tanggapan buruk dan tuduhan melampau penganut syiah terhadap para sahabat r.a adalah perkara yang sudah dalam makluman sejak sekian lama. Lantaran itu saya sentiasa mengambil sikap berhati-hati untuk membincangkan topik ini bersama mereka. 

Ibarat anak dagang di rantau orang, kena pandai membawa diri. Apatah lagi di Kuliyah Perubatan dan Pergigian University of Baghdad ketika itu, bukan setakat saya anak Malaysia tunggal malah saya satu-satunya pelajar bukan Arab yang wujud. 

Mungkin sahabat-sahabat berpendapat, kebenaran wajib dizahirkan walau di mana kita berada. Ya! Saya akui hakikat dan tuntutan itu tetapi kita perlu berpijak di bumi nyata. 

Siapalah kita yang bersendirian di rantau orang untuk mengubah suatu anutan dan pegangan yang telah diwarisi dari datuk nenek moyang mereka lagi. 

Lantaran itu saya lebih bertindak sebagai pencari fakta dan maklumat untuk dibawa balik ke tanah air dan di sinilah medan kita untuk menyatakan kebenaran.

Walaupun dalam keadaan beringat, akhirnya hari panas dan tegang berlaku juga tanpa diundang. Seorang teman (tentunya syiah) yang tinggal di pinggir Baghdad berkali-kali memaklumkan keluarganya sangat ingin untuk bertemu dan berkenalan dengan saya. 
Undangan mereka saya tunaikan sebaik sahaja selesai menghadapi peperiksaan akhir di tahun keempat pengajian. Sekitar bulan Julai 1997, ketika cuaca panas membahang dengan suhu melebihi 45°C, di satu penempatan syiah dipanggil Hayyu Adil.

Sebagaimana lazimnya, air sejuk di dalam teko akan diangkat sebagai memuliakan tetamu sebelum kita dijemput menikmati hidangan tengah hari. 

Bersama beberapa orang abang teman saya, kami berbual-bual sebelum hidangan tengah hari disiapkan. Bertamu ke rumah orang Arab, jangan mimpi kita nak tengok ahli keluarga wanita mereka, ini adat yang mereka pegang samada sunni atau syiah.

Tanpa diduga, keluar satu soalan dari mulut seorang abangnya, “Azman, kamu di Malaysia orang Islam yang baik. Apa pandangan kamu tentang sahabat-sahabat Rasulullah?” 

“Sahabat Rasulullah ramai, yang mana satu saudara maksudkan?” soal saya balik sebenarnya dengan tujuan ingin mengelak. 

“Muawiyyah!” jawabnya tegas. 

“Ya Allah! Cari penyakit sungguh aku hari ini...”

“Kalau jawapan saya tak sependapat dengan saudara semua, bolehkah kita sama-sama berlapang dada menerimanya?” Soal saya lagi. “Tak apa, kami nak dengar saja apa pandangan Muslim di Malaysia.” Saya lega...

Lalu saya memulakan bicara. Bagi saya para sahabat Rasulullah s.a.w adalah generasi terbaik selepas Rasulullah. Merekalah generasi yang telah mengorbankan masa, tenaga, harta dan nyawa demi dakwah Islam yang diperjuangkan Baginda Rasul. 

Setiap mereka ada fungsi dan kehebatan masing-masing. Ali adalah gedung ilmu, Uthman adalah gedung kekayaan ummat, Umar dengan keberaniannya dan Abu Bakar dengan kebenarannya. Semoga Allah meredhai mereka semua. 

Rasulullah juga berpesan; “Ikutlah sunnahku dan sunnah para sahabatku.” Nabi yang mulia juga turut berpesan; “Jangan kamu caci-maki para sahabatku.” Kemulian mereka dengan kita terlalu jauh sehingga Nabi pernah bersabda mafhumnya; Kalau kita sedekahkan emas sebesar Bukit Uhud sementara sahabat nabi hanya bersedekah secupak emas, sedekah kita tidak akan dapat menandingi para sahabat. 

Memang saya akui terdapat peristiwa-peristiwa yang menyedihkan berlaku selepas kewafatan Rasulullah yang melibatkan para sahabat Nabi seperti Peperangan Siffin dan Perang Jamal, yang kita telah pelajari kisahnya. 

Tetapi kita bukanlah hakim untuk menentukan siapa benar dan siapa salah. Tidak pernah saya ketemu seorang ahli sejarah Islam yang muktabar apabila membicarakan hal kedua-dua peperangan ini membuat kesimpulan dengan menentukan siapa benar dan siapa salah.

Panjang lebar saya bersyarah. Kemudian di sambung; “berhubung dengan Muawiyyah, pendirian kami, beliau juga adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang berjasa besar kepada Islam dan perjuangan Islam. Jasa Syaidina Ali k.w tentunya lebih besar.” 

Bila saya menyebut “Muawiyyah adalah salah seorang sahabat Rasulullah...” sangat ketara air muka mereka berubah dengan mendadak, nafas menjadi turun naik menahan kemarahan.

Walaupun begitu, saya cuba menyambung lagi, “Khalifah Umar Abdul Aziz pernah ditanya pandangannya tentang Muawiyyah, lalu Umar Abdul Aziz menyatakan... debu-debu yang melekat di hidung kuda Muawiyyah yang berjihad di jalan Allah lebih mulia dari batang tubuh manusia yang bernama Umar Abdul Aziz...”

