Wednesday, November 30, 2011

Amerika tersalah bunuh 24 askar Pakistan

Pelik betul apabila Amerika bagitau mereka terslilap serang askar Pakistan yang menjaga sempadan Pakistan dan Afghanistan. Jumlah kematian askar Pakistan seramai 24 orang. Ada bagitau 26 orang.
Dengan kelengkapan perisikan, satelit dan bermacam alat canggih lagi memang pelik apabila alasan serangan ialah 'mereka tersilap'. Tidak logik betul. Mesti ada sebab lain atas serangan itu. Kalau seorang dua yang kena aku boleh terima kalau tersilap. Ini sampai 24 orang meninggal. Macam orang buta menembak pula.

Apapun Pakistan sekarang ini telah menutup laluan sempadan yang menjadi sumber utama saluran bekalan kepada 130,000 tentera Amerika di Afghanistan. Satu lapangan terbang rahsia milik tentera Amerika juga telah ditutup di Pakistan.

Aku dengar cerita askar yang mati tu bukan askar biasa sahaja. Ada diantara mereka memiliki pangkat tinggi dalam ketenteraan Pakistan.

Aku rasa tindakan Pakistan boikot Amerika ini tidak lama sebab alasan utama kenapa Pakistan selalu akur dengan Amerika ialah mereka mahu elak negara Pakistan diserang Amerika. Amerika pula memang dah lama nak serang Pakistan ni. Amerika ugut sikit je lepas ni, akurlah Pakistan tu.

Lagi pula Amerika tidak risau dengan bantuan ketenteraan apabila menyerang Pakistan nanti sebab India akan sudi beri bantuan. Yelah, India dan Pakistan dah lama bermusuh.

Apapun, itulah nasib apabila kesatuan antara negara Islam ini lemah. Senang diperkotak katikkan oleh kuasa besar.

Tuesday, November 29, 2011

Morocco mengundi elak kebangkitan rakyat

Semalam merupakan tarikh keramat di Morocco apabila PJD iaitu Justice and Development Party telah memenangi pilihanraya Morocco.

Parti ini dikatakan memiliki idea islamik tetapi tidak memberi fokus kepada hal pemakaian tudung dan arak dalam menifesto mereka sepertimana kebanyakan parti di dunia Arab. Mereka mempromosikan sistem kewangan Islam kepada rakyat. Mungkin parti ini mula faham konsep dakwah kontemperari untuk menarik lebih ramai penyokong.
Bakal perdana Menteri Morocco Abdelillah Benkirane
Negara Morocco sebenarnya masih dikawal oleh sistem beraja. Apabila berlaku kebangkitan rakyat di negara jiran seperti Tunisia dan Libya serta beberapa demonstrasi jalanan di Morocco maka Raja Morocco iaitu Raja Mohammed VI telah membuat keputusan untuk melakukan pilihanraya dan menjanjikan perubahan kepada sistem pemerintahan Morocco.

Tindakan bijak dan pantas Raja Morocco ini bagi aku patut dipuji kerana jika dibiarkan kebangkitan rakyat berterusan maka tidak mustahil sistem beraja Morocco juga akan runtuh sepertimana pernah terjadi kepada negara Arab lain. Rakyat juga mungkin akan merana jika peperangan tercetus.

Pendekatan Justice and Development Party di Morocco juga patut dijadikan contoh oleh gerakan Islam di negara lain untuk mendapat lebih banyak sokongan orang ramai. Apabila orang ramai mula menyokong dan membuka hati mereka kepada gerakan Islam ini maka senanglah untuk berdakwah kearah kebaikan di masa hadapan.

Monday, November 28, 2011

Kata-kata Saif al-Islam Gaddafi selepas ditangkap

Selepas dittangkap pada 19 November lalu Saif al-Islam Gaddafi telah mengeluarkan kata-kata yang bagi aku tidak boleh diterima dan agak bongkak.
Dia mengatakan yang Libya akan terus huru hara dan rakyat akan terus memberontak selepas ini walaupun Kerajaan Gaddafi sudah ditumbangkan. Lagipun sekarang ini rakyat Libya masih memegang senjata dan tidak mahu menyerahkan senjata yang digunakan semasa melawan Gaddafi dulu.

Pandangan beliau ini bagi aku mencerminkan 3 perkara:
  1. Rakyat Libya ini seolah-olah tidak sukakan keamanan dan akan terus memporak-porandakan negara.
  2. Hanya kerajaan ayah beliau sahaja mampu mengawal negara dan rakyat Libya.
  3. Rakyat Libya hanya mampu dikawal oleh diktator dengan kekerasan dan bukan demokrasi. Dengan kata lain rakyat yang tidak bertamadun.
Siapakah beliau untuk berkata sedemikian rupa? Tiadakah sekelumit kata untuk meminta maaf kepada rakyat yang telah dizalimi?

Sunday, November 27, 2011

Pisang kurangkan tekanan darah

Ada orang cakap kat aku supaya amalkan makan pisang setiap hari mulai sekarang. Dapat bantu kurangkan tekanan darah seterusnya dapat elakkan penyakit lain seperti strok dan jantung.

Aku pun terus search google berkenaan perkara ni dan memang mengejutkan yang kata-kata kawan aku tu betul!

Ada 3 kajian yang telah dibuat tentang pisang ni:
  1. Kajian yang disiarkan oleh The New England Journal of Medicine mengatakan penyediaan pisang dalam hidangan harian anda boleh mengurangkan sehingga 40% kematian disebabkan strok.
  2. Kajian pada tahun 1997 di Johns Hopkins University pula mencadangkan untuk memakan pisang sebanyak 5 biji setiap hari untuk mengurangkan tekanan darah.
  3. Bagaimanapun, kajian yang dilakukan oleh orang India di Kasturba Medical College mendedahkan sesiapa yang memakan 2 biji pisang setiap hari selama seminggu dapat mengurangkan tekanan darah sebanyak 10%.
Pisang dikatakan kaya dengan potassium yang membantu jantung berfungsi dengan baik. Juga mengandungi  sodium untuk mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan dan ini merupakan faktor penting untuk mengawal tekanan darah.

Wednesday, November 23, 2011

Betul ke Hosni Mubarak insaf?

Satu persoalan yang timbul dalam kepala aku semasa mula-mula kerajaan Hosni Mubarak jatuh ialah, kenapa begitu mudah Hosni Mubarak mengalah dan bersetuju untuk turun takhta?
Persoalan itu sedikit terjawab apabila aku terbaca sebuah blog tentang krisis di Mesir ini. Hosni Mubarak sebenarnya telah insaf daripada terus dijadikan boneka dan mula menentang balik mereka yang mengawal Mesir (Zionis Crusaders). Maka sebab itu beliau dijatuhkan. Itu adalah pandangan penulis blog itu.

Walau apa pun sebabnya, Kejatuhan Mesir sekarang telah membawa negara itu ke arah masa depan baru. Sama ada ke arah lebih baik atau buruk, perkara itu diluar bidang kuasa kita. Hanya rakyatnya sahaja yang mampu mencorak Mesir sekarang.

Tiada yang lebih baik daripada seorang pemimpin itu telah insaf dan sanggup berkorban demi masa depan rakyat. Apa yang kita tidak ingin lihat ialah seorang pemimpin yang tidak insaf malah terus bongkak sehingga akhir hayatnya. Tahniah Hosni Mubarak jika anda telah insaf!

Tuesday, November 22, 2011

Kenapa Mesir bergolak lagi?

Siapa yang tidak mahukan negara aman? 
Siapa yang mahu negara mereka bergolak?
Jadi atas dasar apakah lagi Mesir kembali bergolak?

Memang naluri manusia yang mahukan kebebasan dan keadilan. Tetapi sering kali kebebasan dan keadilan perlu dibayar dengan darah. Sejarah telah buktikan.

Apa yang berlaku di Mesir sekarang adalah perasaan tidak puas hati rakyatnya yang mahukan pemerintah junta tentera mengembalikan kuasa kepada pemerintahan awam.
Wartawan cedera dibantu penunjuk perasaan.
Dua punca yang mungkin menyebabkan pemerintahan junta tentera sukar untuk melepaskan kuasa kepada rakyat ialah:
  1. Junta tentera mula gilakan kuasa dan mahu memerintah Mesir memandangkan segala alat dan kuasa ketenteraan berada di tangannya.
  2. Junta tentera menerima tekanan Israel untuk melambatkan ataupun menggagalkan proses penyerahan kuasa kembali kepada rakyat memandangkan jika pilihanraya diadakan kemungkinan untuk parti dikuasai Ikhwanul Muslimin akan menang amat tinggi. Kalau ini berlaku, rakyat Palestin di Semenanjung Gaza akan lebih mudah menerima bantuan kemanusiaan melalui Mesir selepas ini. Perkara ini amat dibenci Israel.
Dua sebab diatas cukup untuk  menjawab kenapa hingga ke hari ini junta tentera gagal kembalikan kuasa kepada pemerintahan awam.

