Saturday, October 9, 2010

UPSR format baru dan mansuh PMR

Keputusan Kementerian Pelajaran untuk menukar Format peperiksaan UPSR dan memansuhkan PMR diganti dengan penilaian sekolah adalah satu tindakan yang tepat memandangkan sistem pendidikan berasaskan peperiksaan (exam oriented) semata-mata tidak mampu melahirkan pelajar yang keratif dan kritis di masa hadapan. Maka tidak hairanlah mengapa negara kita tidak mampu melahirkan pekerja yang inovatif dalam memacu pembangunan negara.

Rakyat minda kelas pertama hanya akan menjadi satu fantasi jika masih meneruskan sistem pemdidikan yang ada berteraskan penilaian peperiksaan semata-mata. Kita perlukan masyarakat yang lebih daripada itu. Otak manusia mampu pergi lebih jauh jika kita kreatif.

Jadi sistem pendidikan yang perlu ialah yang mampu melahirkan sebanyak mungkin manusia kreatif. Aku selaku rakyat yang pernah melalui sistem pendidikan di Malaysia ini merasakan ada sesuatu yang tidak kena selepas memerhati kawan-kawan dan diriku.

Persoalan yang aku selalu tanya ialah, kenapa kita tidak mampu dalam banyak perkara mencipta produk jenama Malaysia yang bermutu dan diyakini dunia. Contohnya, walaupun kita ada kereta keluaran tempatan, tetapi kenapa masih menempel rekaan dan teknologi daripada Jepun, Korea, dan Eropah? Malahan, jika kita tolak duti import kereta luar dan dibandingkan dengan kereta tempatan maka harga kereta tempatan lebih mahal dengan kualiti rendah. Ini adalah salah satu contoh daripada berpuluh-puluh lagi contoh yang boleh difikirkan.


Negara memerlukan manusia kreatif yang mampu menghidangkan rakyat dengan produk keluaran negara yang murah, berkualiti dan diyakini dunia. Segalanya bermula dengan mengubah sistem pendidikan negara bermula dari sekolah rendah.

No comments: