Jawapan Kepada Penyokong Parti Yang Buta Jawi

Terkejut, pelik, bingung dan lucu adalah antara perasaan yang aku alami sebaik sahaja terbaca kenyataan di satu Facebook Page penyokong Sebuah Parti. Lihat gambar di bawah (klik untuk besarkan):


Mungkin mereka ingat ini satu isu yang menarik dan dapat mengenakan parti lawan tetapi hakikatnya isu itu memakan diri.

Memang banyak komen yang mengutuk mereka tetapi ada satu tulisan yang sangat menarik mengenai fenomena ini dan mungkin ramai orang Islam terlepas pandang menyebabkan dakwah di Malaysia kepada kaum lain tidak rancak. 

Berpuluh-puluh tahun kita bersama tetapi masih ada prejudis antara satu sama lain sehinggalah satu gelombang kebangkitan rakyat timbul beberapa tahun lalu dan telah merobohkan benteng yang dibina pihak penguasa untuk menjayakan agenda PECAH dan PERINTAH.

Inilah tulisan yang membuka minda itu:
Kain lilit kepala pada seorang perempuan berbangsa Cina ada tulisan jawi dianggap suci. Perbuatan wanita itu dicemuh kerana katanya kain lilit kepala itu nanti akan diletak di merata tempat yang tak sepatutnya.
Jangan cerca individu yang menulis status itu kerana dia adalah gambaran 'world view' atau pandangan hidup melayu terhadap Islam. Pandangan hidup melayu yang tipikal tidak semestinya pandangan hidup muslim. Pandangan hidup melayu ke atas Islam meng'kudus'kan Islam lebih dari menghayati dan melaksanakan Islam dalam kehidupan.
Dilihatnya tulisan jawi itu siap ada tanda bacaan kasrah, dhammah, fathah, shadda (sabdu) dan sukun (tanda mati), tanween (tanda bacaan dua di atas, dua di bawah dan dua didepan). Ia serupa macam al-Quran tetapi dia bukan ayat Quran. Kerana apa yang tertulis ialah Partai Islam se Malaysia dalam tulisan jawi. Jadi pandangan hidup mengkuduskan Islam ini memuliakan jawi menyangka bahawa ia suci dan kudus sedangkan dia hanya tulisan bahasa Melayu dengan menggunakan huruf-huruf Arab.
Walaupun jawi itu adalah jelmaannya syiar Islam yang penting yang dimiliki oleh orang melayu di nusantara, namun melayu nasionalis yang 'mengkuduskan Islam ini juga yang memansuhkan atau menggantikan dengan tulisan rumi apabila tulisan rumi diangkat sebagai tulisan rasmi Semenanjung Tanah Melayu dalam Kongres bahasa di Seremban pada tahun 1956, satu tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan, ya sebelum orang melayu mengecapi kemerdekaan tanah air dari penjajahan barat, warisan melayu yang menobatkan syiar (lambang) Islam dalam tulisannya dihapuskan.
Inilah gerakan tajdid (pembaharuan atau peremajaan) Islami yang perlu ditekankan kepada melayu Islam. Gejala ini bukan satu yang terpencil. Psyche atau pemahaman bawah sedar yang mengkuduskan islam tanpa penghayatan sebenar islam itu bolih dilihat juga pada reaksi-reaksi orang melayu terhadap beberapa perlakuan lain yang diberi liputan meluas. Dua contoh yang mendapat perhatian besar ialah bersumpah dengan al-Quran dan bersumpah depan Kaabah.
Orang melayu yang mengkuduskan Islam ini merasa sumpahan dengan al-Quran punya nilai yang tinggi kerana dia bersumpah dengan Quran. Walhal tiada ditetapkan dalam peraturan bersumpah itu dengan al-Quran. Sumpah dalam peruntukan syariat hanya dengan perintah qadhi setelah syarat-syarat bersumpah itu diperakui oleh syariat (bolih atau tidak bolihnya bersumpah dalam perbicaan di mana hukum sumpah yang asalnya adalah makruh, bukan harus). Bahkan bersumpah dengan al-Quran adalah bid'ah kerana ia menyamai sumpah orang-orang Kristian. Dalam qanun Melakapun diletakkan peraturan sumpah depan qadhi ini ialah dengan pihak yang bersumpah memegang mimbar masjid - bukan memegang al-Quran.
Kalau demikian qudusnya bersumpah dengan Quran apatah lagi bersumpah depan kaabah! lagilah nilai sumpah itu naik beberapa darjat. Mungkin ini kali pertama sumpah yang didokumenkan berlaku di depan Kaabah (samada ia benar-benar tulen atau seperti yang didakwa oleh ramai sebagai video edit bukan isu di sini). Kita nak tegaskan sumpah yang diterima dalam Islam hanya sumpah yang diperintahkan oleh qadhi (hakim) yang akan memutuskan bolih tidaknya bersumpah, siapa patut bersumpah dan apa-apa syaratnya (lihat keterangan khusus dari blog Ust Zaharuddin Abd Rahman). Tak perlu melakukannya depan Kaabah kerana ia tidak menambah nilai sumpah itu. Bahkan dia boleh menjadi bid'ah yang mendatangkan dosa sekiranya ia dianggap sebagai tuntutan yang disyariatkan pula oleh umat yang jahil.
Isunya bukan berburuk sangka kepada orang yang bersumpah, yang dipersoalkan ialah dia bersumpah tidak patuh syariat dan wajib kita sebagai umat Islam menegur perbuatan meng'kudus'kan Islam tetapi sebenarnya perbuatan itu ditolak oleh Islam. Ia ibarat mengerjakan solat dengan khusyu tetapi tidak dilakukan dengan menepati rukun solat sebagaimana yang ditunjukkan oleh rasulullah SAW. Apakah solat semacam itu diterima? Pastinya solat semacam itu ditolak kerana sah atau keabsahan sesuatu amal ibadah yang khusus bukan sahaja ditentukan oleh niat tetapi dilakukan mengikut syariat.
Inilah satu amal yang wajib kita beri perhatian dan jihad meluruskan salah faham ini adalah keutamaan umat islam pada hari ini. ia mesti ditekankan dalam silibus fardhu ain agar kita melahirkan umat Islam yang bukan sahaja mengkuduskan Islam tetapi menghayatinya dengan lengkap dan sempurna sesuai dengan tabiat Islam yang komprehensif itu. Akhirnya kita kena pastikan apakah amal yang kita lakukan itu patuh syariat sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Terjaganya kesucian Islam itu bukan dengan menghalang kaum bukan Islam mendekati Islam, memasuki masjid malah membaca al-Quran tetapi terjaganya Islam itu melalui dakwah memperkenalkan Islam kepada kaum bukan Islam seramai mungkin.

Comments

Popular posts from this blog

Sultan Kelantan bakal berkahwin

Apabila agama dipersenda

Negara hidup beragama lebih rendah kadar bunuh diri

Dibaham harimau dan singa

Apabila bapa sanggup noda anak sendiri