Saturday, June 22, 2013

Kenapa Mesir Putuskan Hubungan Diplomatik Dengan Syria Tetapi Tidak Dengan Israel?

Saya sendiri tertanya-tanya kenapa Presiden Mesir Dr.Morsi tidak putuskan hubungan diplomatik dengan Israel sedangkan dengan Syria boleh putuskan begitu sahaja? Kalau nak kira kedua-dua negara adalah dipimpin oleh mereka yang gilakan darah manusia.

Soalan itu saya diamkan untuk mencari jawapan oleh kerana isu lebih besar dan kejam di Syria sedang terjadi. Mujurlah Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor telah menjawab persoalan itu dalam laman Facebooknya.
Ini adalah jawapannya:
Hubungan diplomatik di antara Mesir dan Syria tidak sama dengan perjanjian damai 'Camp David Accord' di antara Mesir dan Israel.
Adalah hak mana-mana negara yang berdaulat untuk mengadakan mana-mana hubungan diplomatik dengan negara lain, dan berhak pula untuk memutuskan atau menamatkan hubungan tersebut. 
Tidak ada pihak ketiga yang boleh memaksa atau menghalang untuk sebuah negara menjalin atau memutuskan hubungan diplomatik dengan negara lain.
Hubungan yang wujud di antara Mesir dan Israel bukan hubungan diplomatik biasa tetapi hubungan yang terhasil dari sebuah perjanjian antarabangsa Camp david Accord yang ditanda tangani oleh Mesir (Anwar Sadat) dan Israel (Menachem Begin) pada tahun 1978 yang di'broker' atau dimudah cara (lebih tepat diawasi/dipantau) oleh US. 
Ia adalah satu perjanjian yang mengikat dan meletakkan Mesir sebagai sebuah negara yang tidak akan menggugat keselamatan Israel. 
Ia adalah satu perjanjian yang dikuatkuasakan oleh US dan dipantau oleh EU. Ia adalah produk sejarah ketika Mesir berada di bawah telunjuk dan menjadi proxy US di timur tengah dengan package ekonomi yang hanya menguatkan cengkaman pemerintahan totalitarian (dictatorship) sejak dari zaman Anwar Sadat sehingga tumbangnya Hosni Mubarak di tangan rakyat Mesir.
Ketika Presiden Morsi memenangi Pilihanraya Presiden, antara kenyataan awal beliau ialah berkaitan dengan perjanjian damai Mesir dan Israel. 
Beliau dengan tegas mengatakan bahawa meskipun Mesir mengakui Perjanjian Camp David namun ia tidak bermakna Mesir baru bersetuju dengan syarat perjanjian yang merugikan Mesir dan Palestin. 
Beliau berikrar untuk melihat Mesir bebas dari belenggu yang mengikat batang lehernya. Namun ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan membatalkan perjanjian tersebut secara sehala. 
InsyaAllah kesempatan-kesempatan politik dan perubahan sosio-politik timur tengah satu hari nanti akan melihat perjanjian damai Camp David dibatalkan atau syarat-syaratnya dipinda sehingga Mesir mempunyai hak untuk menentukan hala tuju hubungan Mesir -Israel termasuklah kemungkinan besar memutuskan hubungan diplomatik dengan entiti zionis tersebut.
Untuk buat perubahan itu bukan mudah. Seperti apa yang berlaku di Turki daripada zaman Kamal Atarturk yang sangat sekular kepada zaman Pemimpin yang Pro Islam sebenarnya telah mengorbankan banyak nyawa dan menghadapi pelbagai cabaran politik.

Mesir yang baru setahun jagung dipimpin oleh presiden yang Pro Islam ini memerlukan banyak masa untuk berubah. Percaturan politik perlu bijak dan halus supaya tidak diambil peluang oleh mereka yang memusuhi negara yang dipimpin oleh pemimpin Islam yang adil kepada rakyatnya.

Sumber: Dr.Hafidzi

No comments: