Thursday, January 17, 2013

Kita tidak berada di tempat mereka

Saya selalu juga terfikir, kalau lah aku berada di tempat mereka sudah tentu aku akan buat begini dan begitu. Kenapa mereka boleh buat begini?

Sehinggalah satu ketika kata-kata saya ini disedarkan oleh orang yang berpengalaman. Katanya, "Jangan berkata begitu, kamu tidak berada di tempat mereka. Kalau kita berada di tempat mereka belum tentu kita mampu buat lebih baik daripada mereka."

Percakapan saya ini sebenarnya berkisar tentang sikap sesetengah saudagar arab yang kaya-raya yang hidup di tanah arab bumi para anbiya' tetapi mereka suka berfoya-foya terutama apabila bercuti di luar negara.

Mereka dikurniakan kemewahan hasil bumi oleh Allah yang sebenarnya boleh jadi ujian di dunia.
Sambung orang yang berpengalaman itu lagi, "Jangan ingat kesusahan dan kemiskinan itu ujian. Kekayaan dan kesenangan juga ujian. Malah ujian kesenangan dan kemewahan ini sebenarnya lebih besar kerana ia mampu membuat diri kita alpa dan cintakan dunia."

"Bersyukurlah dengan apa yang ada tetapi jangan lupa untuk terus berusaha dan berdoa supaya kita diberikan hidayah agar apabila kita kaya kelak kita tidak lupakan akhirat malahan dapat melabur dengan memberi sebanyak mungkin untuk bekalan akhirat."

"Betapa banyak contoh saudagar yang kaya tetapi hebat amalannya, banyak memberinya, sentiasa membantu dan sederhana hidupnya. Doakan supaya kita jadi seperti mereka."

Kesimpulannya, jangan mudah mengata orang tetapi terus refleksi diri kita supaya tidak jadi seperti mereka dan berdoa supaya kita jadi dan tergolong dikalangan mereka yang sentiasa diberikan hidayah dan petunjuk.