Friday, August 10, 2012

Tidak malukah kita? Tidak takutkah kita?


Alasan tidak TAHU dan TIDAK ADA ILMU sebenarnya tidak boleh dipakai di zaman serba canggih ini terutama dalam IBADAH dan ILMU AGAMA.

Betapa banyak status di Facebook dan video di Youtube bercakap pasal ilmu agama. 

Malah PEN juga boleh membaca Al-Quran pada zaman ini seperti My-Qalam.

Tidak malukah kita dengan PEN? 
Atau tidak takutkah kita untuk berhadapan dengan Allah kelak dengan alasan TIDAK TAHU?


Teringat aku dengan teguran seorang ustaz di dalam TV tentang teknologi dan Islam. Dia mengatakan yang kemudahan teknologi sekarang ini boleh menjadi hujah untuk kita mudah terjerumus ke dalam Azab neraka jika kita tidak gunakan dengan betul.

Segala alasan tidak tahu, tiada ilmu, tidak belajar masa kecik, tiada asas agama, tiada pendedahan, tidak diberitahu dan segala alasan lain mungkin sudah tidak diterima di hadapan Allah kelak.

Kenapa? Sebab cuba tengok di Youtube, Facebook, dan segala macam teknologi untuk memudahkan bacaan Al-Quran seperti My-Qalam wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Samada kita buat tak tahu dengan limpahan maklumat ini atau kita lansung tidak berminat untuk ambil tahu maka segala keputusan yang kita pilih itu akan dipersoalkan dihadapan Allah kelak.

Teknologi maju yang ada sekarang ini membuatkan kita tidak mampu untuk beralasan di hadapan Allah kelak. Jadi berubahlah mulai sekarang sebelum terlambat. 

Wednesday, August 1, 2012

Membunuh tanpa kita disedari

Itulah kepahitan makna tajuk yang perlu ditelan malam ini. Tersentak dengan tazkirah ringkas yang diberikan seorang ustaz sebelum tarawikh tadi maka aku berkongsi apa yang mengejutkan.

Tanpa kita sedari kita sebenarnya berpotensi untuk membunuh seseorang iaitu dengan sikap bakhil kita sehingga menyebabkan seorang insan di dunia ini terseksa lapar sampai ada yang mati. Kalau kita rajin memderma mungkin kita mampu menyelamatkan mereka yang kelaparan.
Dalam Surah Al-Baqarah, Allah telah menyebut tentang kewajipan berpuasa ke atas umat Islam SELEPAS Allah menceritakan tentang hukuman bunuh dan Qisas.

Hikmahnya ialah supaya kita takut untuk membunuh nyawa insan lain dan hormati nyawa mereka tetapi tanpa kita sedari kita juga berpotensi untuk jadi pembunuh secara tidak sedar hasil dari sikap kita yang pentingkan diri sendiri!

Puasa sebenarnya mengajar kita peka dan ambil tahu dengan keadaan orang sekeliling kita. Kita akan jadi peka dengan keperitan mereka yang susah untuk makan. Kita jadi mudah terasa sayu dengan kelaparan yang ditanggung disebabkan kita juga telah merasa lapar selama sebulan iaitu berpuasa di siang hari.

Hebatnya Allah mendidik hamba-Nya dengan tidak menghukum hamba-Nya yang bakhil terhadap orang fakir miskin tetapi memberi rasa dengan diwajibkan puasa selama sebulan ke atas setiap orang Islam. Semoga puasa itu dapat menyedarkan orang beriman tentang peri pentingnya sikap cakna dan ambil tahu orang sekeliling.

Rezeki yang Allah beri adalah untuk dikongsi dengan mansuia lain. Kesenangan adalah satu bentuk ujian untuk melihat siapa diantara hambanya yang bersyukur dengan membantu fakir miskin.

Puasa + Baca Al-Quran dengan memahami makna + lihat gambar di atas sudah cukup untuk buat aku jadi serik untuk menjadi hambanya yang bakhil kedekut!

Ya Allah, jadikan aku manusia yang beriman, bersyukur dan sedar tentang tanggungjawab aku untuk membantu hambamu yang lain.

Monday, July 30, 2012

Jangan bercakap agama kalau bukan ustaz?

Isu ini terjadi apabila beberapa orang artis berhijrah ke arah lebih baik dan ada setengahnya bercakap di pentas PAS.

Ada orang ingat bercakap di pentas PAS ini mesti sentuh ilmu agama sehinggakan ada terkeluar daripada mulut seorang ustazah yang menegur supaya jangan bercakap tentang agama kalau dia tu bukan ustaz atau ustazah.

Yup, memang betul kita tidak boleh memandai bercakap dalam ilmu agama ini. Tetapi tidak salah jika kita bercakap tentang cerita penghijrahan kita daripada buruk kepada baik.

Malah memang digalakkan untuk beritahu orang ramai tentang jalan cerita macam mana kita boleh berhijrah dengan harapan ramai lagi yang ikut berubah.

Kadang-kadang mereka yang berada dalam kegelapan ini tidak dengar sangat cakap ustaz dan ustazah disebabkan beberapa faktor. Tetapi mereka mudah dengar jika orang yang bercakap itu asalnya macam mereka juga satu ketika dahulu.

Konsep dakwah dalam Islam ini sangat luas dan kalau boleh jangan sempitkan. Jangan terlampau menghalang kononya nak menjaga agama hingga kita tidak sedar yang kita sebenarnya sedang menyekat untuk orang lain mengenali cara hidup Islam yang sebenar.

Friday, July 27, 2012

Kewujudan Proton merugikan rakyat

Sejak akhir-akhir ini timbul beberapa gambar di Facebook tentang harga yang dikenakan untuk kereta keluaran Nasional tidak adil untuk rakyat. Ini kerena cukai yang dikenakan sangat tinggi. 
Masakan tidak, di negara lain boleh dijual dengan harga 2 kali ganda lebih murah dengan kualiti jauh lebih baik. Kepada rakyat sendiri dijual dengan harga mahal dengan kualiti rendah terutama untuk kereta Proton. Untuk kereta Perodua dari sudut kualiti agak ok setakat ni.

Tidak cukup dengan itu, cukai yang dikenakan untuk kereta import berganda-ganda dikenakan. Jadi, pilihan yang ada untuk rakyat ialah membeli kereta keluaran tempatan yang lebih murah dan kualiti rendah.

Bayangkan jika kereta keluaran Nasional tidak wujud. Maka sudah tentu rakyat boleh miliki kereta keluaran Jepun dengan harga lebih murah dari sekarang dengan kualiti lebih baik. Sebabnya cukai yang dikenakan mesti tidak setinggi sekarang. Cukai yang tinggi untuk kereta import adalah untuk menyelamatkan syarikat kereta tempatan daripada rugi.

Kenapa Toyota, Honda mampu jual pada harga sedemikian tetapi tidak Proton dan Perodua? Perbandingan ini dibuat jika kita sama ratakan cukai antara kereta import dan tempatan.

Mungkin ada yang mempertikaikan kenyataan di atas dengan mengatakan sejak Proton wujud banyak membantu pembangunan negara.

Bagi aku Proton banyak membantu penuhkan poket kroni dan bukan untuk keselesaan rakyat pun. Paling sedih perkembangan Proton dari sudut teknologi sangat lembap walaupun sudah berumur 29 tahun. Proton hanya tahu copy dan paste sahaja. Perodua dan Naza memang kita dah sedia maklum dengan budaya itu.

Jika nak dibandingkan sumbangan Proton dengan bebanan hutang dan kerugian yang rakyat terpaksa tanggung akibat guna kereta kualiti rendah dengan harga tinggi memang sangat menyedihkan.

Kalau ada orang cakap Proton sudah hebat dan kualiti semakin baik, maka aku ingin bertanya, kalaulah betul kata-kata itu, kenapa masih tidak berani bersaing secara sihat dengan kereta import dalam pasaran Malaysia?

Tuesday, July 24, 2012

Hikmah berpuasa untuk orang Islam

Jika kita mampu berpuasa selama sebulan tanpa meninggalkan solat fardhu InsyaAllah kita akan tinggalkan segala perbuatan yang termasuk dalam kategori dosa besar.
Kenapa begitu? 

Semua perkara yang halal kita makan, minum dan buat seperti makan nasi, minum Milo Ais dan berjimak dengan isteri tidak dibenarkan untuk dibuat pada siang hari dalam bulan Ramadhan.

Kalau kita mampu menahan diri di siang hari daripada melakukan perkara yang dihalalkan pada malam harinya selama sebulan, maka mana mungkin diri kita sanggup melakukan zina, minum arak dan makan babi kerana perkara ini telah diharamkan dalam Islam.

Puasa melatih nafsu untuk akur kepada iman. Puasa melatih kita mengawal nafsu.

Syaratnya puasa itu dilakukan betul-betul dan sebaik mungkin. InsyaAllah kita akan terselamat daripada melakukan dosa besar.

Selamat menjalankan ibadah puasa!

Wednesday, July 18, 2012

15 sebab mengapa saya bertudung labuh

'Saya' dalam tajuk di atas bukan merujuk kepada diri penulis tetapi merujuk kepada individu asal yang sudi berkongsi pengalamannya. Perkongsian hebat ini aku ambil daripada Facebook. Semoga dapat memberi manfaat kepada kita semua sempena Ramadhan yang bakal menjelma.

15 sebab mengapa saya memilih untuk bertudung labuh:
  1. Menutup Aurat - Allah Cinta
  2. Dapat pahala bila jaga aurat, berganda bila ikhlas.
  3. Nampak macam panas tetapi bila pakai nyaman jer.
  4. Nampak solehah, kadang-kadang macam ustazah.
  5. bantu jaga mata lelaki, lindungi diri dari lelaki jahat.
  6. Nampak lebih cantik, ayu dan sopan.
  7. Melabuhkan tudung ikut syariat ertinya ikut sunnah.
  8. Apabila dah tutup dengan sempurna boleh terus buat pakaian solat.
  9. Didik diri hormat diri sendiri sebelum orang lain hormat kita.
  10. Menyihatkan badan, tidak kena sinar UV, debu, kuman dan lain-lain.
  11. Tingkatkan malu dalam diri kerana malu itu separuh daripada iman.
  12. Satu cabang dakwah iaitu dengan membawa manusia cinta pada Islam.
  13. Memudahkan jodoh kerana ini adalah antara ciri-ciri yang boleh dijadikan isteri solehah, InsyaAllah.
  14. Petanda awal ke arah menjadi insan yang beriman dan bertaqwa.
  15. Bukan nak tunjuk baik cuma nak jadi baik dengan sentiasa memperbaiki diri.
Jom kita berkejar mencari redha Allah dengan sentiasa memperbaiki diri dan amalan seharian kita. Selangkah kita mendekati Allah, seribu langkah Allah menghampiri kita.

Tuesday, July 17, 2012

Cara cari muka surat dalam Al-Quran dengan mudah

Ramadhan semakin mendekati kita. Diharapkan agar Ramadhan kali ini dapat mendidik kita untuk mendekati Al-Quran dengan lebih rapat.
Di sini dikongsikan cara untuk cari muka surat dalam Al-Quran dengan mudah iaitu menggunakan sedikit formula matematik. 

Tip yang nak dikongsikan ini sebenarnya cara untuk menghafal muka surat setiap juzuk Al-Quran. Memang menakjubkan kerana hanya dengan menggunakan formula matematik ringkas, kita dapat tahu muka surat setiap juzuk Al-Quran. Jom sama2 kita belajar!

Contoh 1:
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 5 di halaman ke berapa formulanya 5-1 = 4, 4 perlu didarab dengan 2 jadi 4 x 2 = 8 Letakkan nombor 2 selepas jawapan. Jadi, juzuk 5 adalah pada halaman 82. Sekarang lihat pada Quran dan anda akan lihat Juzuk 5 bermula pada halaman 82. Menarikkan?   

Contoh 2:
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 10 di halaman ke berapa: 10-1 = 9, 9 perlu didarab dengan 2 jadi 9 x 2 = 18 Letakkan nombor 2 selepas jawapan. Jadi, juzuk 10 adalah pada halaman 182.   

Contoh 3: 
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 23 di halaman ke berapa: 23-1 = 22, 22 perlu didarab dengan 2 jadi 22 x 2 = 44 Letakkan nombor 2 selepas jawapan. Jadi, juzuk 23 adalah pada halaman 442.

Subhanallah, memang menakjubkan kan kawan-kawan? Sama-sama kita kongsikan perkara ini kepada kawan-kawan kita, adik beradik kita dan saudara mara kita supaya sama-sama mendapat manfaat dan pahala. 

Sumber: Facebook

Sunday, July 15, 2012

Arab Spring satu bencana?

Arab Spring ialah gerakan revolusi rakyat di kebanyakan negara timur tengah yang tidak puas hati dengan pemimpin sedia ada. Kebanyakan berkaitan isu hak asasi manusia, kezaliman dan korupsi.

Sehingga hari ini sebanyak 4 negara berjaya menjatuhkan pemimpin korup sedia ada iaitu Tunisia, Mesir, Libya dan Yaman. Sebuah negara lagi menunggu untuk mengikut jejak langkah yang sama iaitu Syria.

Semua kebangkitan ini bermula dengan demonstasi aman dan ada sesetengahnya berakhir dengan pertumpahan darah. Ini adalah harga yang perlu dibayar untuk masa depan mereka yang lebih baik.
Sesetengah pemerhati menyifatkan Arab Spring ialah suatu fenomena yang positif tetapi ada juga mereka yang menganggap perkara ini adalah satu bencana besar terhadap umat Islam.

Walau apapun anggapan mereka, kita perlu menghormati pendirian majoriti rakyat sesebuah negara kerana itu melibatkan masa depan mereka.

Kalau kita kaji zaman gelap barat pun, perubahan yang mereka lakukan perlu dibayar dengan darah untuk sampai ketahap negara maju zaman sekarang.

Sirah para nabi juga begitu, setakat ini tiada kita dengar dan baca jalan ceritanya begitu aman tanpa sebarang pengorbanan.

Kenapa apabila tiba masa umat Islam ingin bangkit dan berubah ke arah yang lebih baik ada suara-suara sumbang mengatakan ini propaganda barat dan mainan zionis?

Kalaulah negara yang mengalami kebangkitan rakyat itu pemimpinnya bagus, mengamalkan agama sepenuhnya, tidak korup dan kebajikan rakyat terjaga maka mungkin saya bersetuju ini adalah propaganda jahat barat.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Negara itu kebajikan rakyatnya teruk, rompakan kekayaan negara berleluasa, kezaliman kepada rakyat yang menegur pemimpin dan salah guna kuasa.

Baru-baru ini sempat menonton Majalah Islam di TV Al-Hijrah yang mengulas isu ini. Kebanyakan mereka yang ditemuramah memberi respon negatif terhadap Arab Spring. Hairan juga kenapa rancangan itu tidak menemuramah Dr.Maszlee sebagai individu yang agak pakar dalam bidang ini.

Ada juga yang mengatakan tengoklah apa yang berlaku pada rakyat mesir sekarang? (pada masa itu masih dalam proses pemilihan Presiden baru) Rakyat hidup lagi susah, Harga makanan meningkat naik. Setiap masa ada sahaja demonstrasi di Medan Tahrir. Keadaan jadi lebih buruk dari zaman Mubarak.

Itu adalah komen-komen mereka yang tidak berada di sana dan membaca berita dari saluran yang memainkan propaganda mengatakan perubahan belum tentu boleh membawa keadaan negara jadi lebih baik. Propaganda ini suka dimainkan negara yang takut rakyat bangkit membuat perubahan dalam pilihanraya termasuk Malaysia.

Akan tetapi dengan Kuasa Allah yang Maha Agung, pemilihan Presiden Mesir yang baru memihak kepada pihak Pro Islam iaitu Ikhwan Muslimin. Saban hari di Facebook dikongsi gambar memuji bagusnya Presiden Mesir yang baru. Perancangan perubahan dan sifat zuhud Presiden Morsi membuatkan ramai orang bermimpi untuk memiliki pemimpin seperti itu di masa hadapan.

Jadi apa yang buruk dan bencananya Arab Spring? Sudah tentu perlu ada pengorbanan yang perlu dibuat untuk menuju ke arah masa depan negara yang lebih baik.
"No Sacrifice, No Victory." 

Saturday, July 14, 2012

Infinity Downline hidup lagi?

Lebih kurang 2 tahun lepas Infinity Downline muncul di persada bisnes internet di Malaysia. Masa tu ada kawan-kawan aku yang agak berkaliber sertai bisnes ini. Aku hampir terpengaruh untuk sertai tetapi oleh kerana sebelum  ini pernah kena tipu jadi aku kaji betul-betul bisnes ini.

Setelah berjumpa dan bertanya senior dalam bidang bisnes internet ini maka respon yang aku dapat cukup negatif. Pada masa itu juga blog rujukan hukum halal haram terutama dalam bisnes dan pelaburan zaharuddin.net tengah hangat. Jadi aku rujuk di situ dan mujurnya ada orang bertanya Ustaz Zaharuddin tenteng ID (infinity downline).

Kesimpulan jawapannya adalah haram kerana apa yang dikatakan bisnes itu sebenarnya tidak menjual produk tetapi lebih kepada 'head hunting'.

Pada masa itu aku bertekak dengan seorang kawan dan mujur akhirnya dia insaf dan keluar daripada bisnes itu.

Aku ingatkan bisnes ini sudah mati rupanya tidak. Aku agak terkejut kerana ada seorang kawan baru di Facebook mempromosikan bisnes ini. Sekarang mereka lebih canggih menipu dengan memasukkan gambar duit gaji untuk mengaburi mata orang ramai. Siap tipu buat banyak akaun Facebook lagi.

Teruknya perkara ini sampai tahap ada hamba Allah yang buat Fan Page menentang Infinity Downline. Laman ini bertujuan membongkar habis-habisan Scam ini dan mengumpulkan mangsa untuk dijadikan iktibar masyarakat.

Ini antara pengakuan mangsa dalam FB Page itu:
Tidak salah untuk mencari kekayaan tetapi biarlah dengan cara yang betul takut nanti menjejaskan keberkatan anak cucu. Jangan pentingkan diri sendiri sahaja. Di dunia kita mungkin hidup mewah tetapi bagaimana di akhirat?

Friday, July 13, 2012

Aku tidak mencuri harta rakyat

Negara Turki terkenal dengan cerita baik dan cerita jahatnya. Cerita baik adalah negara itu pernah menjadi pusat pemerintahan khalifah Islam dan cerita buruk ialah negara itu juga pernah melahirkan individu yang bernama Kamal Atarturk yang dilaknat.

Turki yang sangat sekular sedang dalam proses pencerahan oleh pendakwah dan pemimpin yang berfikrah Islam sekarang.

Ekonomi Turki sebelum ini adalah sangat teruk disebabkan budaya rasuah dan korupsi berleluasa. Kalau dulu nilai duitnya sangat rendah dibandingkan dengan duit Malaysia. Nilai Lira Turki seakan-akan nilai Rupiah Indonesia.

Tetapi sekarang nilai duitnya lebih tinggi berbanding ringgit Malaysia iaitu 1 Lira Turki = 1.75 Ringgit Malaysia.
Recep Tayyip Erdoğan Perdana Menteri Turki
Apabila ditanya Perdana Menteri Turki bagaimana dia lakukan untuk menaikkan ekonomi Turki yang hampir jatuh satu ketika dahulu seterusnya menaikkan nilai matawang negaranya.

Jawab beliau : "Aku tidak mencuri harta rakyat."

Itu adalah jawapan dan tip yang diberikan. Begitulah bahayanya barah rasuah dan korupsi kepada sebuah negara. Budaya terkutuk ini juga ditegah oleh agama kita iaitu Islam. 

Lihatlah Malaysia, adakah kita ingin menanti ekonomi jatuh baru mahu insaf? Perubahan di tangan kita. Allah tidak akan mengubah nasib seseorang hamba jika mereka sendiri tidak mahu berubah ke arah yang lebih baik.