Wednesday, July 18, 2012

15 sebab mengapa saya bertudung labuh

'Saya' dalam tajuk di atas bukan merujuk kepada diri penulis tetapi merujuk kepada individu asal yang sudi berkongsi pengalamannya. Perkongsian hebat ini aku ambil daripada Facebook. Semoga dapat memberi manfaat kepada kita semua sempena Ramadhan yang bakal menjelma.

15 sebab mengapa saya memilih untuk bertudung labuh:
  1. Menutup Aurat - Allah Cinta
  2. Dapat pahala bila jaga aurat, berganda bila ikhlas.
  3. Nampak macam panas tetapi bila pakai nyaman jer.
  4. Nampak solehah, kadang-kadang macam ustazah.
  5. bantu jaga mata lelaki, lindungi diri dari lelaki jahat.
  6. Nampak lebih cantik, ayu dan sopan.
  7. Melabuhkan tudung ikut syariat ertinya ikut sunnah.
  8. Apabila dah tutup dengan sempurna boleh terus buat pakaian solat.
  9. Didik diri hormat diri sendiri sebelum orang lain hormat kita.
  10. Menyihatkan badan, tidak kena sinar UV, debu, kuman dan lain-lain.
  11. Tingkatkan malu dalam diri kerana malu itu separuh daripada iman.
  12. Satu cabang dakwah iaitu dengan membawa manusia cinta pada Islam.
  13. Memudahkan jodoh kerana ini adalah antara ciri-ciri yang boleh dijadikan isteri solehah, InsyaAllah.
  14. Petanda awal ke arah menjadi insan yang beriman dan bertaqwa.
  15. Bukan nak tunjuk baik cuma nak jadi baik dengan sentiasa memperbaiki diri.
Jom kita berkejar mencari redha Allah dengan sentiasa memperbaiki diri dan amalan seharian kita. Selangkah kita mendekati Allah, seribu langkah Allah menghampiri kita.

Tuesday, July 17, 2012

Cara cari muka surat dalam Al-Quran dengan mudah

Ramadhan semakin mendekati kita. Diharapkan agar Ramadhan kali ini dapat mendidik kita untuk mendekati Al-Quran dengan lebih rapat.
Di sini dikongsikan cara untuk cari muka surat dalam Al-Quran dengan mudah iaitu menggunakan sedikit formula matematik. 

Tip yang nak dikongsikan ini sebenarnya cara untuk menghafal muka surat setiap juzuk Al-Quran. Memang menakjubkan kerana hanya dengan menggunakan formula matematik ringkas, kita dapat tahu muka surat setiap juzuk Al-Quran. Jom sama2 kita belajar!

Contoh 1:
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 5 di halaman ke berapa formulanya 5-1 = 4, 4 perlu didarab dengan 2 jadi 4 x 2 = 8 Letakkan nombor 2 selepas jawapan. Jadi, juzuk 5 adalah pada halaman 82. Sekarang lihat pada Quran dan anda akan lihat Juzuk 5 bermula pada halaman 82. Menarikkan?   

Contoh 2:
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 10 di halaman ke berapa: 10-1 = 9, 9 perlu didarab dengan 2 jadi 9 x 2 = 18 Letakkan nombor 2 selepas jawapan. Jadi, juzuk 10 adalah pada halaman 182.   

Contoh 3: 
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 23 di halaman ke berapa: 23-1 = 22, 22 perlu didarab dengan 2 jadi 22 x 2 = 44 Letakkan nombor 2 selepas jawapan. Jadi, juzuk 23 adalah pada halaman 442.

Subhanallah, memang menakjubkan kan kawan-kawan? Sama-sama kita kongsikan perkara ini kepada kawan-kawan kita, adik beradik kita dan saudara mara kita supaya sama-sama mendapat manfaat dan pahala. 

Sumber: Facebook

Sunday, July 15, 2012

Arab Spring satu bencana?

Arab Spring ialah gerakan revolusi rakyat di kebanyakan negara timur tengah yang tidak puas hati dengan pemimpin sedia ada. Kebanyakan berkaitan isu hak asasi manusia, kezaliman dan korupsi.

Sehingga hari ini sebanyak 4 negara berjaya menjatuhkan pemimpin korup sedia ada iaitu Tunisia, Mesir, Libya dan Yaman. Sebuah negara lagi menunggu untuk mengikut jejak langkah yang sama iaitu Syria.

Semua kebangkitan ini bermula dengan demonstasi aman dan ada sesetengahnya berakhir dengan pertumpahan darah. Ini adalah harga yang perlu dibayar untuk masa depan mereka yang lebih baik.
Sesetengah pemerhati menyifatkan Arab Spring ialah suatu fenomena yang positif tetapi ada juga mereka yang menganggap perkara ini adalah satu bencana besar terhadap umat Islam.

Walau apapun anggapan mereka, kita perlu menghormati pendirian majoriti rakyat sesebuah negara kerana itu melibatkan masa depan mereka.

Kalau kita kaji zaman gelap barat pun, perubahan yang mereka lakukan perlu dibayar dengan darah untuk sampai ketahap negara maju zaman sekarang.

Sirah para nabi juga begitu, setakat ini tiada kita dengar dan baca jalan ceritanya begitu aman tanpa sebarang pengorbanan.

Kenapa apabila tiba masa umat Islam ingin bangkit dan berubah ke arah yang lebih baik ada suara-suara sumbang mengatakan ini propaganda barat dan mainan zionis?

Kalaulah negara yang mengalami kebangkitan rakyat itu pemimpinnya bagus, mengamalkan agama sepenuhnya, tidak korup dan kebajikan rakyat terjaga maka mungkin saya bersetuju ini adalah propaganda jahat barat.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Negara itu kebajikan rakyatnya teruk, rompakan kekayaan negara berleluasa, kezaliman kepada rakyat yang menegur pemimpin dan salah guna kuasa.

Baru-baru ini sempat menonton Majalah Islam di TV Al-Hijrah yang mengulas isu ini. Kebanyakan mereka yang ditemuramah memberi respon negatif terhadap Arab Spring. Hairan juga kenapa rancangan itu tidak menemuramah Dr.Maszlee sebagai individu yang agak pakar dalam bidang ini.

Ada juga yang mengatakan tengoklah apa yang berlaku pada rakyat mesir sekarang? (pada masa itu masih dalam proses pemilihan Presiden baru) Rakyat hidup lagi susah, Harga makanan meningkat naik. Setiap masa ada sahaja demonstrasi di Medan Tahrir. Keadaan jadi lebih buruk dari zaman Mubarak.

Itu adalah komen-komen mereka yang tidak berada di sana dan membaca berita dari saluran yang memainkan propaganda mengatakan perubahan belum tentu boleh membawa keadaan negara jadi lebih baik. Propaganda ini suka dimainkan negara yang takut rakyat bangkit membuat perubahan dalam pilihanraya termasuk Malaysia.

Akan tetapi dengan Kuasa Allah yang Maha Agung, pemilihan Presiden Mesir yang baru memihak kepada pihak Pro Islam iaitu Ikhwan Muslimin. Saban hari di Facebook dikongsi gambar memuji bagusnya Presiden Mesir yang baru. Perancangan perubahan dan sifat zuhud Presiden Morsi membuatkan ramai orang bermimpi untuk memiliki pemimpin seperti itu di masa hadapan.

Jadi apa yang buruk dan bencananya Arab Spring? Sudah tentu perlu ada pengorbanan yang perlu dibuat untuk menuju ke arah masa depan negara yang lebih baik.
"No Sacrifice, No Victory." 

Saturday, July 14, 2012

Infinity Downline hidup lagi?

Lebih kurang 2 tahun lepas Infinity Downline muncul di persada bisnes internet di Malaysia. Masa tu ada kawan-kawan aku yang agak berkaliber sertai bisnes ini. Aku hampir terpengaruh untuk sertai tetapi oleh kerana sebelum  ini pernah kena tipu jadi aku kaji betul-betul bisnes ini.

Setelah berjumpa dan bertanya senior dalam bidang bisnes internet ini maka respon yang aku dapat cukup negatif. Pada masa itu juga blog rujukan hukum halal haram terutama dalam bisnes dan pelaburan zaharuddin.net tengah hangat. Jadi aku rujuk di situ dan mujurnya ada orang bertanya Ustaz Zaharuddin tenteng ID (infinity downline).

Kesimpulan jawapannya adalah haram kerana apa yang dikatakan bisnes itu sebenarnya tidak menjual produk tetapi lebih kepada 'head hunting'.

Pada masa itu aku bertekak dengan seorang kawan dan mujur akhirnya dia insaf dan keluar daripada bisnes itu.

Aku ingatkan bisnes ini sudah mati rupanya tidak. Aku agak terkejut kerana ada seorang kawan baru di Facebook mempromosikan bisnes ini. Sekarang mereka lebih canggih menipu dengan memasukkan gambar duit gaji untuk mengaburi mata orang ramai. Siap tipu buat banyak akaun Facebook lagi.

Teruknya perkara ini sampai tahap ada hamba Allah yang buat Fan Page menentang Infinity Downline. Laman ini bertujuan membongkar habis-habisan Scam ini dan mengumpulkan mangsa untuk dijadikan iktibar masyarakat.

Ini antara pengakuan mangsa dalam FB Page itu:
Tidak salah untuk mencari kekayaan tetapi biarlah dengan cara yang betul takut nanti menjejaskan keberkatan anak cucu. Jangan pentingkan diri sendiri sahaja. Di dunia kita mungkin hidup mewah tetapi bagaimana di akhirat?

Friday, July 13, 2012

Aku tidak mencuri harta rakyat

Negara Turki terkenal dengan cerita baik dan cerita jahatnya. Cerita baik adalah negara itu pernah menjadi pusat pemerintahan khalifah Islam dan cerita buruk ialah negara itu juga pernah melahirkan individu yang bernama Kamal Atarturk yang dilaknat.

Turki yang sangat sekular sedang dalam proses pencerahan oleh pendakwah dan pemimpin yang berfikrah Islam sekarang.

Ekonomi Turki sebelum ini adalah sangat teruk disebabkan budaya rasuah dan korupsi berleluasa. Kalau dulu nilai duitnya sangat rendah dibandingkan dengan duit Malaysia. Nilai Lira Turki seakan-akan nilai Rupiah Indonesia.

Tetapi sekarang nilai duitnya lebih tinggi berbanding ringgit Malaysia iaitu 1 Lira Turki = 1.75 Ringgit Malaysia.
Recep Tayyip Erdoğan Perdana Menteri Turki
Apabila ditanya Perdana Menteri Turki bagaimana dia lakukan untuk menaikkan ekonomi Turki yang hampir jatuh satu ketika dahulu seterusnya menaikkan nilai matawang negaranya.

Jawab beliau : "Aku tidak mencuri harta rakyat."

Itu adalah jawapan dan tip yang diberikan. Begitulah bahayanya barah rasuah dan korupsi kepada sebuah negara. Budaya terkutuk ini juga ditegah oleh agama kita iaitu Islam. 

Lihatlah Malaysia, adakah kita ingin menanti ekonomi jatuh baru mahu insaf? Perubahan di tangan kita. Allah tidak akan mengubah nasib seseorang hamba jika mereka sendiri tidak mahu berubah ke arah yang lebih baik.

Thursday, July 12, 2012

Pening dengan krisis di Syria

Apabila bercakap berkenaan krisis di Syria, ada dikalangan kita rasa pening dan tidak tahu pihak mana yang betul dan pihak mana yang salah.

Aku dulu pun terkeliru apabila ada orang cakap krisis di Syria ini tidak lebih daripada propaganda Barat untuk jatuhkan sebuah negara Islam yang kuat menentang Israel.

Disebabkan aku mendapat kurang maklumat tentang isu sebenar kebangkitan rakyat Syria ini maka aku hampir percaya dengan dakwaan tersebut.

Ada juga mengatakan haram kita menentang pemerintah Islam yang zalim dan rakyat perlu bersabar. Cuba bayangkan apa pandangan orang bukan Islam terhadap agama kita seolah-olah agama Islam memberi lampu hijau untuk pemerintah Zalim memerintah.

Hakikatnya apa yang berlaku di Syria jauh lebih teruk. Syria sebenarnya diperintah oleh kaum Syiah Alawis yang dulunya diumumkan bukan daripada pecahan mazhab Syiah oleh Ulama Iran. Dengan kata lain mereka ini bukan Islam. Lebih teruk lagi Syiah sendiri sebenarnya sesat dari sudut akidah apatah lagi kalau Syiah Alawis.

Dakwaan mereka dan setengah pihak yang mengatakan Basyar Assad adalah  pemimpin Islam dan kita mesti taat adalah tidak benar. Mereka ini telah terkeluar daripada akidah Islam sebenar.

Oleh kerana orang Syiah memandang orang Ahli Sunnah sebagai umat yang kotor dan sesat, Iran dan Hizbullah Lubnan sudi menyokong dan bekerjasama kepimpinan Basyar Assad untuk membunuh rakyat Syria yang majoriti Ahli Sunnah.

Kaum perempuan dirogol dan kanak-kanak dibunuh adalah pendengaran biasa kita dengar berlaku di Syria setiap hari dan cuba ditutup jenayah ini kepada pihak antarabangsa.

Jika anda mendengar rakyat Malaysia yang lantang menyokong kepimpinan Basyar Assad di Syria ketahuilah yang mereka ini adalah penganut akidah Syiah yang sesat!

Wednesday, July 11, 2012

Kena pancung kepala

Cerita pancung kepala ini berlaku di Arab Saudi yang menjalankan hukum hudud. Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz. Mengikut beliau, pada satu hari dilihat ramai orang berkumpul beserta kenderaan polis dan 5 buah ambulan.

Pada mulanya dia ingatkan ada orang kenamaan datang tetapi dilihatnya seorang yang diikat tangannya dan diletakkan dalam kedudukan antara 2 sujud. Orang ramai terus berkerumun. Ditanya orang tempatan apa yang berlaku, Mereka bagitau hari ini ada orang kena pancung kepala di khalayak ramai.
Dalam hatinya bertanya kenapa sampai 5 buah ambulan untuk seorang pesalah? Saat yang berdebar itu terus berlalu dan akhirnya orang itu dipancung kepala dengan sekali libas sahaja. Seorang dihujung sana dan seorang dihujung sini dikalangan yang menonton dilihat pengsan.

Rupanya 5 buah ambulan itu disediakan untuk penonton yang pengsan.

Sebulan selepas itu sekali lagi ustaz ini bertembung dengan hukuman pancung kepala. Tetapi kali ini dilihat seorang berlari-lari ke arah kereta polis dan mengambil pembesar suara. Orang itu mengumumkan sesuatu dan kedengaran laungan takbir dikalangan orang ramai.

Rupa-rupanya orang yang berlari itu adalah waris kepada si mangsa yang kena bunuh oleh pesalah dalam kereta polis itu. Dia mengumumkan untuk memaafkan kesalahan si pesalah tadi dan memberikan peluang kedua kepada beliau.

Ini adalah 2 situasi di negara yang mengamalkan hukum hudud. Hukuman mati di Arab Saudi dikenakan ke atas beberapa kesalahan termasuk rogol, murtad, rompakan bersenjata, mengedar dadah serta membunuh, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang syariah.

Jika anda berani boleh lihat video yang dirakam semasa hukuman pancung:

Walaupun ada sesetengah orang bukan Islam yang mengatakan hukuman ini kejam tetapi hukuman ini sebenarnya mengajar manusia yang berhati kejam dan zalim supaya berfikir 2 kali sebelum melakukan kesalahan.

Jangan mudah mengutuk Arab Saudi tentang hukuman sebegini jika negara sendiri berlaku jenayah berleluasa. Hukuman Allah ini adalah yang terbaik untuk mengajar manusia yang zalim.

Cuba bayangkan jika keluarga anda yang kena bunuh? Adakah anda tidak geram dan marah? Cuba bayangkan juga anda antara yang menyaksikan hukuman pancung ini? Adakah anda tidak merasa gerun untuk melakukan kesalahan?

Tuesday, July 10, 2012

Utusan menipu lagi

Akhbar Utusan yang suka menipu dan menyebarkan fitnah memang tidak asing lagi. 'Lesen besar' yang dimiliki mereka dipergunakan sepenuhnya untuk menghentam pembangkang.

Bagi aku menghentam pihak lawan adalah satu perkara biasa tetapi biarlah dilakukan dengan berhemah. Tetapi dengan kemudahan sumber informasi zaman ini melalui internet, segala agenda jahat Utusan mudah dikesan dan didedahkan.

Walaupun disaman berkali-kali mereka tetap meneruskan kerja itu. Apa nak risau ada sokongan kewangan yang kukuh la katakan.

Kalau aku jadi wartawan di Utusan sudah lama aku berhenti kerja. Pertama sebab malu dan maruah. Kedua sebab sumber rezeki yang agak meragukan (Syubhah).

Semuanya bergantung kepada kekuatan dalaman masing-masing. Ada yang mampu bertahan bekerja di situ dan ada juga yang tidak mampu bertahan. Prinsip aku dalam bekerja ialah semua kerja yang aku buat dalam menjana kewangan keluarga mestilah yang aku seronok buat, tidak melanggar agama dan tidak menyusahkan orang lain. Langgar satu je prinsip tersebut aku akan berhenti dan cari kerja lain.

Semalam utusan meroyan lagi. tengok gambar di bawah:


Mentang-mentanglah budaya 'takbir' itu ada kaitan dengan PAS maka terus direka cerita yang karut itu. Ya, nanti senang nak kaitkan dengan PAS dan ekstremis. Nanti boleh jatuhkan imej PAS yang semakin diterima ramai.

Kalau kita baca dan kaji sejarah, kerja terdesak sebegini selalu dilakukan pemimpin korup di negara lain. Ada yang berjaya mengekalkan kuasa dan ada juga yang memakan diri terutama zaman sekarang. Dunia tanpa sempadan ini dengan informasi terkini yang mudah dapat membuatkan rakyat jadi lebih cerdik.

Kalau dulu bolehlah sebab kebanyakan rakyat hanya baca akhbar dan tengok TV jer nak dapat informasi terkini. Sekarang tidak lagi.

Monday, July 9, 2012

Duit syiling baru yang menyusahkan

Pandangan pertama aku pada duit syiling baru ini memang mengecewakan. Seingat aku pada waktu kecil dulu, duit baru memang mengujakan terutama bila tiba waktu raya.

Tetapi keluaran kali ini agak mengecewakan terutama yang 20 sen dan 50 sen. Sudah la sukar untuk bezakan antara 2, malah kualiti juga amatlah kurang.

Dalam gambar nampak cantik, tetapi apabila berada di tangan memang mengecewakan. Guna beberapa kali jer sudah nampak berkulat dan lusuh.

Aku ada terdengar beberapa komen daripada pengguna antaranya:

"Duit syiling baru sukar diterima mesin air dan mesin parking."
Aku tak faham kenapa bank Negara yang diterajui ramai bijak pandai tak tefikir benda ini?
"Perlu tengok betul-betul takut tersilap bagi duit. Yang disangka 20 sen rupanya 50 sen."
Ini rungutan pekedai runcit. Duit syiling dulu memang disengajakan besar nombor 20 dan 50 tetapi sekarang agak kurang jelas kalau sekali pandang.

Jawapan yang ada dalam kepala aku sekarang ialah, ini adalah kesan korupsi. Nak untung banyak maka kualiti perlu dikurangkan. Kalau dapat dikurangkan sedikit saiz duit 50 sen tu berapa banyak untung syarikat yang dapat tender buat duit ni?

Lepas tu pulak, syarikat yang menyediakan mesin terima duit parking perlu naik taraf mesin yang ada. Jadi dapat lagi projek untuk syarikat kroni melalui Majlis Perbandaran setempat.

Bagi orang baik yang memikirkan kepentingan rakyat, semua keputusan buat duit syiling baru ini agak kurang bijak. Tetapi bagi mereka yang suka untung atas angin dengan merompak duit rakyat secara 'terhormat', ini adalah keputusan yang bijak!

Monday, January 30, 2012

Perubatan moden vs tradisional

Berita di TV Al-Hijrah tadi telah menambah harapan baru dalam dunia perubatan di Malaysia. Kalau sebelum ini jarang dan sukar untuk kita tengok perubatan moden dan tradisional duduk semeja.

Hospital Raja Perempuan Zainab kota Bharu telah menyediakan ruang khas untuk pesakit mencuba cara perubatan tradisional seperti mengurut. Ini sebenarnya memberi satu alternatif baru kepada pesakit untuk mencuba.
Malaysia sebenarnya kaya dengan cara perubatan tradisional kampung yang digunakan turun temurun. Tetapi kedua bidang ini dilihat seolah tidak dapat duduk semeja. Antaranya ialah, perempuan akan disuruh berpantang dan makan makanan tertentu dalam sebulan lepas melahirkan anak. Tetapi kalau kita lihat makanan untuk perempuan selepas melahirkan anak di hospital tidak ikuti aturan berpantang.

Alasan yang diberikan adalah amalan berpantang tidak dibuktikan secara saintifik dan kalau perempuan itu sakit sebab makanan maka mereka boleh makan ubat di hospital.
Alangkah baik kalau dua bidang ini diamalkan bersama. Di Korea, dunia perubatan moden dan tradisional berkembang bersama malah pengamal perubatan tradisional hendaklah mengambil kursus perubatan moden sebelum boleh menjadi pengamal yang sah. Dengan cara ini, perubatan tradisional terus perkembang dan mungkin dapat dibuktikan secara saintifik di masa hadapan.

Mereka saling mengiktiraf malah menampung mana yang terkurang. Kalau ini berlaku di Malaysia rasanya tiada pihak yang rugi.