Monday, October 11, 2010

Kemalangan ngeri 10-10-10

Keadaan bas yang remuk dan hancur.
10 Oktober 2010 bukan sahaja menjadi tarikh keramat untuk pasangan angkasawan negara tetapi juga tarikh yang menjadi ingatan untuk peristiwa ngeri bagi kemalangan maut di lebuhraya Utara-Selatan. Bas yang hilang kawalan seterusnya merempuh penghadang jalan dan melanting ke laluan bertentangan telah menghempap 3 buah kereta, melanggar sebuah van dan dilanggar sebuah bas JKM.

10 penumpang dan pemandu bas ekspres maut, seorang pemandu van dan seorang lagi pemandu Honda Accord juga maut di tempat kejadian. 40 yang lain cedera ringan dan ada yang parah.

Aku tidak sanggup untuk berkongsi gambar-gambar dan video yang ngeri di blog ini. Aku yang melihat melalui skrin komputer pun sudah tidak lalu makan dan tidak dapat tidur malam selepas melihat gambar-gambar ngeri tersebut.

Diceritakan mayat bergelimpangan di merata tempat atas lebuh raya. Ada yang tersepit, putus tangan, pecah kepala dan hancur bahagian badan. Mungkin ini kejadian paling ngeri dalam sejarah Negara.

Beringatlah di jalan raya, jangan kerana kelalaian kita maka orang lain yang tidak bersalah turut terkorban. Kalau tidak mahu fikirkan diri sendiri pun maka fikirkan orang lain.

Al-Fatihah buat keluarga mangsa yang beragama Islam.

Sunday, October 10, 2010

10 - 10 - 10

Pasangan yang secocok
Hari ini merupakan hari ahad bertarikh 10/10/2010 ataupun lebih suka diringkaskan dengan nombor 10/10/10. Ramai yang mengambil peluang pada hari ini untuk mengadakan majlis yang penting dalam hidup mereka termasuk Angkasawan negara Dr.Syeikh Muszaphar Shukor dengan pasangannya Dr.Halina Mohd Yunos. Tahniah diucapkan kepada mereka yang selamat diijab kabulkan pukul 11.45 pagi tadi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Walau apa pun tarikh yang kita hadapi, ingatlah jangan terlampau taksub dengan nombor. Jadikan nombor itu sebagai keseronokan hidup tanpa percaya kepada benda yang karut marut di sebalik nombor. Mungkin ramai berseronok pada hari ini, mungkin juga ada yang meninggal dunia pada hari ini. Segalanya dalam ketentuan Allah...

Saturday, October 9, 2010

UPSR format baru dan mansuh PMR

Keputusan Kementerian Pelajaran untuk menukar Format peperiksaan UPSR dan memansuhkan PMR diganti dengan penilaian sekolah adalah satu tindakan yang tepat memandangkan sistem pendidikan berasaskan peperiksaan (exam oriented) semata-mata tidak mampu melahirkan pelajar yang keratif dan kritis di masa hadapan. Maka tidak hairanlah mengapa negara kita tidak mampu melahirkan pekerja yang inovatif dalam memacu pembangunan negara.

Rakyat minda kelas pertama hanya akan menjadi satu fantasi jika masih meneruskan sistem pemdidikan yang ada berteraskan penilaian peperiksaan semata-mata. Kita perlukan masyarakat yang lebih daripada itu. Otak manusia mampu pergi lebih jauh jika kita kreatif.

Jadi sistem pendidikan yang perlu ialah yang mampu melahirkan sebanyak mungkin manusia kreatif. Aku selaku rakyat yang pernah melalui sistem pendidikan di Malaysia ini merasakan ada sesuatu yang tidak kena selepas memerhati kawan-kawan dan diriku.

Persoalan yang aku selalu tanya ialah, kenapa kita tidak mampu dalam banyak perkara mencipta produk jenama Malaysia yang bermutu dan diyakini dunia. Contohnya, walaupun kita ada kereta keluaran tempatan, tetapi kenapa masih menempel rekaan dan teknologi daripada Jepun, Korea, dan Eropah? Malahan, jika kita tolak duti import kereta luar dan dibandingkan dengan kereta tempatan maka harga kereta tempatan lebih mahal dengan kualiti rendah. Ini adalah salah satu contoh daripada berpuluh-puluh lagi contoh yang boleh difikirkan.


Negara memerlukan manusia kreatif yang mampu menghidangkan rakyat dengan produk keluaran negara yang murah, berkualiti dan diyakini dunia. Segalanya bermula dengan mengubah sistem pendidikan negara bermula dari sekolah rendah.

Tuesday, October 5, 2010

10% Kepandaian dan 90% Keberanian

Apakah Kunci Kejayaan?

Dalam kehidupan ini kita sering bertanya kepada diri sendiri kenapa orang tu boleh berjaya dan kenapa kita tidak? 

Tidak kiralah dalam apa bidang sekalipun kuncinya tetap sama. Bacalah beratus-ratus buku motivasi pun saranan diakhirnya tetap sama iaitu BERTINDAK!

Untuk berjaya hanya 10% kepandaian sahaja menjadi penyumbang kepada kejayaan anda. Selebihnya adalah keberanian iaitu bertindak. Berani bertindak tanpa terlalu memikirkan akibat.

Apa sahaja perancangan anda, cita-cita anda dan matlamat anda. Mulakan sekarang! Bertindak sekarang! Selepas bertindak baru anda tahu kemampuan dan kekurangan anda. Baiki kekurangan dan jangan cepat putus asa. Semoga bulan oktober 2010 menjanjikan seribu satu kisah kejayaan kepada kita.

Thursday, September 30, 2010

Buang je dalam sungai...

Sungai yang dipenuhi sampah sangat kotor dan jijik
Sikap tidak peduli dan ambil mudah adalah punca keindahan alam tercemar seterusnya membawa kesan jangka panjang yang buruk kepada generasi akan datang.

Mungkin ada orang kata, "Alah, aku buang pembalut makanan jer kat dalam sungai, takde kesan pun".

Cuba bayangkan kalau semua 28 juta penduduk Malaysia berfikir macam tu. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Itulah yang kita rasa sekarang. Paling teruk, penduduk pinggir sungai ambil mudah dengan sistem pelupusan sampah mereka dengan buang ke dalam sungai. Aku pernah lihat dengan mata kepala aku sendiri. Maka, tak hairanlah sungai negara kita semakin tercemar.

Cuba tengok gambar di bawah:

Sungai yang nyaman dan segar
Nampak kuning tapi bersih, kuning sebab lumpur dasar sungai. Sungai sebegini syok memancing.
Apabila ditanya mahu tak sungai macam ni? semua cakap mahu. Tetapi kebanyakan tidak mahu berubah sikap untuk tidak buang sampah ke dalam sungai.

Hanya mereka yang sanggup berubah jer boleh kecapi nikmat alam semulajadi.

Wednesday, September 29, 2010

Gambaran Dajjal zaman ini...

Mungkin ramai orang ingat Dajjal adalah seorang manusia bermata satu.
Halaqah TV9 semalam sangat baik dalam memberi kefahaman kepada orang islam tentang gambaran Dajjal pada zaman ini. Ramai ingat Dajjal adalah seorang manusia yang bermata satu.

Sebenarnya keterangan hadis Rasulullah berkenaan kemunculan Dajjal dan tanda-tandanya merupakan simbolik. Jika kita faham secara ayat maka tepatlah Dajjal seperti gambaran dalam gambarajah di atas.

Walaubagaimanapun, Kata Dr. Danial bin Zainal Abidin dalam wawancara tersebut, Dajjal boleh datang dalam 3 bentuk:
  1. Dalam bentuk ideologi seperti isme-isme yang ada pada hari ini. Contoh Hedonisme, kapitalisme dan bermacam-macam lagi.
  2. Dalam bentuk kumpulan seperti kumpulan bawah tanah iluminati yang diteorikan mengawal dunia pada hari ini melalui Amerika dan Israel.
  3. Dalam bentuk individu yang kuat dan berpengaruh.
Organisasi Iluminati yang diangotai pemimpin besar dunia dikatakan mengawal dunia pada hari ini sehinggakan negara-negara Islam tidak mampu berbuat apa-apa.
Kalaulah macam apa yang disebut itu, maka kita pada hari ini sudah diserang Dajjal! Lihatlah tanda-tandanya...

Tuesday, September 28, 2010

Krisis Malaysia - Indonesia

Bendera Malaysia diconteng dan dibakar dalam mogok di Indonesia baru-baru ini
Demo yang berlaku di Indonesia baru-baru ini membuatkan aku terfirkir apa sebenarnya yang berlaku di sebalik semua ini? Adakah sebab benda yang kecil sudah cukup untuk isytiharkan perang antara 2 negara?

Setelah diselidiki dengan bertanya kepada orang-orang tua dan sedikit pembacaan maka baru aku tahu duduk perkara sebenar. Sebetulnya, perkara ini didalangi oleh pihak yang tidak senang dengan keamanan yang dikecapi oleh Malaysia mahupun Indonesia. Bagi mereka, perang bermakna untung!

Kenapa? Kerana mereka boleh campur tangan seterusnya menguasai sumber ekonomi yang ada dalam negara. Contoh yang paling mudah ialah apa yang berlaku di Iraq. Setelah banyak minyak disedut keluar semasa pendudukan askar Amerika, barulah mereka berundur.

Diceritakan oleh rakyat Malaysia yang pergi ke Indonesia. Majoriti rakyat mereka tiada apa-apa masalah macam majoriti rakyat kita. Cuma ada segelintir sahaja yang buat demonstrasi dan digembar-gemburkan oleh media. Sebab itu kita nampak macam masalah besar.

Oleh itu, walaupun kita tidak puas hati dengan kerajaan mahupun pembangkang, tak perlulah kita melakukan huru hara. Cukuplah dengan berdemosntrasi secara aman. Pihak polis pula jangan nak sembur tak tentu hala biar bagi nampak huru hara. Tak perlulah diulangi lagi peristiwa 13 Mei. Jangan nanti apabila kita mula hilang kuasa maka dibuatnya huru hara untuk mengembalikan sokongan orang ramai kepada pihak kita.

Monday, September 27, 2010

Jenayah berat yang menjadi-jadi...

Mangsa rompak Mat Rempit dikelar leher. Kejadian ini berlaku di Lebuhraya Persekutuan berdekatan susur keluar ke Padang Jawa.
Hari ini keluar lagi dalam Metro Online tentang seorang remaja dikelar lehernya selepas cubaan merompak oleh Mat rempit pada pukul 2.30 pagi di lebuhraya Persekutuan. Nampaknya semakin menjadi-jadi jenayah sejak akhir-akhir ini.

Jangan negara kita nanti jadi macam Amerika Syarikat yang ada satu kes yang berlaku, sekumpulan remaja bertindak memukul orang yang tidak dikenali mereka semata-mata untuk menghiburkan hati. Mereka menganggap, pukul beramai-ramai seolah-olah sebuah parti menghiburkan diri. Ini contoh masyarakat rosak.

Orang sekarang seolah-olah sudah tidak takutkan undang-undang lagi. Adakah ini bala daripada Allah kerana kita tidak mahu malaksanakan hukumNya?

Sebenarnya tiada undang-undang yang lebih bijak dan berkesan daripada hukum Allah kerana Allah yang mencipta manusia. Jangan nanti terkena kepada keluarga sendiri baru mempertikaikan undang-undang yang tidak berkesan. Fikirkan seolah-olah mangsa itu macam keluarga kita. Baru kita mahu undang-undang yang berkesan dikenakan terhadap penjenayah.

Sunday, September 26, 2010

Banjir di Pakistan, gambaran yang perlu dilihat...

Banjir melanda kawasan penduduk di Pakistan

Semuanya tenggelam dan rumah musnah akibat arus yang deras

Arus deras menyukarkan lagi misi menyelamat dan penghantaran bantuan

Bayangkan bagaimana ingin mendapatkan bekalan air bersih dalam keadaan sebegini?

Penduduk terpaksa mencari tempat yang tidak digenangi air

Air banjir ini dijangka surut dalam sebulan

Kanak-kanak adalah golongan yang paling mudah terkena penyakit bawaan air

Beginilah ujian yang menimpa hampir berjuta-juta rakyat Pakistan selepas berlaku banjir besar akibat salji yang mencair di Himalaya. Aliran sungai yang selalunya membantu pengaliran air ke laut akhirnya tidak dapat menampung pencairan salji. Akibatnya bandar di pinggir sungai semuanya ditengelami air. Lebih teruk lagi kebanyakan rumah rosak teruk akibat aliran deras air yang meruntuhkan dinding rumah. 

Banjir ini adalah yang paling buruk dalam sejarah Pakistan.

Sunday, September 19, 2010

Supermokh dalam National Geographic

National Geographic baru-baru ini mendokumentasikan kehidupan Supermokh sebagai atlet bola sepak Malaysia yang paling berjaya. Setelah menonton video itu aku merasa sangat bangga menjadi rakyat Malaysia. Rupa-rupanya kita orang Malaysia berbangsa melayu boleh berjaya kalau kita mahu. 

Jom tengok video di bawah:









Begitulah hebatnya Mokhtar dahari.
Seorang yang bekerja keras di padang...
Seorang yang merendah diri...
Seorang yang menjadi Inspirasi kepada ramai orang...
Seorang ketua keluarga yang baik...
Seorang yang tidak suka berfoya-foya, minum arak dan merokok...

Mokhtar dahari seorang lagenda. Kalau dia mampu kenapa kita tidak?
Aku harap dokumentari ini mampu menjadi suntikan semangat kepada atlet bola sepak tanah air. Kita mampu menjadi jaguh dunia kalau kita mahu...

Saturday, September 18, 2010

Super Star - Supermokh

Aksi Allahyarham Mukhtar Dahari
Siapa yang tidak kenal dengan Allahyarham Mukhtar Dahari penyarung Jersi nombor 10? Lagenda pemain bola sepak Malaysia yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Jom tengok antara pencapaian beliau yang masih belum dipecahkan rekod:

Friday, September 17, 2010

Sultan Kelantan yang baru...

Cerita hangat tentang institusi raja di Malaysia sekarang ialah berkenaan dengan Sultan Kelantan yang baru iaitu Tuanku Muhammad Faris Petra. Rata-rata komen rakyat kelantan sangat positif terhadap baginda memandangkan baginda digelar Sultan yang berjiwa Rakyat.

Gambar-gambar yang aku ingin kongsikan di bawah mampu untuk menceritakan segala-galanya terhadap keperibadian baginda Sultan Kelantan. Gambar ini diambil oleh Topeng Perak Unmasked.

Menteri Besar Kelantan yang digelar Tok Guru berada di belakang Baginda(berjubah dan berkopiah) yang bersalaman dengan rakyat jelata
Setelah Baginda Sultan perasan Tok Guru berada di belakang, maka terus Baginda menjemput untuk bersama dihadapan bersalaman dengan rakyat jelata
Tok Guru Menteri Besar dengan malu-malu mungkin terkejut dengan layanan yang diberikan Sultan Kelantan kepadanya. Orang sekeliling juga nampak terkejut
Akhirnya semua orang akur dengan kehendak Sultan dan menyuruh Tok Guru berada sebarisan dengan Sultan untuk bersalaman dengan rakyat jelata
Berdirilah 3 orang pemimpin Kerajaan Kelantan bermula dari kanan Sultan Kelantan Tuanku Faris Petra, Adinda baginda Bendahara Kelantan  Tengku Faiz Petra dan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Nik Aziz.
Tidak kira tua,muda, miskin dan kaya semua beratur ingin bersalaman dengan pemimpin negeri yang berhati rakyat dan takutkan Allah.

Thursday, September 16, 2010

Sambutan Hari Malaysia

Alhamdulillah, hari ini adalah sambutan hari pembentukan Malaysia yang sepatutnya disambut sejak daripada dulu lagi. Persoalannya, beruntungkah Sabah dan Sarawak memasuki Malaysia ataupun beruntungkah Malaysia dengan sabah dan Sarawak menyertainya?

Walau apapun jawapannya, perkara yang harus ditekankan ialah manfaat kedua-dua belah pihak. Dengan kelebihan hasil mineral yang dimiliki Sabah dan Sarawak maka negeri ini sepatutnya diberi kemudahan hidup yang secukupnya seperti bekalan elektrik ke kawasan pedalaman yang banyak di negeri yang berbukit bukau ini. Perkara ini sepatutnya diambil kita oleh pemerintah yang adil kepada negeri jajahannya.

Pun begitu, kemasukan Sabah dan Sarawak membuatkan negara Malaysia lebih meriah dengan kepelbagaian etnik dan kaum. Terima kasih kerana sudi bersama kami di semenanjung. 
Selamat Hari Malaysia!

Monday, August 30, 2010

Pelombong emas di Chile

33 orang pelombong emas di Chile masih hidup selepas 17 hari terperangkap di bawah runtuhan lombong sedalam 688 meter. Sebuah nota dihantar balik oleh pelombong melalui paip sebesar 4 inci kepada penyelamat di atas. Apa yang menyedihkan ialah mereka terperangkap sedalam 688 meter dan usaha mengorek lubang untuk manusia telus melaluinya mungkin memakan masa selama 4 bulan!

Laporan awal mengatakan yang semua pelombong tidak terselamat dalam tragedi itu, namun selepas probe yang dihantar melalui lubang sebesar 4 inci, mereka mendapat nota daripada mangsa yang mangatakan semua terselamat tetapi terperangkap.

Gambar daripada AP menunjukkan kawasan perkhemahan keluarga pelombong yang setia menunggu berita

Saturday, August 28, 2010

Rogol budak...

Aku ada terbaca kes lelaki umur 25 tahun rogol anak teman wanita dia yang berumur 9 tahun dan cuba rogol sorang lagi yang berumur 5 tahun. 

Aduh! rosak masyarakat...Apa nak jadi dengan orang kita ni?Tergamak dirogolnya budak tu. Dia sendiri dah kahwin dan ada seorang anak. Hukuman yang dikenakan penjara 15 tahun dan sebatan. 

Secara peribadi aku anggap hukuman ini lansung tak berbaloi. Malah hukuman ni tidak akan menggerunkan mana-mana lelaki gila kat luar sana.

Kalau aku rujuk hukuman sebenar dalam Islam, oleh kerana lelaki ini dah kahwin maka hukuman yang akan dikenakan ialah rejam sampai mati. Kalau dilaksanakan hukuman ni aku rasa mungkin penjenayah akan fikir 2 kali sebelum buat jenayah.

Monday, August 23, 2010

Berniaga...

Aku sebenarnya baru berkira-kira untuk menjadi seorang usahawan sepenuh masa. Tetapi, setiap kali buat perkiraan kurasakan payah untuk berjaya. Pelbagai cerita aku baca mengenai kisah usahawan berjaya. Mereka lalui banyak cabaran sebelum berjaya. Aku risau jika aku mudah putus asa.

Nikmat terima gaji bulanan membuatkan aku rasa sukar untuk lari daripada situasai yang selesa ini. Terima gaji yang 'fix' secara bulanan buat aku mudah merancang kewangan. Pun begitu aku masih tidak puas kerana aku banyak berhutang. Gaji bulanan yang 'fix' ini membuatkan aku mudah berhutang.

Aku terbaca status seorang teman:
"Lama saya nak boleh serasi dengan berniaga ni"

Yang dimaksudkan dia ialah banyak cabaran dilalui sebelum dia berjaya dalam perniagaannya.

Emm...aku masih perlukan masa sebelum membuat keputusan nekad ini.

Sunday, August 22, 2010

Puasa menyedarkan aku...

Sehari berpuasa membuatkan aku mudah terasa penat, lapar dan dahaga...Itupun kerja aku setiap hari takla memenatkan seperti buruh buat bangunan. Cuba bayangkan macam mana keadaan mereka yang terpaksa mengikat perut setiap hari dan tidak berpeluang berbuka puasa dengan juadah enak seperti kita?

Lihat sahaja wajah di bawah ini, cukup untuk menggambarkan keadaan mereka:

Kanak-kanak di Semenanjung Gaza

Warga tua di Pakistan

Cukuplah dengan melihat gambar ini menceritakan keperitan hidup yang terpaksa ditanggung mereka di sana. Kita bukan sahaja patut bersyukur malah perlu ada niat untuk membantu saudara seagama di sana. Malah Islam turut menggalakkan kita membantu mereka yang berlainan agama kerana mampu menjadi dakwah dan kunci hidayah kepada mereka.

Puasa mengingatkan kita kepada mereka yang susah.

Saturday, August 21, 2010

Motor aku...

Oh, aku hampir terlupa nak cerita kesudahan motor aku yang rosak di Bukti Damansara. Malam itu aku pergi bersama seorang teman. Setelah mencuba beberapa kali, alhamdulillah motor tu hidup. Jadi aku terus bawak balik rumah. 

