Sunday, December 8, 2013

Nelson Mandela menziarahi makam tokoh ini sebaik bebas dari penjara 30 tahun

Kematian tokoh hebat Afrika dirasai hampir seluruh penduduk dunia. Dia adalah tokoh yang membebaskan Afrika daripada krisis atas dasar kulit. Dia juga adalah tokoh yang menghormati penganut agama Islam di Afrika.

Maka tidak hairanlah jika dia berjaya menukar Afrika Selatan kepada sebuah negara yang hebat dan berdaya maju.
Antara tulisan mengenang jasa tokoh hebat ini saya tertarik dengan tulisan Dr. Hafidzi Mohd Noor di Facebook beliau:
Kematian Nelson Mandela mengingatkan kita kepada seorang lagi tokoh yang mungkin tidak dikenali di luar dari negara jiran Indonesia dan Afrika Selatan.
Tokoh ini digelar sebagai 'Tuanta Salamaka' dan disebut oleh Nelson Mandela sebagai 'Putera terbaik pernah dilahirkan Afrika Selatan'. 
Sebaik bebas dari tahanan selama 30 tahun, Nelson Mandela menziarahi makam tokoh ini. 
Beliau tidak lain adalah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al Makassari.
Berasal dari Gowa, Sulawesi dilahirkan pada tahun 1626 dan meninggal dunia pada tahun 1699 di Afrika Selatan. 
Apabila Gowa ditakluk oleh Belanda, Syeikh Yusuf Tajul Khalwati berhijrah ke Banten. Beliau telah diangkat menjadi qadhi dan di ambil sebagai menantu oleh Sultan Ageng Tirtayarsa. 
Di sinilah berlakunya episod paling sedih dalam sejarah umat Islam Nusantara apabila baginda Sultan (ayah) berperang dengan anaknya Sultan Haji yang memihak kepada Belanda. 
Kerajaan Banten dikalahkan dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati di tangkap dan dibuang ke pulau Ceylon (Sri Langka) pada tahun 1684. 
Keberadaan Syeikh Yusuf menjadi tarikan para jemaah haji yang singgah untuk belajar dari beliau. 
Belanda menganggap beliau sebagai ancaman kepada tanah jajahannya di Nusantara telah menghantar Syeikh Yusf lebih jauh iaitu ke Afrika Selatan pada tahun 1693. 
Di sanalah belaiu meninggal dunia pada tahun 1699. Sumbangannya kepada perkembangan dakwah Islam di Afrika Selatan sangat besar. 
Beliau adalah sosok ulama pejuang Nusantara yang mewakili ratusan ulama dan pejuang dari Nusantara yang diasingkan oleh Belanda pada kurun ke 17 dan 18 M. (Di antara mereka Syeikh Abdullah Qadhi Abdul Salam, Tuan Syed Alawi, Syeikh Madura dll). 
Perjuangan ulama dan mujahid dari seluruh nusantara di Afrika Selatan ini wajar dihayati dan dikuasai oleh umat Islam. Ia adalah bahagian yang integral dan tidak terpisah dari warisan perjuangan Islam bukan sahaja di nusantara bahkan seantero alam islami.
Lumrah orang yang berilmu dibuang ke laut pun boleh jadi pulau. Ke mana sahaja mereka dibuang tetap akan memberi manfaat kepada orang sekeliling.

Ini kerana matlamat mereka satu iaitu kebahagian di akhirat yang kekal abadi.