Wednesday, October 24, 2012

Adakah perlu bangga diri?

Jika ditanya kepada diri, adakah kamu ini seorang yang bangga diri? Jawapannya mesti tidak kerana sukar untuk mengakui kita ini memiliki sikap buruk tersebut.

Mungkin juga ada yang berani mengatakan YA mengakui mereka memiliki sikap tersebut kerana bagi pandangan mereka sikap bangga diri ini satu perkara positif untuk berjaya. Mungkin ada betulnya pandangan ini jika kena pada tempatnya.
Tetapi kali ini aku ingin bercerita tentang sikap ini yang negatif dan boleh membunuh perkembangan individu tersebut dan banyak aku lihat situasi ini berlaku dalam masyarakat sekeliling.

Jika kita ada kelulusan di dalam sesuatu bidang dan tiba-tiba ada seorang individu berkongsi tip/hujah sedangkan dia tiada kelulusan dalam bidang itu dan bercakap berdasarkan pengalaman semata-mata. Biasanya kita akan mula persoalkan beliau dengan soalan yang 'Killer'.

Contohnya:
"Ada bukti saintifik untuk tip/hujah ini?"
"Apa kelulusan yang awak ada?"

Soalan ini sebenarnya bagus untuk ditanya tetapi jika kita bertanya dalam keadaan bangga diri maka kita sebenarnya sudah terlepas untuk mendapat sesuatu ilmu yang mungkin berharga.

Kadang-kadang ilmu itu bukan sahaja boleh didapati daripada kelas yang diiktiraf tetapi kehidupan dan pengalaman harian juga merupakan ilmu.

Jika kita terlampau memandang kepada status individu dan bukan kepada isi yang ingin disampaikan maka kita sebenarnya seorang yang bangga diri dan sudah tentu kita yang akan rugi.

Seorang bijak pandai (tidak semestinya ada Master atau Phd) tidak akan bangga diri dan akan sudi mendengar hujah walaupun daripada budak kecil sebab bagi mereka ilmu itu ada di mana-mana samada daripada orang bawah, budak kecil, orang tua atau budak lepasan SPM.

Jika apa yang dikatakan salah sekalipun dan kita ada bukti menyangkal tip/hujah individu tersebut. Orang bijak pandai ini akan menerangkan secara berhemah tanpa menjatuhkan air muka dihadapan orang ramai. Kita biasanya boleh lihat contoh terdekat seperti komen-komen di Facebook.

Jika anda ingin pergi lebih jauh dan menguasai ilmu dunia yang terbentang luas maka buka minda anda dan elakkan sikap bangga diri.

Jika anda sudah berpuas hati dengan dunia anda sekarang, maka teruskan dengan sikap tersebut. Tiada siapa yang rugi melainkan diri anda sahaja.

Tulisan ini cuba untuk memperingatkan diri aku agar lebih merendah diri dan sudi mendengar cerita/hujah/tips daripada sesiapa sahaja asalkan perkara itu bermanfaat.

No comments: