Sunday, September 9, 2012

Sultan Orhan Khan Ghazi I Sultan ke-2 Othmaniyyah

Kisah Sultan ke-2  Khalifah Uthmaniyyah Sultan Orkhan Khan Ghazi I (1326-1360). Dipetik daripada Facebook Page Ustaz Hasrizal.

Sultan Orhan Khan Ghazi I (1326-1360) merupakan Sultan ke-2 Pemerintahan Othmaniyyah. Semasa ayahandanya Osman Gazi di ambang Sakaraatul Maut, beliau telah berpesan kepada Orhan wasiat berikut:

“Wahai anakku, janganlah sekali-kali kamu menyibukkan diri melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan oleh Allah Tuhan semesta alam. Jika kamu menghadapi sebarang kesulitan di dalam pemerintahan, maka bermesyuaratlah kamu dengan pada Ulama’ untuk mencari jalan penyelesaian”

“Wahai anakku, rendahkanlah dirimu dengan kemuliaan kepada orang-orang yang mentaatimu serta peliharalah kebajikan tenteramu. Janganlah sekali-kali kamu diperdayakan oleh Syaitan dengan (kekuatan) tentera dan hartamu. Dan janganlah kamu sekali-kali menjauhkan diri daripada Ahli Syariah…”

“Wahai anakku, sesungguhnya kamu mengetahui bahawa matlamat kita adalah keredhaan Allah Tuhan semesta alam. Sesungguhnya jihad itu menyebarkan cahaya sinaran agama kita ke segenap penjuru. Dengan demikian itulah terhasilnya Mardhatillah Jalla Jalaaluh…”

“Wahai anakku, kita bukanlah dari kalangan mereka yang berperang kerana syahwat mahukan kuasa atau menawan manusia. Sesungguhnya kita ini hidup dengan Islam dan dengan Islam jualah kita mati. Dan hakikat inilah wahai anakku, kamu itu adalah ahlinya!”

Wasiat ini dicatat oleh Asik Celebi (Aa-shik Chelebi)

Saturday, September 8, 2012

Sultan Osman Gazi pengasas Othmaniyyah

Kisah seorang pemerintah Islam yang mungkin jarang kita dengar. Dipetik daripada Facebook Page Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Sultan Osman Gazi (1299 - 1326) merupakan pengasas kepada Pemerintahan Othmaniyyah, iaitu sebuah pemerintah yang berkuasa selama lebih 600 tahun, antara kerajaan paling lama memerintah di kala ini. Kekuatan besarnya adalah pada komitmen spiritual yang amat tinggi.

Biar pun mungkin agak ganjil bagi kita hari ini, pernah pada suatu hari ketika Sultan Osman Gazi hadir ke sebuah rumah sebagai tetamu, beliau berdiri sepanjang malam kerana di biliknya ada naskhah al-Quran, disebabkan oleh rasa hormat yang bersangatan kepada kitab Allah ini.

Kerana itu beliau mewasiatkan sebesar-besar wasiat kepada anaknya Orhan, agar meneruskan legasi pemerintahan dalam kerangka mentaati Allah.

Semoga Allah merahmati Sultan Osman Gazi dan pemerintah-pemerintah Muslim yang bertaqwa dan menjunjung syariat serta syiar-Nya, ameen..