Monday, October 28, 2013

Travelog di Bumi Iraq Siri 6

Catatan syiah yang ku kenali siri 6

Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah ke tangan pasukan Mongul Tartar tidak lepas daripada pengkhianatan tokoh Syiah Rafidhah bernama Alauddin Ibnu Alqani dan seorang menteri syiah bernama Nashiruddin Ath-Thusi. 

Wujud pakatan sulit antara pasukan Mongul Tartar dan kelompok Syiah di dalam Kerajaan Abbasiyyah dengan hasrat menjatuhkan pemerintahan Daulah Abbasiyah, kemudian menggantikannya dengan Daulah Fathimiyah.

Kisah sedih ini diceritakan Dr. Raghib As-Sirjani “Qishah At-Tatar min Al-Bidayah ila ‘Ain Jalut” sementara Dr. Muhammad Ali Ash-Shalabi menceritakan dalam bukunya “Al-Moghul Baina Al-Intisyar wa Al-Inkisyar” 
Ibnu Alqani dilantik sebagai perdana menteri oleh Khalifah Al-Mu’tashim Billah sementara Nashiruddin Ath-Thusi sebagai menteri. 

Sepatutnya mereka bertindak mempertahankan Negara tetapi sebaliknya mengadakan hubungan sulit dengan pimpinan bangsa Mongul Tartar dan membuka jalan pasukan kafir tersebut untuk masuk dan menyerang kota Baghdad. 

Ibnu Katsir menceritakan, “Ibnu Alqani menulis surat kepada pasukan Tartar yang isinya menyokong mereka menguasai Baghdad dengan memperincikan setiap peta jalan bagi kemudahan mereka menyerang Baghdad. Kelemahan-kelamahan pertahanan Khilafah Abbasiyah juga didedahkan.” 

Paling keji, Ibnu Alqani menipu Khalifah kononnya suatu pasukan utusan diplomatik dari Mongul akan tiba untuk melawat Baghdad. Kita perlu membuka pintu kota seluas-luasnya untuk menyambut mereka. Maka keluarlah pembesar-pembesar kerajaan Abbasiyah beramai-ramai untuk menyambut mereka tanpa membawa senjata. 

Akhirnya yang tiba bukan utusan diplomatik, tetapi pasukan tentera Mongul yang besar dan ganas. Dengan pintu kota yang sedia dibuka, Baghdad berhasil takluk dengan mudah. Khalifah Al-Mu’tashim Billah terbunuh pada 14 Shafar 656 H. 

Pengkhianatan itu mengakibatkan ramai ulama yang terbunuh, sekolah-sekolah dan masjid yang hancur, perpustakaan sebagai gudang ilmu luluh, ratusan ribu ummat Islam dibunuh dan kekejaman lain sangat yang luar biasa. Kota Baghdad bersimbah darah. Pusat peradaban Islam yang gemilang, tinggal kenangan.

Tujuan sejarah duka kejatuhan Abbasiyyah saya imbas kembali kerana kita manusia perlu belajar dari sejarah. Sejarah ini wajib kita maklumi. 

Iraq adalah sebuah Negara yang mengamalkan sistem khidmat wajib ketenteraan. Setiap rakyatnya yang mencapai umur 20 tahun wajib menyertai tentera. Kalau mereka menyambung pengajian, masa khidmat ditangguhkan sehingga tamat belajar. 

Tempoh khidmat wajib ini berbeza. Sekiranya Negara dalam keadaan aman, tempohnya 3 tahun bagi mereka yang tidak memiliki ijazah atau diploma. Tempoh setahun setengah bagi pemegang ijazah atau diploma. Dalam suasana perang, tempoh khidmat tiada had sehingga selesai konflik peperangan. 

Sedia dimaklumi bahawa penganut syiah Iraq adalah anti kerajaan era Saddam yang didominasi Muslim Sunni. Tetapi kerana mereka tidak memiliki kekuatan, penentangan ini lebih kepada silent protest serta kadang-kadang gerakan subversif. 

Walaupun anti kerajaan, lantaran undang-undang khidmat wajib tentera, mereka wajib berkhidmat sebagai askar. Dengan nisbah muslim dan sunni yang seimbang, bilangan mereka juga dalam tentera tentunya sangat ramai. Walaupun begitu, pegawai-pegawai tinggi tentera hampir keseluruhannya adalah Muslim Sunni. 

Ketika keadaan kelam kabut dan kacau bilau ekoran serangan Amerika yang membawa kejatuhan Saddam pada 2003, tidak keterlaluan kalau saya senaraikan, antara punca kelemahan pertahanan Iraq adalah kerana ramainya tentera yang berjuang sambil lewa serta lari meninggalkan medan pertempuran. 

Siapakah tentera yang khianat ini? Saya tidak berhajat memberikan jawapannya.
Tetapi lihatlah siapakah yang dipilih oleh Amerika sebagai boneka untuk menerajui Iraq selepas era Saddam. Nuri al Maliki, seorang tokoh syiah yang mempunyai hubungan rapat dengan Amerika, terlibat dalam gerakan subversif menentang kerajaan sehingga beliau melarikan diri dari Iraq pada tahun 1979 dan mendapat perlindungan politik di Syria dan Iran sehinggalah beliau kembali ke Iraq setelah kejatuhan Saddam pada 2003. 

Adakah beliau turut berperanan dengan kejatuhan Iraq kepada Amerika? Ya! Sudah tentu! Dengan perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri serta kerajaan yang didominasi penganut syiah, maka bermulalah mimpi ngeri kepada Muslim Sunni di Iraq. 

Sehingga sekarang, saya masih berhubung dengan kawan-kawan sekuliah di kalangan muslim sunni yang merantau membawa diri ke pelbagai negara seperti Turki, Swiss, Qatar, Dubai, Jordan dan lain-lain termasuk Malaysia ekoran desakan hidup serta ancaman terhadap nyawa dan keselamatan. Saya akan ceritakan kisah sedih mereka nanti.

Mungkin ada yang bertanya. Adakah Saddam seorang Islamik? Jawabnya tidak. Parti Baath yang diterajuinya adalah sebuah parti Sosialis. 

Semoga Allah merahmati seorang Syeikh yang alim lagi wara’ bila saya ajukan persoalan berkenaan Saddam sebelum kepulangan saya dulu. Jawapan beliau cukup dalam dan tidak saya fahami ketika itu. “Adanya Saddam adalah bala kepada Islam di Iraq, jatuhnya Saddam akan mengundang bala yang lebih besar.” Sahabat semua tentu telah dapat memahaminya.

============================

Tulisan ini dipetik daripada Facebook Dr.Azman Ibrahim.

Oleh kerana kisah pengembaraan beliau sangat menarik maka saya abadikan dalam blog ini untuk tatapan kita semua di masa akan datang.

InsyaAllah menurut kata beliau travelog ini akan dibukukan dalam masa terdekat. Sudah tentu ceritanya lebih lengkap, teratur, terperinci dan menarik. Sama-sama kita tunggu penerbitannya.

2 comments:

adarain said...

menarik kisah ni...terima kasih kerana berkongsi.

Alan Rizque said...

Sama-sama.