Sunday, May 12, 2013

KPOP Lebih Penting Dari Masa Depan Negara

Sesungguhnya Najib berjaya mendidik rakyatnya untuk sukakan hiburan tanpa menghiraukan perkara yang lebih penting iaitu masa depan negara. Kalau Rasulullah masih ada sekarang tentu dia sedih melihat umatnya menjadi sebegini rupa.

Memang betul setengah pengkaji mengatakan kita sekarang sedang berada di dalam zaman penuh fitnah dan menghampiri hari kiamat. Lihatlah komen anak muda di bawah:


Tiada seinci, seekor kuman mahupun sebesar zarah perbuatan, tindakan, pemikiran kita yang tiada kaitan dengan agama. Kerana setiap perkara atau perbuatan kita akan dikira samada pahala atau dosa.


Nama terpaksa ditutup bagi menjaga keaiban mereka. Berdasarkan nama dan gambar sudah tentu mereka melayu Islam.

Insaflah wahai anak muda kerana kelak Allah akan bertanya apa yang kamu telah buat semasa hidup sihat di dunia. Walaupun Ilmu setinggi langit tetapi pemikiran dan akhlak yang tidak mengikut sunnah Rasulullah tidak kemana jua kerana masa depan kita yang sebenar lagi kekal ialah Akhirat kelak.

Thursday, May 9, 2013

Senarai Exco Negeri Kelantan Baru 2013



Portfolio exco baru kerajaan negeri Kelantan 2013:

1. Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan.

2. Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli yang dipengerusikan oleh YB Dato' Haji Mohd Amar bin Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan.

3. Jawatankuasa Kerjaaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar yang dipengerusikan oleh YB Dato' Haji Abdul Fattah Hj Mahmood.

4. Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh YB Dato' Haji Che Abdullah bin Mat Nawi.

5. Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat yang dipengerusikan oleh YB Dato' Haji Anuar Tan bin Abdullah.

6. Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau yang dipengerusikan oleh YB Dato' Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud.

7. Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan yang dipengerusikan oleh YB Dato' Mejar (B) Hj Mohd Anizam bin Abdul Rahman.

8. Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat yang dipengerusikan oleh YB Haji Hanifa bin Ahmad.

9. Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi yang dipengerusikan oleh YB Dato' Dr Mohamed Fadzli bin Dato Haji Hassan.

10. Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat yang dipengerusikan oleh YB Hajah Mumtaz bin Md Nawi.

11. Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO yang dipengerusikan oleh YB Dr Ramli bin Mamat.

Thursday, May 2, 2013

Bangunan Kerajaan di Putrajaya Disewa?

Sebelum ini ada pernah dengar cerita yang semua bangunan kerajaan di Putrajaya disewa. Apabila difikir balik aku rasa macam tak logik sebab takkanlah kerajaan tak mampu nak buat bangunan sendiri sebab kuasa ke atas tanah beserta dana kerjaan sendiri sudah cukup untuk bangunkan bangunan sendiri.

Lagipun daripada disewa lagi jimat buat sendiri bangunan. Mustahil hasil negara tak cukup untuk buat bangunan sendiri.

Akan tetapi kenyataan Dato Husam Musa ini mengejutkan aku dan menyedarkan aku bahawa dakwaan yang aku dengar sebelum ini betul!

Jimat RM27 bilion henti sewaan bangunan kerajaan di Putrajaya
PUTRAJAYA: Calon PAS Putrajaya, Datuk Husam Musa mencadangkan supaya Kerajaan Pakatan Rakyat menghentikan amalan sewaan bangunan kerajaan dari Putrajaya Holding.
Tindakan ini katanya, sekaligus dapat menjimatkan RM1.7 bilion setahun atau RM27 bilion untuk 15 tahun akan datang.
Dalam sidang akhbarnya di Pusat Media PAS di Presint 9, sebentar tadi Husam memberitahu perkara ini sudah dibangkitkan beliau di Parlimen semenjak 2001 lagi.
Pendedahan Husam ini agak mengejutkan rakyat kerana ramai yang tidak tahu, semua bangunan kerajaan termasuk pejabat Perdana Menteri, kediaman rasmi PM dan TPM disewa dari Putrajaya Holdings.
Menurut Husam, sewaan bangunan kerajaan ini bermula pada tahun 2003 secara berperingkat-peringkat mengikut bangunan yang disiapkan.
Husam berkata, Putrajaya Holding telah mendapat tanah kerajaan secara percuma dan untuk pembinaan Putrajaya telah mengeluar bon-bon yang dijamin Kerajaan Malaysia.
"Dengan penjimatan wang sebanyak ini, kita boleh laksanakan banyak program untuk pembangunan yang memberi manfaat kepada penjawat awam dan rakyat Malaysia," ujarnya.
Agak kurang cerdik bagi kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat membuat keputusan begini tetapi memang sangat cerdik bagi kerajaan yang mementingkan kroni untuk buat keputusan sewaan bangunan ini. Fikirkan dan pilih demi masa depan negara!

Tuesday, April 30, 2013

Dalang Sebenar Tragedi 13 Mei

Peristiwa 13 Mei betul-betul menjadi mimpi ngeri kepada kebanyakan generasi lama. Dalam proses untuk aku memahami peritiwa 13 Mei kebanyakan bahan yang aku baca seolah-olah menyalahkan kaum Cina memulakan peritiwa ini.

Apa yang menjadi tanda tanya aku ialah pada masa itu parti Gerakan menang besar di Kuala Lumpur jadi kenapa pihak yang menang ini membuat huru hara? Sepatutnya orang yang kalah akan buat huru hara.

Buku ini menjelaskan sedikit sebanyak disebalik peristiwa 13 Mei.
Aku sudah mula rasa ada cerita yang tidak didedahkan dalam kebanyakan buku sejarah terhadap peristiwa ini. Persoalan dan teori terus bermain di fikiran aku kerana sejarah amat penting untuk kita fahami demi masa depan negara yang lebih baik.

Maka terjumpalah aku video ini:



Pendedahan ini betul-betul mengejutkan aku. Hati perut UMNO baru ini sukar digambarkan kebusukannya. Apa yang penting peristiwa 13 Mei betul-betul memberi peluang keemasan kepada UMNO untuk terus memerintah di saat mereka hampir jatuh pada tahun itu.

Semoga PR menang PRU 13 ini seterusnya pendedahan cerita sebenar terus didedahkan dan dalang disebalik peristiwa hitam ini dihadapkan kemuka pengadilan.

Sunday, April 21, 2013

Kemalangan Ngeri Federal Highway 21 April 2013

Video di bawah ini menunjukkan kesan selepas kemalangan yang melibatkan banyak kenderaan. Dikhabarkan 5 orang meninggal dunia.

Video ini bukan untuk tontonan umum disebabkan mayat bergelimpangan dan ada anggota kaki putus.




Petikan daripada Facebook:
Nahas Lebuhraya Persekutuan

Sebuah kereta dilaporkan hilang kawalan (mabuk) lalu merempuh 2 motosikal yang berhenti di bahu jalan. Ketiga-tiga mereka maut.

Kemudian, sebuah kereta berhenti berdekatan utk membantu, namun sebuah motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta terbabit. Pembonceng motosikal dan penumpang kereta maut, menjadikan keseluruhan yang terkorban adalah 5 orang.

Al-Fatihah & Takziah untuk mangsa dan keluarga.

Friday, April 19, 2013

Apabila Orang Bukan Islam Lebih Faham Hudud Lebih Daripada Setengah Orang Islam

Sedih, lucu, kagum dan terkesima apabila terbaca komen orang bukan Islam yang boleh terima Hukum Hudud lebih daripada setengah orang Islam sendiri yang mengaku membela Islam kononnya.

Sila baca keratan komen daripada Facebook di bawah:


Lagi komen Insan yang berfikiran terbuka ini tentang Hudud:


UMNO yang menjadi dalang disebalik islamophobia orang bukan Islam kerada PAS dan idea PAS untuk laksanakan hudud sudah semakin menipis dan insyaAllah akan terhapus terus benteng ketakutan dan perkauman yang dicanang UMNO sejak sekian lama.