Esoknya aku terus bawak ke bengkel dan setelah diperiksa baru tahu 'starter coil' yang rosak. Patutlah tak hidup nak start. Itu jer puncanya.

Thursday, August 12, 2010

Ujian bulan puasa...

Pagi ini aku menuju ke Bukit Damansara atas urusan pejabat. Semasa nak balik tiba-tiba motor yang aku naiki tak hidup. Padahal baru jer aku servis motor ini. Selepas mencuba selama setengah jam aku terus tinggalkan motor kat tepi jalan dan naik teksi.

Bulan puasa di tengah panas dengan motor rosak. Memang ujian untuk aku pada awal ramadhan. Mujurlah pemandu teksi menyejukkan aku dengan tazkirah ringkasnya. Barulah tenang aku hadapi ujian ini. Pakcik teksi tu menceritakan ujian yang dia hadapi sepanjang menjadi pemandu teksi. Kiranya aku patut bersyukurlah dengan ujian yang tak seberapa ini.

Malam ni mungkin aku terpaksa pergi ke sana balik dengan adik aku untuk tunda motor itu ke bengkel favourite aku.

Monday, August 9, 2010

Saman Ekor

Dalam Berita Harian Online hari ni ada berita tentang saman ekor yang tidak dilunaskan pengguna jalan raya sebanyak 10 Juta. Kalau didarabkan dengan RM300 sama dengan RM3 bilion.

Kayanya hasil saman ni. Aku cuma nak pesan kepada diri aku dan orang lain supaya berhati-hatilah di jalan raya. Elakkan pandu laju melebihi had dan langgar lampu merah.

Marahlah macam mana pun kepada kerajaan dan polis, memang kalau dah kena saman kena bayar jugak. RM300 saman tu boleh buat banyak benda lain. Tambahan pula sekarang ni zaman barang naik, jadi kenalah pandai berjimat.

Bersabarlah semasa di jalan raya. Jangan gopoh melanggar undang-undang. Itulah sahaja cara untuk mengelakkan duit melayang.

Saturday, August 7, 2010

Menulislah...

"Menulis boleh bantu kita bina jatidiri hebat"

Begitulah kata-kata seorang guru kepada aku satu ketika dahulu.

Menulis itu tidak semestinya dengan pen dan kertas kerana di zaman moden ini semuanya dengan komputer, jadi menaip pun dikira menulis.

Macam mana menulis boleh bina jatidiri hebat? 
Begini maksudnya...apabila anda selalu menulis maka anda akan melatih diri anda untuk berfikir dan menterjemahkan idea yang semestinya hebat untuk dibaca. Maka lama-kelamaan perwatakan anda akan jadi hebat oleh kerana selalu berfikir hebat.

Menulis juga akan membuatkan anda dahaga untuk membaca kerana jika anda kurang membaca maka anda akan dapat lihat kurangnya mutu penulisan anda. Dengan menulis anda sudah tidak perlu lagi paksa diri untuk membaca kerana jiwa anda akan jadi suka membaca sebab dahaga!

Jadi, paksalah diri anda menulis setiap hari walaupun tidak hebat pada mulanya. Lama kelamaan anda akan dapat lihat mutu yang semakin meningkat saban hari. Begitu juga dengan karakter diri anda.

Wednesday, August 4, 2010

Monongkah arus...

Jika kita ikut arus, maka perjalanan hidup kita akan jadi lebih mudah dan senang.
Tetapi jika kita malawan arus maka banyak ujian akan melanda.

Itulah yang aku alami sekarang, cuba melawan arus perdana yang aku rasakan tidak releven dengan aku. Matlamat aku cuma satu iaitu aku ingin bebas dari segi masa dan kewangan. Aku tidak mahu terperangkap dalam 'sistem'.

Monday, July 19, 2010

Keseronokan dalam bekerja

Kejayaan dalam sesuatu bidang yang kita ceburi bermula dengan sejauh mana keseronokan yang kita kecapi semasa bekerja.

Segala kekreatifan akan terbit dari minda kita apabila perasaan seronok timbul semasa bekerja.

Donald Trumph pernah berkata:
"Wang bukanlah pendorong utama saya, ia sekadar menjadi sasaran. Yang saya suka ialah permainan mencari wang. Ia sungguh menyeronokkan".

Tanya diri kita, seronokkah kita bekerja sekarang?

Thursday, July 15, 2010

Master Plan

Dalam hidup ni kita perlu ada Master Plan untuk berjaya. Setiap individu pula ada cara tersendiri untuk bina Master Plan. Memang kita tidak boleh ajar atau nak bagi format tertentu. Ini kerana hanya diri kita tahu apa yang kita mahu dan kehidupan macam mana yang kita lalui.

Apabila kita dah bina Master Plan, maka setiap hari kita perlu renung dan tenung serta tokok tambah apa yang patut untuk kita capai matlamat itu. Apa yang membezakan orang yang berjaya atau tidak ialah Master Plan. 

Tafsirkan Master Plan anda dalam sehelai kertas atau word processor dalam komputer ataupun dalam smart phone. Yang penting ianya mudah untuk anda nilai setiap hari!

Tuesday, June 29, 2010

Jangan bertangguh...

Bertangguh adalah satu sikap yang boleh membahayakan masa depan kita. Cara paling mudah untuk mengatasi sikap ini ialah dengan selalu mengingatkan sama ada melalui kemudahan teknologi masa kini atau dengan hanya mengunakan kertas dan pen.

