Wednesday, October 24, 2012

Adakah perlu bangga diri?

Jika ditanya kepada diri, adakah kamu ini seorang yang bangga diri? Jawapannya mesti tidak kerana sukar untuk mengakui kita ini memiliki sikap buruk tersebut.

Mungkin juga ada yang berani mengatakan YA mengakui mereka memiliki sikap tersebut kerana bagi pandangan mereka sikap bangga diri ini satu perkara positif untuk berjaya. Mungkin ada betulnya pandangan ini jika kena pada tempatnya.
Tetapi kali ini aku ingin bercerita tentang sikap ini yang negatif dan boleh membunuh perkembangan individu tersebut dan banyak aku lihat situasi ini berlaku dalam masyarakat sekeliling.

Jika kita ada kelulusan di dalam sesuatu bidang dan tiba-tiba ada seorang individu berkongsi tip/hujah sedangkan dia tiada kelulusan dalam bidang itu dan bercakap berdasarkan pengalaman semata-mata. Biasanya kita akan mula persoalkan beliau dengan soalan yang 'Killer'.

Contohnya:
"Ada bukti saintifik untuk tip/hujah ini?"
"Apa kelulusan yang awak ada?"

Soalan ini sebenarnya bagus untuk ditanya tetapi jika kita bertanya dalam keadaan bangga diri maka kita sebenarnya sudah terlepas untuk mendapat sesuatu ilmu yang mungkin berharga.

Kadang-kadang ilmu itu bukan sahaja boleh didapati daripada kelas yang diiktiraf tetapi kehidupan dan pengalaman harian juga merupakan ilmu.

Jika kita terlampau memandang kepada status individu dan bukan kepada isi yang ingin disampaikan maka kita sebenarnya seorang yang bangga diri dan sudah tentu kita yang akan rugi.

Seorang bijak pandai (tidak semestinya ada Master atau Phd) tidak akan bangga diri dan akan sudi mendengar hujah walaupun daripada budak kecil sebab bagi mereka ilmu itu ada di mana-mana samada daripada orang bawah, budak kecil, orang tua atau budak lepasan SPM.

Jika apa yang dikatakan salah sekalipun dan kita ada bukti menyangkal tip/hujah individu tersebut. Orang bijak pandai ini akan menerangkan secara berhemah tanpa menjatuhkan air muka dihadapan orang ramai. Kita biasanya boleh lihat contoh terdekat seperti komen-komen di Facebook.

Jika anda ingin pergi lebih jauh dan menguasai ilmu dunia yang terbentang luas maka buka minda anda dan elakkan sikap bangga diri.

Jika anda sudah berpuas hati dengan dunia anda sekarang, maka teruskan dengan sikap tersebut. Tiada siapa yang rugi melainkan diri anda sahaja.

Tulisan ini cuba untuk memperingatkan diri aku agar lebih merendah diri dan sudi mendengar cerita/hujah/tips daripada sesiapa sahaja asalkan perkara itu bermanfaat.

Friday, October 19, 2012

Empower Network adalah Scam?

Ada terbaca iklan berkenaan satu cara untuk dapat duit sampingan dengan menyertai Empower Network. Bermacam-macam testimoni dan janji kejayaan bagi mereka yang menyertainya.

Lebih spesifik lagi dengan cara berblog mengikut sistem mereka kita mampu menjana keuntungan. Ada juga baca beberapa blog yang mengatakan Empower Network ini adalah Scam. Boleh rujuk sini dan sini.

Ya, tidak dapat dinafikan yang program ini telah membantu sesetengah orang memperoleh pendapatan begitu jugak dengan program 'Login Facebook dapat RM100' (Infinity Downline) juga dapat jana pendapatan bagi sesetengah orang.

Tetapi adakah cara itu bermaruah dan beretika untuk kita cari duit memandangkan produk yang ditawarkan tidak berkualiti dan boleh dapat percuma di tempat lain?

Kalau dulu sangat banyak program sebegini dan akhirnya akan mati disebabkan pasaran sudah tepu ataupun orang sudah tahu teknik kotornya. Adakah kita akan masuk dikalangan mereka yang tertipu?

Kalau betul anda serius ingin berbisnes bermula dengan apa yang ada di tangan. Cuba jual contohnya buku terpakai secara online di blog, Facebook ataupun boleh mula menjual dikalangan rakan-rakan. Boleh juga jual produk yang hanya terdapat di kampung anda secara online. Biar bermula kecil asalkan anda ada impian besar. 

Belajar teknik pemasaran yang beretika dan betul dan elakkan SPAM. Jangan hanya fikir ingin cepat untung dan mudah mengalah. Beri masa untuk orang kenali produk yang anda jual.

Tambah produk sedikit demi sedkit berdasarkan keuntungan yang anda dapat.

Cadangan ini jika anda ingin serius ingin berniaga. Tetapi jika anda hanya ingin dapat duit cepat, mudah dan tidak pentingkan kredibiliti nama anda sebagai usahawan maka silakan mempromosi bisnes, produk dan sistem SCAM sebegini.

Tuesday, October 16, 2012

Sultan Brunei yang hebat

Jika bercerita berkenaan Sultan Brunei mesti terlintas kehebatan kekayaannya dan kemakmuran negaranya yang rakyat kebanyakannya terdiri dari kalangan mereka yang berada.
Apa yang menyentak fikiran aku ialah setelah mendengar satu kuliah maghrib di sebuah masjid berkenaan Sultan Brunei yang suka kepada dakwah dan penyebaran Islam.

Antara ceritanya ialah:
  1. Ramai dijemput Ustaz daripada Malaysia untuk mengajar agama di madrasah yang baru ditubuhkan di sana bagi menyebarkan ajaran Islam kepada rakyatnya.
  2. Hampir keseluruhan orang Asli di sana memeluk Islam hasil usaha Sultan ini. Mana tidaknya, cuba anda bayangkan seorang Sultan sanggup turun padang berjumpa dengan rakyat biasa dalam program dakwah dan mengajak mereka memeluk Islam. Sudah tentu mereka sangat mudah bersetuju untuk memeluk Islam memandangkan reputasi Sultan ini dimata rakyat jelata sangat baik.
  3. Oleh kerana dana untuk dakwah di sana disalurkan daripada duit kerajaan maka aktiviti dakwah berlaku dengan sangat rancak.
  4. Hebatnya pemahaman agama Sultan Brunei boleh dilihat melalui titahnya berkenaan hukum Hudud: “WHO ARE WE, in the presence of Allah (SWT), to say ‘no or wait’; considering that (Islamic) law was not only formulated, but has been stated in Al-Quran and Al-Hadiths for more than 1,400 years.”
  5. Ustaz itu juga ada menyebut yang Sultan Brunei boleh terima akan nasihat Mufti tanpa marah. Malahan membenarkan Mufti menegur dan mengajar agama kepada menteri yang nampak kurang amalan agamanya.
  6. Petikan Akhbar ini juga boleh memantapkan lagi kekaguman kita kepada negara Islam ini:

Jadi tidak hairanlah kalau negara mereka dilimpahi kekayaan sumber rezeki jika ini sikap dan cara hidup mereka dengan Pencipta.

Sunday, September 9, 2012

Sultan Orhan Khan Ghazi I Sultan ke-2 Othmaniyyah

Kisah Sultan ke-2  Khalifah Uthmaniyyah Sultan Orkhan Khan Ghazi I (1326-1360). Dipetik daripada Facebook Page Ustaz Hasrizal.

Sultan Orhan Khan Ghazi I (1326-1360) merupakan Sultan ke-2 Pemerintahan Othmaniyyah. Semasa ayahandanya Osman Gazi di ambang Sakaraatul Maut, beliau telah berpesan kepada Orhan wasiat berikut:

“Wahai anakku, janganlah sekali-kali kamu menyibukkan diri melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan oleh Allah Tuhan semesta alam. Jika kamu menghadapi sebarang kesulitan di dalam pemerintahan, maka bermesyuaratlah kamu dengan pada Ulama’ untuk mencari jalan penyelesaian”

“Wahai anakku, rendahkanlah dirimu dengan kemuliaan kepada orang-orang yang mentaatimu serta peliharalah kebajikan tenteramu. Janganlah sekali-kali kamu diperdayakan oleh Syaitan dengan (kekuatan) tentera dan hartamu. Dan janganlah kamu sekali-kali menjauhkan diri daripada Ahli Syariah…”

“Wahai anakku, sesungguhnya kamu mengetahui bahawa matlamat kita adalah keredhaan Allah Tuhan semesta alam. Sesungguhnya jihad itu menyebarkan cahaya sinaran agama kita ke segenap penjuru. Dengan demikian itulah terhasilnya Mardhatillah Jalla Jalaaluh…”

“Wahai anakku, kita bukanlah dari kalangan mereka yang berperang kerana syahwat mahukan kuasa atau menawan manusia. Sesungguhnya kita ini hidup dengan Islam dan dengan Islam jualah kita mati. Dan hakikat inilah wahai anakku, kamu itu adalah ahlinya!”

Wasiat ini dicatat oleh Asik Celebi (Aa-shik Chelebi)

Saturday, September 8, 2012

Sultan Osman Gazi pengasas Othmaniyyah

Kisah seorang pemerintah Islam yang mungkin jarang kita dengar. Dipetik daripada Facebook Page Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Sultan Osman Gazi (1299 - 1326) merupakan pengasas kepada Pemerintahan Othmaniyyah, iaitu sebuah pemerintah yang berkuasa selama lebih 600 tahun, antara kerajaan paling lama memerintah di kala ini. Kekuatan besarnya adalah pada komitmen spiritual yang amat tinggi.

Biar pun mungkin agak ganjil bagi kita hari ini, pernah pada suatu hari ketika Sultan Osman Gazi hadir ke sebuah rumah sebagai tetamu, beliau berdiri sepanjang malam kerana di biliknya ada naskhah al-Quran, disebabkan oleh rasa hormat yang bersangatan kepada kitab Allah ini.

Kerana itu beliau mewasiatkan sebesar-besar wasiat kepada anaknya Orhan, agar meneruskan legasi pemerintahan dalam kerangka mentaati Allah.

Semoga Allah merahmati Sultan Osman Gazi dan pemerintah-pemerintah Muslim yang bertaqwa dan menjunjung syariat serta syiar-Nya, ameen..

Friday, August 10, 2012

Tidak malukah kita? Tidak takutkah kita?


Alasan tidak TAHU dan TIDAK ADA ILMU sebenarnya tidak boleh dipakai di zaman serba canggih ini terutama dalam IBADAH dan ILMU AGAMA.

Betapa banyak status di Facebook dan video di Youtube bercakap pasal ilmu agama. 

Malah PEN juga boleh membaca Al-Quran pada zaman ini seperti My-Qalam.

Tidak malukah kita dengan PEN? 
Atau tidak takutkah kita untuk berhadapan dengan Allah kelak dengan alasan TIDAK TAHU?


Teringat aku dengan teguran seorang ustaz di dalam TV tentang teknologi dan Islam. Dia mengatakan yang kemudahan teknologi sekarang ini boleh menjadi hujah untuk kita mudah terjerumus ke dalam Azab neraka jika kita tidak gunakan dengan betul.

Segala alasan tidak tahu, tiada ilmu, tidak belajar masa kecik, tiada asas agama, tiada pendedahan, tidak diberitahu dan segala alasan lain mungkin sudah tidak diterima di hadapan Allah kelak.

Kenapa? Sebab cuba tengok di Youtube, Facebook, dan segala macam teknologi untuk memudahkan bacaan Al-Quran seperti My-Qalam wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Samada kita buat tak tahu dengan limpahan maklumat ini atau kita lansung tidak berminat untuk ambil tahu maka segala keputusan yang kita pilih itu akan dipersoalkan dihadapan Allah kelak.

Teknologi maju yang ada sekarang ini membuatkan kita tidak mampu untuk beralasan di hadapan Allah kelak. Jadi berubahlah mulai sekarang sebelum terlambat. 

Wednesday, August 1, 2012

Membunuh tanpa kita disedari

Itulah kepahitan makna tajuk yang perlu ditelan malam ini. Tersentak dengan tazkirah ringkas yang diberikan seorang ustaz sebelum tarawikh tadi maka aku berkongsi apa yang mengejutkan.

Tanpa kita sedari kita sebenarnya berpotensi untuk membunuh seseorang iaitu dengan sikap bakhil kita sehingga menyebabkan seorang insan di dunia ini terseksa lapar sampai ada yang mati. Kalau kita rajin memderma mungkin kita mampu menyelamatkan mereka yang kelaparan.
Dalam Surah Al-Baqarah, Allah telah menyebut tentang kewajipan berpuasa ke atas umat Islam SELEPAS Allah menceritakan tentang hukuman bunuh dan Qisas.

Hikmahnya ialah supaya kita takut untuk membunuh nyawa insan lain dan hormati nyawa mereka tetapi tanpa kita sedari kita juga berpotensi untuk jadi pembunuh secara tidak sedar hasil dari sikap kita yang pentingkan diri sendiri!

Puasa sebenarnya mengajar kita peka dan ambil tahu dengan keadaan orang sekeliling kita. Kita akan jadi peka dengan keperitan mereka yang susah untuk makan. Kita jadi mudah terasa sayu dengan kelaparan yang ditanggung disebabkan kita juga telah merasa lapar selama sebulan iaitu berpuasa di siang hari.

Hebatnya Allah mendidik hamba-Nya dengan tidak menghukum hamba-Nya yang bakhil terhadap orang fakir miskin tetapi memberi rasa dengan diwajibkan puasa selama sebulan ke atas setiap orang Islam. Semoga puasa itu dapat menyedarkan orang beriman tentang peri pentingnya sikap cakna dan ambil tahu orang sekeliling.

Rezeki yang Allah beri adalah untuk dikongsi dengan mansuia lain. Kesenangan adalah satu bentuk ujian untuk melihat siapa diantara hambanya yang bersyukur dengan membantu fakir miskin.

Puasa + Baca Al-Quran dengan memahami makna + lihat gambar di atas sudah cukup untuk buat aku jadi serik untuk menjadi hambanya yang bakhil kedekut!

Ya Allah, jadikan aku manusia yang beriman, bersyukur dan sedar tentang tanggungjawab aku untuk membantu hambamu yang lain.

Monday, July 30, 2012

Jangan bercakap agama kalau bukan ustaz?

Isu ini terjadi apabila beberapa orang artis berhijrah ke arah lebih baik dan ada setengahnya bercakap di pentas PAS.

Ada orang ingat bercakap di pentas PAS ini mesti sentuh ilmu agama sehinggakan ada terkeluar daripada mulut seorang ustazah yang menegur supaya jangan bercakap tentang agama kalau dia tu bukan ustaz atau ustazah.

Yup, memang betul kita tidak boleh memandai bercakap dalam ilmu agama ini. Tetapi tidak salah jika kita bercakap tentang cerita penghijrahan kita daripada buruk kepada baik.

Malah memang digalakkan untuk beritahu orang ramai tentang jalan cerita macam mana kita boleh berhijrah dengan harapan ramai lagi yang ikut berubah.

Kadang-kadang mereka yang berada dalam kegelapan ini tidak dengar sangat cakap ustaz dan ustazah disebabkan beberapa faktor. Tetapi mereka mudah dengar jika orang yang bercakap itu asalnya macam mereka juga satu ketika dahulu.

Konsep dakwah dalam Islam ini sangat luas dan kalau boleh jangan sempitkan. Jangan terlampau menghalang kononya nak menjaga agama hingga kita tidak sedar yang kita sebenarnya sedang menyekat untuk orang lain mengenali cara hidup Islam yang sebenar.

Friday, July 27, 2012

Kewujudan Proton merugikan rakyat

Sejak akhir-akhir ini timbul beberapa gambar di Facebook tentang harga yang dikenakan untuk kereta keluaran Nasional tidak adil untuk rakyat. Ini kerena cukai yang dikenakan sangat tinggi. 
Masakan tidak, di negara lain boleh dijual dengan harga 2 kali ganda lebih murah dengan kualiti jauh lebih baik. Kepada rakyat sendiri dijual dengan harga mahal dengan kualiti rendah terutama untuk kereta Proton. Untuk kereta Perodua dari sudut kualiti agak ok setakat ni.

Tidak cukup dengan itu, cukai yang dikenakan untuk kereta import berganda-ganda dikenakan. Jadi, pilihan yang ada untuk rakyat ialah membeli kereta keluaran tempatan yang lebih murah dan kualiti rendah.

Bayangkan jika kereta keluaran Nasional tidak wujud. Maka sudah tentu rakyat boleh miliki kereta keluaran Jepun dengan harga lebih murah dari sekarang dengan kualiti lebih baik. Sebabnya cukai yang dikenakan mesti tidak setinggi sekarang. Cukai yang tinggi untuk kereta import adalah untuk menyelamatkan syarikat kereta tempatan daripada rugi.

Kenapa Toyota, Honda mampu jual pada harga sedemikian tetapi tidak Proton dan Perodua? Perbandingan ini dibuat jika kita sama ratakan cukai antara kereta import dan tempatan.

Mungkin ada yang mempertikaikan kenyataan di atas dengan mengatakan sejak Proton wujud banyak membantu pembangunan negara.

Bagi aku Proton banyak membantu penuhkan poket kroni dan bukan untuk keselesaan rakyat pun. Paling sedih perkembangan Proton dari sudut teknologi sangat lembap walaupun sudah berumur 29 tahun. Proton hanya tahu copy dan paste sahaja. Perodua dan Naza memang kita dah sedia maklum dengan budaya itu.

Jika nak dibandingkan sumbangan Proton dengan bebanan hutang dan kerugian yang rakyat terpaksa tanggung akibat guna kereta kualiti rendah dengan harga tinggi memang sangat menyedihkan.

Kalau ada orang cakap Proton sudah hebat dan kualiti semakin baik, maka aku ingin bertanya, kalaulah betul kata-kata itu, kenapa masih tidak berani bersaing secara sihat dengan kereta import dalam pasaran Malaysia?

Tuesday, July 24, 2012

Hikmah berpuasa untuk orang Islam

Jika kita mampu berpuasa selama sebulan tanpa meninggalkan solat fardhu InsyaAllah kita akan tinggalkan segala perbuatan yang termasuk dalam kategori dosa besar.
Kenapa begitu? 

Semua perkara yang halal kita makan, minum dan buat seperti makan nasi, minum Milo Ais dan berjimak dengan isteri tidak dibenarkan untuk dibuat pada siang hari dalam bulan Ramadhan.

Kalau kita mampu menahan diri di siang hari daripada melakukan perkara yang dihalalkan pada malam harinya selama sebulan, maka mana mungkin diri kita sanggup melakukan zina, minum arak dan makan babi kerana perkara ini telah diharamkan dalam Islam.

Puasa melatih nafsu untuk akur kepada iman. Puasa melatih kita mengawal nafsu.

Syaratnya puasa itu dilakukan betul-betul dan sebaik mungkin. InsyaAllah kita akan terselamat daripada melakukan dosa besar.

Selamat menjalankan ibadah puasa!