Sunday, July 30, 2017

Lebih baik diam, ketap bibir dan jalan terus

Artis muncul bagai cendawan lepas hujan.

Tidak mampu kejar dan ambil tahu semua nama artis baru.

Tetapi disebabkan zaman media sosial dan internet yang mudah akses, cara paling mudah memperkenalkan diri ialah dengan menjadi bahan viral.

Dengan viral itu namanya akan mula dikenali sampai ada yang tanya, "Artis ni pernah berlakon drama apa ya? Filem apa ya?"

Viral pula ada dua jenis samada viral cara baik dan buruk

Viral cara baik biasanya memerlukan seorang artis itu ada potensi, bakat dan personaliti bagus. Dengan hasil karyanya itu dirinya mula tersebar di laman sosial. Biasanya cara ini amat sukar.

Viral cara jahat amat mudah dengan menimbulkan isu panas, bergaduh antara artis dan 1001 cara yang mungkin memalukan bagi orang biasa.

Tetapi bagi mereka yang memerlukan publisiti akan sanggup buat apa sahaja demi secebis kemasyhuran.

Sejak akhir-akhir ini amat ramai artis yang bergaduh sesama sendiri mengata macam-macam sampai sanggup memberi gelaran pelacur.

Apa jalan terbaik jika seseorang mengata kita secara terus atau sindiran?

Sebenarnya lebih baik kita diam, ketap bibir dan jalan terus.

Mulut orang siapa boleh kawal? Jika kita tidak melawan dan membalas, isu itu akan terpadam dengan sendirinya.

Tetapi jika kita ada niat lain untuk menviralkan diri, tindakan yang sebetulnya ialah balas kata-kata itu dengan kata-kata lebih panas.

Sukar untuk aku tafsirkan adakah fenomena ini baik untuk masa depan negara yang ingin melahirkan rakyat minda kelas pertama atau ini satu fenomena buruk dan merosakkan.

Itu belum sebut lagi berkenaan deretan drama melayu dan novel cinta yang boleh meruntuhkan moral masyarakat secara senyap.

Kita tidak perlu risau agenda tersembunyi organisasi rahsia yang ingin merosakkan umat Islam. Sebenarnya cukup dengan agenda tanpa sedar umat Islam sendiri yang mampu merosakkan masyarakat.

Itu yang perlu kita risau.

Saturday, July 29, 2017

Budak 7 tahun buat budak 6 tahun

Terkejut baca satu berita tentang budak perempuan 6 tahun mengadu sakit kemaluan kepada emaknya.

Selepas diperiksa ada lebam-lebam dan emaknya terus bawa ke hospital dan buat laporan polis.

Bila disoal siasat rupanya anak lelaki pengasuhnya yang berumur 7 tahun telah buat sesuatu kepada budak perempuan itu.

Aku terus terfikir macam mana budak berusia 7 tahun tahu buat semua itu?

Adakah disebabkan teknologi mobile phone dan internet yang sangat mudah sekarang?

Ataupun disebabkan budak itu pernah tengok orang dewasa buat depannya tanpa disedari? Mungkin Ibu ayahnya atau saudara maranya?

Semuanya masih dalam siasatan pihak polis. Semoga segalanya tidak seperti laporan awal. Mungkin sekadar salah faham dan cedera sebab bermain sahaja.

Friday, July 28, 2017

Antara dendam dan dakwah

Seorang yang jahat boleh jadi baik.

Seorang yang hidupnya penuh kejahatan belum tentu matinya dalam keburukan.

Selagi nyawa dikandung badan manusia masih diberi peluang untuk bertaubat.


Tidak salah untuk berdendam tetapi biarlah ia berpada-pada.

Jangan biarkan dendam itu menutup terus ruang taubat seseorang.

Kita bukan tuhan untuk menghukum seseorang itu penuh dosa sampai tahap tidak mampu diampuni lagi.

Kita sebagai manusia kena ada Mindset yang betul tentang peluang dan dakwah.

Bagaimana kisah Ebit Liew berjumpa dengan pondan di kelab malam sehingga mampu mengajak mereka solat subuh bersama hanya kerana konsep 'Allah sayang kamu' yang diketengahkan.

Jika semua mindset pendakwah dan orang Islam seperti ini maka sudah tentu Islam nampak lebih cantik.

Sedih tengok manusia yang membawa nama Islam menunjukkan sikap berdendam seolah-olah tiada lagi ruang taubat buat orang lain.

Wednesday, July 26, 2017

Popiah milik siapa?

"Jom pindah planet lain, siapa nak ikut?"

Ini antara komen padu yang diberikan netizen berkenaan isu Rakyat Indonesia menuntut popiah adalah makanan warisan milik mereka.


Tuesday, July 25, 2017

Menipu tahap simpati

Cara paling mudah mendapat pertolongan ialah dengan bermain emosi seseorang, menagih simpati sehinggalah seseorang itu sanggup membantu.

Kalau sebelum ni ada yang berlakon jadi pengemis sampai kaya. Cara ini sebenarnya sudah dikira ketinggalan zaman.


Ada beberapa cara baru yang lebih POWER yang diceritakan rakan Facebook. Antaranya:
  1. Seorang lelaki datang ke kedai secara rawak dengan muka kesian dia bagitau dalam kesusahan beg duit dicuri tanpa sedar masa naik LRT. Jadi dia perlukan sedikit duit untuk beli tiket pulang ke rumah. Bila sampai rumah dia akan bayar balik dengan Bank In ke akaun empunya kedai itu. 

    Atas dasar simpati pemilik kedai itu pun bagilah duit dan minta nombor telefon dia. Esoknya pemilik kedai cuba hubungi lelaki itu tetapi yang menjawab dihujung talian ialah seorang India. Rupanya kena tipu.

  2. Mendakwa dirinya seorang pelajar agama di luar negara biasanya Mesir dan sekarang dalam proses untuk mengumpulkan dana sambung belajar.

    Muka kesian dengan pakaian jubah serban menampakkan kewarakan jadi ramailah yang menghulurkan derma. Rupanya bila diperiksa lelaki itu seorang penipu.

  3. Si penipu dapatkan nombor mangsa yang pernah membuat kursus, seminar dan program secara terbuka kepada orang ramai. Nombor mungkin diambil daripada Facebook atau Flyers yang diedar. 

    Penipu telefon beritahu yang dia pernah hadiri program yang dianjurkan mangsa. Disebabkan maklumat program dan penceramah itu dipromosikan secara terbuka, jadi mangsa seolah-olah kenal dengan penceramah dan berjaya pengaruhi penceramah.

    Penipu beritahu sekarang ini dia ada di negeri lain kerana ada melawat kematian ahli keluarga. Nak dijadikan cerita Isterinya sekarang baru sahaja lepas bersalin di hospital. Jadi dia kesempitan wang untuk pulang ke KL. Dia minta jasa baik penceramah untuk meminjam wang RM70 untuk bekal minyak kereta.

    Anaknya yang baru lahir sekarang sedang mengunggu di dalam kereta. Mengikut pengakuan mangsa memang ada dengar suara budak menangis dalam telefon. Mungkin dirakamnya.

    Oleh kerana simpati, penceramah tadi terus Transfer duit ke nombor akaun yang diberikan. Mungkin ada mangsa yang Transfer duit lebih sebab kesian kan? Selepas penceramah menceritakan di Facebook amal yang telah dibuatnya itu, barulah dia sedar yang dia rupanya kena tipu.
Begitulah secebis kisah masyarakat yang semakin kreatif melakukan jenayah dan penipuan untuk menjadi cepat kaya, malas bekerja dan mahu dapat duit mudah.

Sebab itulah lebih elok jika kita siasat dahulu latar belakang sebelum memberikan derma kepada seseorang. Zaman sekarang maklumat dihujung jari.

Ustaz juga pernah berceramah yang lebih afdal kita menderma kepada ahli keluarga, kawan-kawan dan jiran tetangga sebab kita kenal latar belakang mereka.

Semoga kita semua tidak menjadi mangsa dan pemangsa.

Monday, July 24, 2017

Adakah pemimpin tahu kesusahan rakyat?

Saban hari tersenarai di Wall Facebook aku cerita-cerita sedih tentang kesusahan rakyat.

Ada kes kilang tutup, terpaksa berhenti kerja. Sampaikan tahap ada seorang pakcik bawa sepanduk berdiri tengah panas, tempat laluan orang untuk meminta kerja. Semua itu dibuat tanpa rasa malu demi menyara keluarga.


Ada kes lain usahawan bercerita banyak bisnes terpaksa kurangkan pekerja. Daripada 40 orang tinggal 3 orang. Daripada 10 orang tinggal 2 orang.

Lagi kes lain seorang isteri diberhentikan kerja, disebebkan hanya suami bekerja dengan tanggungan anak ramai dan komitmen hutang banyak. Akhirnya keluarga ini terpaksa makan nasi berlaukkan telur sahaja.

Secara zahir negara kita masih aman, rakyat masih boleh makan minum. Hakikatnya semakin hari ekonomi negara semakin teruk. Bebanan kos semakin meningkat tanpa disedari.

Duit RM50 seolah-olah RM10 beberapa tahun lepas. Kos hidup meningkat mendadak dalam masa yang singkat. Itu belum dikira harga rumah yang mencanak naik.

Apa yang sedih ialah barisan pemimpin tidak mahu bersatu. Masing-masing dengan perjuangan masing-masing. Akibatnya rakyat yang tersepit.

Untuk seketika, tolonglah bersatu hati perbaiki negara. Selepas negara dibaiki elok, pada masa itu bergaduhlah untuk perjuangkan agenda masing-masing.

Saturday, July 22, 2017

Ustaz berbahas pengikut bergaduh

Perbezaan pendapat asalnya satu rahmat. Dengan adanya perbezaan pendapat manusia yang pelbagai ragam, selera dan pemikiran boleh memilih untuk ikut pendapat mana.

Tetapi suasana di Malaysia ini lain jadinya. Kalau boleh, semua orang perlu ikut satu pandangan saja. Yang ikut pendapat lain sikit mereka itu sesat, tidak betul dan salah.

Apabila ada 2 ustaz berbahas tentang satu isu sepatutnya kita sebagai pendengar kena gembira dan dengar elok-elok.


Sebabnya dengan mendengar dan berfikir kita akan dapat ilmu baru.

Selepas dengar pilihlah nak pakai pendapat mana. Tiada betul tiada salah. Yang ada cuma pilihan kita sahaja.

Jika kita sudah pilih untuk ikut sesuatu pendapat itu jangan pula menghentam orang yang ikut pendapat ustaz lain.

Terbukalah dengan perbezaan pendapat. Hormatilah semua ustaz. Jangan taksub dengan seorang sahaja.

Anggaplah semua ustaz ada ilmu dan kelebihan masing-masing.

Ada seorang kawan bagitau. Aku kalau tengok 2 orang ustaz berbahas aku ambil dua-dua ilmu daripada mereka. Yang penting ada sesuatu untuk aku faham dan amalkan.

Ustaz tidak maksum, ada hujah yang aku rasa salah daripada seorang ustaz, aku anggap itu normal seorang manusia yang tidak lepas daripada kesilapan.

Jika ustaz ada tersilap tidak semestinya aku hukum dan benci dia seumur hidup sebab aku tahu dia berilmu dan ada ilmu yang aku telah dapat dan amalkan daripada dia sebelum ini.

Selepas dengar perkataan daripada kawan aku ini aku rasa semua ustaz betul. Semua pandangan betul. Tugas kita ialah ikut dan pilih yang mana kita suka.

Yang peting kita tahu pandangan yang kita ikut itu daripada mereka yang berautoriti.