Saya tak sempat menjelaskan lebih lanjut, dengan nada tinggi mereka membantah…

“Azman! Kamu memuji Abu Bakar, sedangkan Abu Bakar adalah perampas!” 

“Yaa akhie, apa yang Abu Bakar telah rampas?” 

“Dia telah merampas hak Imam Ali untuk menjadi khalifah!” 

“Silap tu wahai saudaraku, tahukah kamu bagaimana kaedah pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah? Abu Bakar dipilih secara syura di kalangan kaum muslimin dan di bai’ah oleh mereka semua termasuk Imam Ali k.w.” 

“Mana adil Abu Bakar menjadi khalifah sedangkan Imam Ali lebih baik dan lebih layak?” 

“Apa ukuran yang kamu guna wahai saudaraku untuk mendakwa bahawa Imam Ali lebih layak?” 

“Imam Ali telah Islam semenjak kanak-kanak lagi, dia tidak pernah sujud kepada berhala. Abu Bakar Islam ketika telah dewasa dan dia pernah sujud kepada berhala.” 

“Astaghfirullah... mengucap saudaraku. Silap besar kamu berfikiran begitu. Aturan Allah menentukan perutusan Nabi berlaku ketika Ali masih kanak-kanak sementara Abu Bakar telah dewasa. Sebagaimana Ali adalah generasi yang paling awal beriman, begitulah juga Abu Bakar. Tuduhan kamu bahawa Abu Bakar adalah penyembah berhala merupakan tuduhan keji dan batil terhadap sahabat Nabi yang agung. Abu Bakar seorang ‘hanifah’. Dia tidak menganut agama penyembahan berhala walaupun ketika zaman jahiliah.” 

“Azman! Imam Ali seorang yang sangat berani, dia yang tidur di atas tempat tidur Nabi ketika hijrah dalam keadaan rumah Nabi dikepung kaum musyrikin!” 

“Yaa, tepat sekali. Syaidina Ali adalah seorang yang sangat berani. Dialah yang memegang panji-panji tentera Islam ketika pembukaan Khaibar. Tetapi kamu jangan nafikan bahawa Abu Bakar yang menemani Nabi dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Saudaraku, siapa yang mereka-reka tuduhan yang begini buruk terhadap Abu Bakar?” 

“Ianya diajar oleh Imam-Imam kami ahlul bait!” 

“Saya tak percaya! Imam mana yang ajar begitu? Contohnya Imam Ja’far as Sadiq, salah seorang Imam 12. Betul dia cucu Imam Ali k.w dari sebelah bapanya, tapi dia juga adalah cicit Abu Bakar dari sebelah ibunya. Mustahil dia akan menuduh begitu terhadap moyangnya sendiri!”

Buntu bab Abu Bakar, mereka beralih kepada Umar.

“Umar juga perampas! Dia seorang penyembah berhala yang kufur di zaman jahiliah. Pernah membunuh anaknya sendiri. Manusia sebegini kamu akui sebagai Khalifah Rasulullah?” 

“Saudaraku! Islamnya seseorang akan memadamkan segala kisah silamnya. Apa hak kamu semua untuk mengungkit semua ini? Lebih-lebih lagi Umar seorang ‘Ahli Badar’ yang dijamin syurga oleh Rasulullah. Dia juga dilantik sebagai khalifah dengan bai’ah kaum Muslimin termasuk dibai’ah oleh Imam Ali k.w. Sebagaimana Imam Ali syahid ditikam, Umar juga seorang syuhada’. Siapa kita nak mengeji dan menghukum Umar sebagai kufur. Dia adalah khalifah yang sangat adil, memikul gandum untuk fakir miskin dengan bahunya sendiri. Wafat tanpa meninggalkan apa-apa harta.”

Mereka beralih pula kepada Muawiyyah bin Abi Sufian r.a.

“Celaka atas kamu dan laknat Allah ke atas Muawiyyah yang kamu iktiraf sebagai sahabat Rasulullah! Bagaimana manusia yang kamu iktiraf sebagai sahabat nabi yang berjasa besar kepada Islam boleh memerangi seorang ‘Waliyullah’? Ini manusia pembunuh! Kufur! Laknat! Anaknya juga seorang pembunuh! Semoga Allah mencampakkan dia ke dalam neraka jahannam!”

Saya melihat kepanasan telah mendidih, kata-kata yang keluar adalah dari luapan emosi marah yang melampau. Lebih baik saya mengundur diri.

“Saudaraku, saya telah mengingatkan diawal tadi. Pendirian saya akan bertentangan dengan saudara semua, tapi saudara nak dengar juga. Saya di sini sebagai tetamu. Aib bagi saya untuk berbalah dengan tuan rumah. Izinkan saya berundur. Ma’assalaamah...”

Pergilah diriku tanpa sempat menjamah makan tengah hari.

============================

Tulisan ini dipetik daripada Facebook Dr.Azman Ibrahim.

Oleh kerana kisah pengembaraan beliau sangat menarik maka saya abadikan dalam blog ini untuk tatapan kita semua di masa akan datang.

InsyaAllah menurut kata beliau travelog ini akan dibukukan dalam masa terdekat. Sudah tentu ceritanya lebih lengkap, teratur, terperinci dan menarik. Sama-sama kita tunggu penerbitannya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...