Bertangguh adalah berpunca daripada diri kita yang lupa akan kerja yang belum siap. Jika kita selalu ingat akan senarai kerja yang belum siap maka kita akan tidak senang duduk selagi tidak dapat menyelesaikan senarai kerja yang ditulis.

Oleh itu, selalulah ingatkan diri anda akan kerja yang perlu disiapkan. Tulis dan senaraikan kerja baru supaya apabila anda mahu rehat maka baca balik kerja yang terbengkalai. Nescaya anda akan lupakan niat untuk berehat.

Selamat mencuba!

Wednesday, June 16, 2010

Bekerja dengan muzik...

Kadang-kadang muzik boleh membantu kita bekerja dengan penuh konsentrasi, bagi sesetengah orang termasuk aku. Kalau dahulu memang cepat bosan kalau bekerja. Setelah aku mendengar muzik sambil bekerja maka sedar tidak sedar dah berjam-jam aku bekerja.

Inilah yang dikatakan pelik tapi benar. Potensi diri seseorang terbongkar melalui pelbagai cara. Beruntung nasib badan jika anda dapat tahu cara untuk meningkatkan produktiviti dan potensi diri. Bagi aku, muzik dan bekerja tidak boleh dipisahkan. Tetapi, ia bergantung juga dengan jenis kerja itu macam mana. Kalau seorang doktor memang tak dapat la nak bekerja sambil mendengar muzik, begitu juga cikgu.

Jadi, selongkar potensi diri anda dengan cara tersendiri. Hanya anda tahu bagaimana, di mana dan bila. Selamat menyelongkar!

Tuesday, June 15, 2010

Tidur bola, makan bola, mandi bola...

RTM memang tidak boleh diharapkan untuk menjadi penyiar sukan antarabangsa. Lansung tidak pandai pilih perlawanan yang panas untuk disiarkan. Iklan sahaja yang lebih. Diharapkan Piala Dunia selepas ini diberikan kepada Media Prima. Mujurlah ada internet untuk tengok secara online.

Bagi pengguna Astro pulak dengar cerita ada masalah untuk siaran waktu malam. Apa-apa pun RTM tetap tidak mantap dibandingkan dengan TV3 dan Media Prima. Ramai yang merungut dengan RTM menjadi penyiar rasmi Piala Dunia. Lain kali, kalau tidak mampu, berikanlah kepada TV lain untuk menjadi penyiar rasmi ya. Ini tidak, dahla SUKMA pun nak jadi penyiar. Kalau dah tamak inilah hasilnya.

Wednesday, June 9, 2010

Orang bodoh banyak belajar...

Apabila kita merasakan diri kita ini bodoh maka kita akan banyak belajar benda baru. Tetapi apabila kita merasakan diri kita ini cerdik maka banyak benda kita tidak mahu belajar kerana merasakan diri ini sudah cukup pandai.

Inilah kata-kata seorang rakan kepada aku. Aku mulai sedar yang inilah dimaksudkan dengan sombong bodoh. Sikap ini akan menyerang sesiapa sahaja. Aku rasa aku juga pernah ada perasaan cerdik ini. Pada masa itu aku merasakan aku hebat dan mampu buat apa sahaja tanpa perlu bantuan orang lain. Akibatnya aku jatuh merudum. Sekarang ini aku tengah cuba membaiki sedikit demi sedikit sikap buruk dalam diri aku.

Diharapkan agar kita semua sentiasa membaiki diri ke arah yang lebih baik.

Monday, June 7, 2010

Bahasa Melayu yang betul...

Aku cuba untuk menulis dengan tatabahasa Melayu yang betul walaupun dalam blog. Kalau tidak di sini di mana lagi? Lagipun aku sudah tidak melalui peperiksaan seperti zaman sekolah yang ada subjek khas Bahasa Melayu.

Walaupun bagi sesetengah orang lebih selesa menggunakan bahasa Melayu percakapan biasa tetapi aku merasakan perlunya kita mempraktikkan bahasa Melayu yang betul ketika menulis. Ini supaya kualiti bahasa boleh dijaga terutama bagi yang ramai pengunjung.

Jadi. bersamalah kita cuba mempraktikkan bahasa melayu yang betul. 
Hehe...=)

Sunday, June 6, 2010

Jadilah pendengar yang baik...

Kita sepatutnya kena menjadi seorang pendengar yang baik. Barulah hubungan persahabatan dan kekeluargaan menjadi makin rapat. Kalau masing-masing nak bercakap jer, maka pada masa itulah akan tercetus pertengkaran.

Kadang-kadang apabila kita merasakan diri kita ini bijak maka kita akan suka membantah cakap orang lain, kita akan mudah menghentikan percakapan orang lain, itu yang bahaya. Aku sendiri pun tidak suka apabila aku bercakap dan ada orang lain potong. Begitulah juga orang lain pun, mereka juga tidak suka apabila mereka bercakap dan kita potong. 

Jadi, jangan buat apa yang kamu tidak suka orang lain buat pada kamu. Mulalah belajar untuk mendengar sahaja apabila orang lain bercakap.

Saturday, June 5, 2010

Duit...

Ramai orang cakap kalau nak berjaya lebih tinggi jangan fikir sangat tentang duit. Fikirkan tentang kerja yang dibuat. Tanamkan minat, asahkan bakat, buat dengan sepenuh hati maka duit dengan sendiri akan datang. Majoriti buku motivasi beritahu macam ini. Malah orang yang kaya sekarang inipun cakap sebegini jugak. 

