Sunday, July 30, 2017

Lebih baik diam, ketap bibir dan jalan terus

Artis muncul bagai cendawan lepas hujan.

Tidak mampu kejar dan ambil tahu semua nama artis baru.

Tetapi disebabkan zaman media sosial dan internet yang mudah akses, cara paling mudah memperkenalkan diri ialah dengan menjadi bahan viral.

Dengan viral itu namanya akan mula dikenali sampai ada yang tanya, "Artis ni pernah berlakon drama apa ya? Filem apa ya?"

Viral pula ada dua jenis samada viral cara baik dan buruk

Viral cara baik biasanya memerlukan seorang artis itu ada potensi, bakat dan personaliti bagus. Dengan hasil karyanya itu dirinya mula tersebar di laman sosial. Biasanya cara ini amat sukar.

Viral cara jahat amat mudah dengan menimbulkan isu panas, bergaduh antara artis dan 1001 cara yang mungkin memalukan bagi orang biasa.

Tetapi bagi mereka yang memerlukan publisiti akan sanggup buat apa sahaja demi secebis kemasyhuran.

Sejak akhir-akhir ini amat ramai artis yang bergaduh sesama sendiri mengata macam-macam sampai sanggup memberi gelaran pelacur.

Apa jalan terbaik jika seseorang mengata kita secara terus atau sindiran?

Sebenarnya lebih baik kita diam, ketap bibir dan jalan terus.

Mulut orang siapa boleh kawal? Jika kita tidak melawan dan membalas, isu itu akan terpadam dengan sendirinya.

Tetapi jika kita ada niat lain untuk menviralkan diri, tindakan yang sebetulnya ialah balas kata-kata itu dengan kata-kata lebih panas.

Sukar untuk aku tafsirkan adakah fenomena ini baik untuk masa depan negara yang ingin melahirkan rakyat minda kelas pertama atau ini satu fenomena buruk dan merosakkan.

Itu belum sebut lagi berkenaan deretan drama melayu dan novel cinta yang boleh meruntuhkan moral masyarakat secara senyap.

Kita tidak perlu risau agenda tersembunyi organisasi rahsia yang ingin merosakkan umat Islam. Sebenarnya cukup dengan agenda tanpa sedar umat Islam sendiri yang mampu merosakkan masyarakat.

Itu yang perlu kita risau.

No comments: