Tuesday, August 29, 2017

Apabila agama dipersenda


Mempersenda agama adalah satu kebiasaan bagi masyarakat barat terutama agama Kristian. Lihat Filem dan video yang tersebar, agama menjadi bahan lawak.

Perkara ini terjadi apabila dari sudut logik agama kristian tidak selari dengan tahap pemikiran mereka.

Sunday, August 27, 2017

Negara hidup beragama lebih rendah kadar bunuh diri

Ada terbaca satu kenyataan tentang satu kajian berkenaan negara yang rakyatnya mengamalkan hidup beragama lebih rendah kadar bunuh diri.

Hasil kajian itu tidak pelik kerana mereka yang hidup beragama percayakan ada kehidupan selepas mati dan dunia ini hanya satu tempat persinggahan.


Islam pula mengajar umatnya yang dunia ini satu tempat ujian. Di sini Allah menguji hambanya untuk menilai dan ditempatkan di syurga atau neraka yang kekal abadi.

Jadi bagi mereka yang hidup beragama segala masalah di dunia ini adalah satu ujian.

Bagi mereka yang tidak beragama pula dunia ini adalah segala-galanya. Jika mereka merasa susah dan tertekan dengan dunia maka lebih baik mati. Jadi bunuh diri adalah jalan terbaik dan terpantas.

Mereka menganggap, selepas bunuh diri segala masalah akan hilang. Tiada lagi kehidupan untuk hadap segala masalah yang timbul.

Sebenarnya lebih beruntung mereka yang hidup beragama. Hidup di dunia jika susah, akan ada kehidupan lain yang tiada masalah dan kekal abadi. Jadi mereka cuba hidup yang terbaik di dunia untuk kehidupan yang lebih baik dan kekal abadi.

Alangkah ruginya mereka yang tidak beragama. Sudahlah hidup di dunia susah. Kemudian ambil pula keputusan untuk bunuh diri dengan mematikan dirinya secara Total.

Kenapa perlu pilih kepercayaan yang negatif jika ada kepercayaan yang lebih positif?

Seronoknya sebuah kehidupan adalah kerana adanya harapan dan agama adalah pemberi harapan yang terbaik untuk manusia.

Friday, August 25, 2017

Logik akal dalam beragama

Jika kita pernah menonton Filem atau Video di internet yang mempersenda orang yang percaya kepada tuhan dan agama, perasaan pertama yang terlintas dalam diri adalah emosi marah.

Tetapi persoalan atau hujah yang ditimbulkan itu kita sendiri pun tidak ada jawapan yang padu.

Kita marah sebab kesesatan mereka atau sebab kita tidak tahu untuk jawab macam mana?

Kita tahu dan percaya kepada kebenaran tetapi kita tidak mampu berhujah menerangkan kebenaran.

Itu adalah kelemahan utama umat Islam sekarang.

Apabila kita tiada jawapan padu untuk dihujahkan maka jawapan paling ajaib yang akan keluar dari mulut kita ialah "Tiada logik dalam beragama."

Paling melucukan adalah apabila dikorek dan dicari sebenarnya ada jawapan kepada hujah golongan tersebut.

Hakikatnya memang ada logik akal dalam beragama tetapi kita sebenarnya yang gagal mencari jawapan.

Sama ada kita malas berfikir, malas membaca atau malas mengkaji.

Tuhan yang Maha Pencipta adalah Maha Bijaksana. Jika mahu diturunkan bala sekalipun ada logik sains disebalik punca berlakunya bencana alam tersebut.

Sebab itu di dalam Al-Quran banyak disebut "Adakah kamu tidak berfikir?"

Thursday, August 17, 2017

Akal perlu dibasuh dengan agama

Pernah jumpa istilah 'Brainwash'?

Jika terjamah terus ke dalam bahasa melayu bermaksud 'Basuh Minda' atau 'Basuh Akal'.

Apa yang penting tujuannya ialah untuk memaksa perubahan pendapat. Memaksa seseorang menerima idea tertentu.

Ada beberapa cara yang mudah iaitu ulang dengar, paksa dengar, ulang tayang dan bermacam kaedah lain.


Isi idea itu ditambah perisa pula dengan cerita, sejarah dan kaitan dengan kehidupan kita sehinggalah pendengar betul-betul hadam dan percaya malah sampai tahap YAKIN.

Ironinya jika idea itu benar maka akan memberi manfaat kepada seseorang yang dibasuh akal itu. Masyarakat juga akan mendapat kesan positif.

Jika idea itu salah maka pendengar itu akan menjadi 'hamba' kepada mereka yang mencipta idea itu.

Apa yang ingin disampaikan di sini ialah, pemahaman berkenaan syurga, neraka, pahala dan dosa sepatutnya dibasuh akal 'Brainwash' kepada majoriti masyarakat sejak kecil lagi supaya mereka takut melakukan kejahatan.

Kenapa perlu sejak dari kecil? Sebabnya sesi basuh akal lebih mudah berkesan kepada budak kecil memandangkan otak mereka mudah menyerap macam span dan tidak perlu paksaan.

Bila sudah besar agak sukar untuk basuh akal kecuali dengan paksaan.

Bila masyarakat YAKIN dengan dosa pahala, secara tanpa sedar akan tertanam dalam akal sehingga akal menjadi sangat kuat untuk melawan nafsu.

Perasaan TAKUT dan YAKIN melebihi perasaan seronok melayan nafsu.

Apabila ini berlaku kita akan dapat melihat generasi yang:
  • Takut meninggalkan solat.
  • Takut meninggalkan puasa.
  • Takut melakukan zina.
  • Takut mencuri
  • Takut merogol anak sendiri
Secara tanpa sedar mereka akan takut dengan apa yang telah dibasuh akal mereka sejak kecil.

Kesimpulannya, hantarlah anak kita ke sekolah agama sejak dari kecil supaya akal mereka dapat dibasuh dengan betul dan dengan benda-benda yang bermanfaat.

Wednesday, August 16, 2017

Apabila bapa sanggup noda anak sendiri

Aku terkejut baca berita dikatakan seorang bapa dalam masa 2 tahun sanggup menodai beratus kali anak perempuannya sendiri.

"Seorang bapa yang berusia 37 tahun disabitkan dengan kesalahan rogol dan meliwat sebanyak 600 kali ke atas anak perempuan yang berusia 15 tahun."

Jika sabit kesalahan akan dipenjara 3000 tahun.


Macam mana perkara ini boleh terjadi. Di mana kewarasan akal seorang bapa yang beragama Islam untuk memusnahkan masa depan anak sendiri?

Rasanya ada banyak lagi cara lain untuk puaskan nafsu sendiri. Tak perlulah sampai musnahkan masa depan orang lain terutama darah daging sendiri untuk kepuasan nafsu.

Zaman sekarang ada 1001 cara untuk puaskan nafsu tanpa perlu melibatkan orang lain, jadi kenapa perlu pilih jalan durjana itu?

Aku risau jika perkara ini berleluasa. Ada pernah saudara sebelah emak bagitau aku ada banyak kes haruan makan anak yang tidak dilaporkan. Kononnya mahu jaga maruah keluarga, jadi jenayah ini didiamkan.

Punca utama ialah agama. Kalau solat selamba tinggal. Al-Quran tak tahu baca tapi beragama Islam memang mudah syaitan menghasut.

Sejak kecil akal perlu diBASUH dengan agama supaya takut melakukan dosa besar.

Tuesday, August 15, 2017

Contoh melalui teladan

Jika kita perjuangkan keadilan dan menentang korupsi sepatutnya apa yang kita cakap itu dibuktikan dengan perbuatan. Walaupun kemungkinan orang yang buat salah itu ialah orang kita sendiri. 

Jika orang kita sendiri yang terlibat dengan korupsi walaupun belum dibuktikan bersalah tidak sepatutnya kita nampak macam lebih menyokong suspek dan marah kepada pelapor.

Apa yang lebih menyedihkan pelapor itu memperjuangkan hak rakyat.

Ini yang berlaku di Pulau Pinang.


Alasan yang paling lucu ialah, "SPRM lebih fokus kepada ikan bilis dan tidak kepada ikan besar (merujuk kepada isu 1MDB)."