Ya, memang kena fikir tentang duit tapi jangan terlalu fikirkannya. Sebabnya anda akan mudah kecewa jika gagal mencapai sesuatu.

Betuk ker? Bagi pandangan aku, tip ini mungkin betul sebabnya aku tengah mencubanya sekarang. Aku sekarang ini bekerja sebab nak dapatkan duit untuk sara hidup. Aku tiada banyak duit tetapi hanya cukup-cukup makan sahaja. Apabila aku fikirkan balik, orang kaya sebab mereka dapat fikir idea kreatif untuk jana duit. Kreativiti pula datang dalam minda apabila anda merasa seronok membuat sesuatu. Jadi jika anda bekerja dengan seronok maka idea kreatif akan datang mencurah-curah. Pada masa itulah bakat idea anda akan terserlah. Jika diaplikasikan idea itu maka boleh menjadi punca jana duit jika kena cara dan tidak mengenal erti putus asa.

Itu sahaja, kuncinya ialah bekerja dengan seronok. Keseronokan tidak dapat dihasilkan apabila anda terlampau fikirkan hasil iaitu duit. Sebabnya kalau tidak dapat duit (hasil) maka anda akan mudah rasa kecewa, Tetapi kalau anda bekerja kerana keseronokan, jika gagal maka anda akan cuba lagi, jika gagal lagi maka anda akan terus mencuba sampai berjaya. Jadilah anda macam Thomas Edison yang gagal hampir seribu kali.

Buatlah kerja dengan seronok macam aku!

Friday, June 4, 2010

Cuba lagi dan cuba lagi...

Itulah jawapan yang diberikan Dr.Mahathir Mohamed apabila ditanya pengacara MHI tentang apakah tindakan kita jika Kapal Rachel Corrie tidak dibenarkan rejim Zionis untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Adakah kegeraman kita hanya bersifat sementara untuk kekejaman yang dilakukan rejim Zionis ke atas rakyat palestin dan kini orang luar sekalipun?

Sebenarnya tidak, kita (NGO) akan terus menghantar bantuan demi bantuan ke Palestin dengan pelbagai cara dan kaedah. Kita tidak pernah diam. Kita sentiasa merancang untuk membantu rakyat Palestin.

Sebenarnya di dunia ini masih ada insan yang mengambil berat dan membantu mereka yang bernasib malang walaupun bukan dari negara sendiri. Adakah anda tergolong daripada mereka? Sebenarnya masih belum terlambat untuk anda turut membantu.

Thursday, June 3, 2010

Perancangan tanpa tindakan...

Tidak guna kalau kita merancang sahaja tanpa ada tindakan hasil daripada perancangan tersebut. Akhirnya habuk pun tiada. Aku ingin jadi orang yang merancang dan terus bertindak. Biarlah perancangan itu tidak hebat asalkan hasil yang akan diperolehi akibat tindakan susulan itu, dapat mencerminkan aku ini buat apa yang aku kata.

Kurangkan bercakap tentang perancangan yang hebat kepada orang di sekeliling kerana mereka tak mahu dengar apa yang kamu rancang tetapi mereka mahu lihat hasil yang kamu perolehi.

Berusahalah untuk bertindak. Jangan tumpukan usaha untuk merancang semata-mata. Berkatalah sebegini kepada diri anda:

"Aku tidak sabar nak lihat hasil tindakan yang dibuat"

bukannya...

"Aku tidak sabar nak lihat hasil perancangan yang dibuat"

Macam mana nak lihat hasil perancangan kalau tiada tindakan dan usaha selepas merancang. Kurangkan publisiti tingkatkan prestasi. =)

Wednesday, June 2, 2010

Enjoy hidup!

Banyak cara untuk kita enjoy hidup ini. Bagi aku enjoy ada dua cara sahaja:
  1. Enjoy hidup dengan kejayaan.
  2. Enjoy hidup untuk melupakan kegagalan.
Enjoy pertama ialah enjoy yang sebenar bagi aku. Sebabnya kita akan enjoy selepas berpenat lelah untuk mencapai kejayaan. Tak kiralah apa pun kejayaan itu sama ada dalam kerjaya, bisnes ataupun pelajaran.

Enjoy kedua ialah enjoy yang bersifat sementara iaitu bertujuan untuk melupakan kegagalan yang dihadapi. Sama ada dalam kerjaya, bisnes atau pelajaran. Enjoy jenis ini sangat bahaya untuk diamalkan sebabnya sebaik sahaja habis enjoy maka anda akan bersedih lagi. Tapi kalau kadang-kadang tidak mengapa kerana kadang-kadang kita perlu menghadapi kegagalan melalui keceriaan. Dengan enjoy anda boleh ceria menghadapi kegagalan itu. Enjoy jenis ini juga sering diamalkan anak muda zaman sekarang. Tidak elok untuk diamalkan selalu.

Jadi, pilihan ditangan anda. Pilihlah enjoy yang betul-betul enjoy!
Enjoy your life!

Tuesday, June 1, 2010

Nasib seorang pejuang...

Apabila anda kata anda seorang pejuang maka risiko yang bakal dihadapi perlu sanggup diharungi. Begitulah nasib aktivis keamanan dan kemanusiaan ke Gaza yang diserang tentera komando Israel. Nasib 2 orang wartawan Astro masih belum diketahui. 