Monday, November 21, 2011

Syria bakal menyusul selepas Libya

Sejarah timur tengah telah membuktikan bahawa kebanyakan pemimpin yang kejam akan berakhir dengan tragis. Hanya masa yang menentukan samada pengakhiran itu berlaku di waktu dia sendiri atau anaknya.

Hakikatnya bukan di zaman ini sahaja berlakunya pemberontakan di negara timur tengah tetapi sudah banyak kali berlaku sebelumnya. Jadi jangan hairan dan pelik apabila satu demi satu negara di timur tengah mula jatuh bermula dari Tunisia.

Jatuhnya pula negara ini bukan disebabkan kuasa luar tetapi sikap pemimpinnya yang mementingkan diri sendiri dan melakukan kekejaman terhadap rakyatnya.

Sepertimana Gaddafi, Bashir al-Assad juga digambarkan sebagai kejam dalam berhadapan dengan penunjuk perasaan. Dia mengarahkan askarnya untuk menggunakan peluru hidup malah diceritakan kereta kebal juga digunakan.

Tiada yang pelik apabila ini berlaku kerana sejarah ayahnya juga lagi tragis apabila melakukan pembunuhan beramai-ramai rakyatnya di sebuah bandar yang dinamakan Hama. Rekod menunjukkan kematian mencecah sehingga 40,000 orang.

Seperti mana kata seorang pakar analisis politik timur tengah, Bashir al-Asaad sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Sukar untuk rakyat memaafkan regim ini sejak sekian lama memendam rasa. Hanya masa yang menentukan bila dia akan jatuh.

Monday, November 14, 2011

Rakyat Korea Selatan yang sanggup berkorban

Korea Selatan telah melalui pelbagai rintangan daripada perang saudara dengan Korea Utara dan pemberontakan dalaman disebabkan pemerintah korea yang zalim pada masa itu 

Kestabilan politik dalaman Korea Selatan hanya mula berlaku pada tahun 1987. Diceritakan bagaimana Korea Selatan bangkit daripada kejatuhan ekonomi terutama selepas pelbagai krisis amat mengagumkan.

Korea Selatan memiliki banyak hutang pada ketika itu. Untuk menyelesaikan hutang itu maka rakyatnya berpakat untuk memberi emas yang mereka ada kepada kerajaan untuk melangsaikan hutang tersebut. 

Sejak itu ekonomi Korea Selatan terus naik ditambah pula dengan kesungguhan dan kekreatifan rakyatnya mencipta produk untuk dijual di peringkat antarabangsa.

Sebenarnya rakyat akan sanggup berkorban untuk negara apabila dilihat diri pemimpin itu yang berkorban dari sudut fizikal dan kebendaan. Mana mungkin disuruh rakyat berkorban sedangkan hidup pemimpinnya serba kemewahan dengan duit rakyat.

Saturday, November 12, 2011

Beza semangat patriotik Libya dan Iran

Jika dilihat balik memang tidak patut rakyat Libya membiarkan kuasa asing NATO campur tangan dalam urusan politik negara Libya. Tetapi kita juga perlu tanya kenapa boleh jadi sampai macam ni? Kenapa rakyat Libya begitu terdesak sampai begitu?

Sekarang juga heboh dengan berita kemungkinan Iran akan diserang US dan Israel. Akan tetapi respon rakyatnya sangat berbeza dengan rakyat Libya. Kenapa?

Kunci utama kepada persoalan ini ialah 'pemimpin' dan 'pemerintah'. Cuba lihat dan bezakan antara 2 negara ini.

Macam mana seorang pemimpin dapat menyatukan majoriti rakyatnya dan disebelah pihak lain pula berlaku sebaliknya.

Cuba kita berada di dalam kasut rakyat Libya. Bayangkan kita berada di sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi tetapi tidak dibahagikan dengan sebaiknya. Tidak cukup dengan itu pemerintah pula sanggup menzalimi dan membunuh rakyat sendiri.

Jika kita berada di situ apa yang kita fikirkan? Mana satu kita sanggup korbankan? Nyawa atau harta kekayaan negara? Jika kita minta bantuan luar maka kekayaan negara mungkin akan dirompak beberapa ketika. Jika kita tidak minta bantuan mungkin nyawa kita, anak-anak dan generasi masa depan akan terkorban. Maka sudah tentu rakyat Libya memilih nyawa generasi masa depan.

Iran walaupun dikenali dengan majoriti penganut Syiah tetapi pemimpinnya dilihat begitu zuhud. Jangankan sanggup merompak harta negara malah diri sendiri pun tidak dimewahkan. Jadi tidak hairanlah kenapa rakyat sanggup berkorban demi negara.
Tidak kiralah betapa hebat gagasan pemikiran seorang pemimpin dengan Buku Hijau dan bermacam-macam teori ekonomi kebajikan untuk rakyat, tetapi jika hidupnya penuh kemewahan melebihi kemampuannya maka semua itu dilihat sebagai retorik.

Jangan lupa yang seorang manusia pernah memeluk Islam kerana mengagumi sang khalifah yang rumahnya seperti rumah orang miskin. Pada zaman itu pemimpin negara bukan Islam yang lain begitu tersergam indah mahligai raja dan pemimpin.

Jika inginkan rakyat berkorban maka pemimpin perlu berkorban terlebih dahulu. Jangan pula disaat kejatuhan baru ingin berkorban maka pada masa itu sudah terlambat kerana si pemimpin perlu dikorbankan untuk kebaikan generasi masa depan.

Friday, November 4, 2011

Libya - Kenapa perlu dibela pengkhianat?

Jika diberi amanah untuk menjaga harta negara tetapi dia khianati dengan menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

Jika diberi kuasa untuk menjaga keselamatan rakyat awam tetapi dia menangkap malah sanggup membunuh rakyat yang menegurnya.

Apakah selayaknya digelar insan sebegini? Cukupkah dengan dia melaungankan untuk membela bangsa dan negara disaat gerombolan pemerintahannya mula jatuh maka kita terus ampunkan dosanya?
Inilah yang berlaku di Libya. Aku sebenarnya agak pelik juga apabila ada seorang rakan facebook berkongsi artikel memuji pemerintah Libya yang menjaga rakyatnya melebihi negara lain. Malah ada yang komen menuduh rakyat Libya melebih pula apabila dikatakan "orang bagi betis nak peha".

Ya betul! Secara teorinya memang betul itu yang dikatakan dan dijanjikan pemimpin Libya satu ketika dahulu dalam Buku Hijaunya. Memang dia menjanjikan seribu satu kemudahan untuk rakyat selepas dijatuhkan pemimpin Beraja Libya sebelumnya.

Tetapi lama kelamaan segala kemewahan hasil bumi Libya membuatkan dia hilang punca apabila agama tidak diletakkan sebagai matlamat tetapi melebihkan kebangsaan.

Jadi kenapa perlu dipuji orang yang mengkhianati rakyatnya sendiri? Secara bertulis semua orang boleh buat tetapi praktikalnya? Itu yang pemerintah Libya gagal menyebabkan rakyatnya bangkit menuntut supaya digantikan pemerintah yang lebih adil dan amanah dalam menguruskan khazanah negara dan hal ehwal kebajikan rakyat.

Thursday, November 3, 2011

Dasar pecah dan perintah

Apa yang menjadi punca kejayaan Zionis dan Crusaders menfitnah Taliban ialah disebabkan sifat Taliban itu sendiri yang tidak menonjolkan diri dalam kerja mereka.

Maksudnya tiada siapa yang tahu secara sah siapa ahli Taliban di Afghanistan yang sebenar. Kalau penduduk itu tahu pun mereka akan mengaku tidak tahu. Jadi ini sebenarnya memudahkan kerja jahat pihak musuh.

Macam mana Taliban difitnah?

Beberapa laporan telah didedahkan yang beberapa kali agen british iaitu SIS telah ditangkap dalam keadaan menyamar berpakaian seperti Taliban. Mereka ini menembak sesuka hati ke arah orang ramai. Jadi kejadian pengebom berani mati dan kekacauan di Pakistan adalah tidak mustahil kerja pihak mereka.

Dasar pecah dan perintah masih digunakan hingga kini. Kenapa perlu korbankan askar Zionis dan Crusaders jika mereka boleh buat rakyat Pakistan dan Taliban berperang sesama sendiri. Mungkin dengan korban beberapa agen ini boleh menyelamatkan beberapa ribu nyawa askar mereka dan menjimatkan kos berperang.

Pernah warga Pakistan yang aku temui bagitau jika tidak kerana kekacauan di Pakistan ini sudah pasti Pakistan akan bergerak lebih maju dengan teknologi nuklearnya. Tidak mustahil perkara ini dirisaukan pihak musuh Islam.