Tidak kiralah ikan bilis atau ikan paus, 2-2 tetap salah. Kita sebagai pejuang kepada keadilan dan menentang korupsi sepatutnya tidak menyebelahi mana-mana kes walaupun ianya dianggap kecil.

Pemimpin Pakatan sepatutnya menunjukkan petanda yang jelas kepada orang bawahan yang mereka tidak akan berkompromi dengan korupsi walaupun ianya kecil.

Daripada kes kecil ini akan menampakkan kesan lebih besar dimata masyarakat.

Jangan memilih kes dan membiarkan kes-kes kecil terlepas pandang.

Apa yang lebih menghairankan kenapa Pulau Pinang dilihat banyak terpalit dengan kes korupsi berbanding Selangor?

Kenapa Pulai Pinang tidak berhati-hati mengurus negeri untuk tidak terjerat dengan permainan penguasa?

Sama ada mereka betul-betul bersalah atau tidak kita serahkan kepada pihak berkuasa. Kalau tidak bersalah kenapa perlu melatah kan?

Monday, August 7, 2017

Pesan khatib solat jumaat yang padu

Semasa mendengar khutbah solat jumaat yang lepas. (Bagus sebab tak tidur...Hihi) Ada satu pengajaran yang amat berguna mahu dikongsi dengan pembaca sekalian.

Ia mengisahkan tentang percanggahan pendapat antara sahabat nabi berkenaan arahan yang mereka terima dan mereka melakukan 2 benda berbeza.

Perkara ini berlaku pada zaman Nabi ketika Nabi masih hidup.


Nabi tidak marah kepada 2 kumpulan yang berbeza pendapat itu. 2-2 tidak salah dalam menafsirkan arahan Nabi itu.

Jadi kesimpulan yang dibawa oleh khatib ialah untuk kita umat Islam meraikan perbezaan pendapat selagi mana ia dalam kerangkan Islam yang dibenarkan.

Tidak perlulah kita bergaduh, jumud dan fanatik dengan sesuatu pendapat, guru atau ustaz sehingga bergaduh sesama sendiri.

Selagi mana ia tidak berkaitan aqidah dan hukum yang disepakati ulama maka pilihlah untuk ikut pendapat yang kita suka.

Jangan cerca mereka yang tidak ikut sama dengan kita. Hormati dan anggaplah itu sebagai keindahan Islam yang membuka dan memudahkan umatnya untuk beramal dengan Islam.

Tuesday, August 1, 2017

Drama Melayu lemahkan emosi

Hidup jadi lesu, tertekan dan semua perkataan yang keluar dari mulut adalah negatif.

Ada saja benda yang tidak kena dengan kehendak kita terus mencarut dan mencaci.

Bangun daripada tidur, diri melangkah tiada semangat.


Ada kawan FB bagitau yang Drama Melayu melemahkan mindanya. Sentiasa fikir keburukan dan negatif.

Drama melayu membawa aura emosi negatif dan jahat ke dalam dirinya.

Dia bagitau juga hidupnya jadi lebih positif selepas berhenti menonton drama melayu.

Ya drama melayu!

Katanya lagi, rupanya selama ini drama melayu banyak mempengaruhi dirinya tanpa sedar untuk memandang semua benda bermasalah dan negatif.

Boleh sampai tahap benda baik pun tidak semena-mena bertukar menjadi buruk.

Dendam dan benci menjadi makanan harian.

Itu belum termasuk perasaan marah membuak-buak jika pelakon jahat keluar di kaca TV.

Bayangkan setiap hari kita bangkitkan emosi dan rasa marah, dendam dan benci melalui drama TV. Kau rasa selepas sebulan apa jadi? Kalau setahun? 10 tahun? Bayangkan.

Ya, betul drama melayu ada positifnya tetapi dalam berbelas episod drama itu hanya satu ke tiga episod sahaja gembira dan positif?

Ini hanya testimoni berdasarkan pengalaman dia. Kalau nak tahu kesannya boleh cuba sendiri.

Cubalah sebulan. Gantikan dengan aktiviti membaca atau tengok dokumentari.