Aku setiap detik cuba mendapatkan berita terkini tentang mereka ini. Cuba bayangkan mereka sekarang tengah berdepan dengan tentera paling kejam di dunia iaitu Israel celaka. Memang muka tidak tahu malu. Merampas tanah rakyat Palestin dan melakukan kekejaman pula. Apa jenis manusiakah ini?

Aku pernah tengok National Geography tentang seekor harimau yang menjaga seekor anak kera yang kehilangan ibunya akibat dibunuh harimau itu. Binatang pun ada naluri kasihan belas. Manusia yang diberikan akal sepatutnya lebih lagi. Ini bersifat lebih teruk daripada binatang.

Aku doakan semoga semuanya selamat. Dunia sepatutnya sedar sekarang betapa zalimnya Israel ini.

Monday, May 31, 2010

Kekejaman Israel yang dilaknat Allah...


Misi keamananusian konvoi LL4G, sebuah misi kemanusian yang membawa muatan bantuan sebanyak 5000 tan ke semenanjung Gaza telah diserang Israel yang kejam. Walaupun apa alasan pengganas Yahudi Zionis ini, serangan itu tidak patut dilakukan kerana semua aktivis yang terlibat tidak membawa senjata api. Mereka pergi secara aman malah mereka mengibarkan bendera putih adi atas setiap kapal menandakan mereka masuk secara aman tanpa senjata.

Aku mula-mula dapat berita ini memang sangat geram, kenapalah si laknat itu mampu buat apa sahaja yang mereka suka ke atas orang Palestin dan aktivis kemanusiaan? Mereka ingat mereka siapa? Apa guna ada PBB? Sepatutnya zaman sekarang ini tiada lagi kekejaman berbentuk peperangan. Kalau ada pun memang patut kita semua berperang dengan Yahudi laknat ini.

Kalau nak tahu berita lanjut boleh lawati malaysiakini.com:





Bersama-sama lah kita berdoa supaya Yahudi laknat ini menerima balasan yang paling teruk. Doakan keselamatan saudara kita rakyat Malaysia dan mereka yang berhati perut supaya mereka semua selamat.

Kemungkinan besar kapal yang diserang ini akan dibawa ke pelabuhan dekat penjara Israel. Semua anak kapal akan dipenjarakan.

Dengar kata esok ada demonstrasi menentang kekejaman Zionis ini. Jom pakat pergi.

Masa untuk bangkit...

Banyak cara untuk menaikkan semangat anda yang luntur oleh sebab ujian yang menimpa. Antaranya pergi jalan-jalan, balik kampung, baca buku dan meluahkan perasaan kepada orang yang boleh dipercayai.

Pilihlah yang mana satu pun asalkan ia dapat membantu anda untuk tidak terus putus asa. Jika ditanya, apa yang aku akan buat jika aku putus asa. Jawapannya ialah baca buku biografi orang yang telah berjaya ataupun menonton filem.

Apa! Menonton filem?

Ya, pelik tapi benar, filem yang aku pilih ialah filem dari barat dan berunsur aksi dan kemajuan teknologi. Selepas tonton filem sebegini semangat aku akan naik sikit dan akan ada idea untuk menyelesaikan masalah yang menimpa.

Bagaimana dengan pilihan anda? Ada pilihan ker? Hehe...

Saturday, May 29, 2010

Aku rasa putus asa...

Pernah tak anda merasai sangat putus asa selepas mencuba beberapa kali?
Inilah yang aku lalui sekarang. Aku pun tidak tahu apa puncannya. Mungkin aku tidak cukup usaha untuk berjaya.

Aku sekarang tengah mencari kekuatan baru. Walaupun sudah terjumpa kekuatan tetapi bila teringatkan masalah terus jadi lemah semangat. Jadi, sekarang ini aku kena lupakan masalah dan fikirkan jalan penyelesaian. 

Semoga aku berjaya...

Friday, May 28, 2010

Berangan itu bagus...

Itulah antara kata-kata seorang pakar motivasi. Aku sebenarnya suka berangan nak kaya dan bebas dari segi kekangan masa dan arahan bos. Tetapi nak menuju ke arah itu agak liat sikit. Puas aku cuba baiki kelemahan aku ini tetapi tetap tidak jadi juga.

Akhirnya, aku cuba cari kekuatan aku. Orang kata kalau kamu asyik fikir nak baiki kelemahan diri, maka kamu akan jadi orang biasa, tetapi kalau kamu cuba memantapkan lagi kekuatan diri kamu maka kamu akan jadi orang luar biasa.

Jadi sekarang ini aku selalu fikir kekuatan aku dan macam mana nak mengerjakan kekuatan, minat dan tabiat aku ini supaya aku jadi hebat...

Aku doakan semoga aku jadi hebat...hehe...

Kisah aku...

Assalamualaikum...hai...selamat bersua...

Nama aku Alan, aku baru mula menulis blog awal tahun ni jer. Laman ini untuk aku bagitau tentang kisah suka duka aku mengejar impian. Impian aku ada banyak. Yang paling utama, aku mahu Bebas!

Aku mahu bebas kewangan.
Aku mahu bebas masa.
Aku mahu bebas menulis.
Aku mahu bebas berkawan.

Segala-galanya tentang BEBAS!