Tunku Minta Melayu Hapuskan UMNO

Salah satu keratan akhbar Utusan Melayu:


Antara komen yang menarik tentang cerita disebalik keratan Akhbar ini:
" Keratan ini selepas Tungku, Tun Hussain Onn dan Tun Jaffar Onn keluar umno. Selepas Tun Mahadhir kuasai. Berpunca dari korupsi dan Tunku tak dapat kawal dan beliau sedih. Tunku tahu melayu sudah tidak dijaga oleh melayu. Tunku tahu rasuah terlalu kuat. Tunku pernah lawan dimahkamah dan tuntut hak UMNO lama tetapi Tunku tidak berjaya. Tetapi mahkamah menghalang UMNO baru guna jenama dan harta umno lama tetapi perkara itu tak dihiraukan.."

Antara video temubual dengan Tungku:



Tuesday, February 12, 2013

Fitnah Zaman Berzaman

Kata-kata seorang ustaz dalam ceramah agamanya betul-betul menyedarkan jiwa. Diceritakan bagaimana sejak zaman dahulu lagi manusia memang mudah percaya dengan fitnah walaupun bukti yang sebaliknya ada di hadapan mata.

Kepelikan ini berlaku bila mana seorang yang alim dan warak melakukan amalan soleh dalam kehidupan hariannya. Keluarganya juga teratur dan patuh pada agamanya. Satu kampung memang kenal orang ini sebagai seorang yang Istiqamah melakukan kebaikan.

Oleh kerana Allah ingin mengujinya, didatangkan satu orang yang hidupnya tunggang terbalik dari segi agamanya malah memang rekod menunjukkan dia ini orang yang tidak boleh dipercayai. Datangnya dia membawa fitnah kepada orang alim ini.

Lalu satu kampung tiba-tiba percaya dengan di pembawa fitnah ini walaupun secara hakikatnya mereka lebih mengenali si alim sudah sekian lama.

Paliknya manusia ini sangat mudah percaya kepada si pembawa fitnah berbanding si alim. Secara buktinya walaupun difitnah si alim masih dengan rutin tetap hariannya melakukan ibadah dan kebaikan namun orang kampung tetap percaya akan fitnah itu dan memandangnya serong.

Cuba perhatikan hidup kita seharian. Mungkin, orang kampung itu adalah kita dan si pembawa fitnah itu boleh jadi media yang suka mencari publisiti murahan. Si alim tadi mungkin individu baik yang selalu mengajar agama dan melakukan kebaikan.

Muhasabah diri kenapa kita sangat mudah percaya kepada sumber yang tidak sahih dengan kredibiliti pembawa berita itu berada pada tahap sangat lemah kepercayaannya.

Air dan minyak itu tidak dapat bercampur. Jika seseorang itu berlakon warak sekalipun perbuatannya itu tidak lama kerana hatinya tidak ikhlas. Sebab itu jarang kita lihat orang yang berhati jahat Istiqamah melakukan amal soleh. Malah kita dapat lihat kehidupan dia dan ahli keluarganya juga tidak terselindung daripada maksiat kepada Allah.

Friday, February 8, 2013

Orang Tua dan Masjid

Sejak sekian lama perhatikan kelibat insan ini yang selalu ada di Masjid. Setiap waktu yang mampu aku pergi ke masjid mesti dia ada. Malah dia telah mengalahkan Pak Imam dan Bilal dari sudut kehadiran. Mungkin rumah dia berhampiran di masjid.
Dia seorang yang sudah tua dan mempunyai masalah kaki yang cepat kekejangan menyebabkan setiap kali duduk Tahiyyat akhir agak sukar untuk dia bangun berdiri dan berjalan. kadang-kadang memerlukan bantuan jemaah ditepinya untuk bangun.

Apa yang mengagumkan ialah Pak Cik ini tidak pernah sembahyang secara duduk tetapi berusaha berdiri walaupun dia mengalami masalah cepat kekejangan kaki.

Lebih mengagumkan lagi dia sangat Istiqamah ke masjid 5 waktu sehari semalam.

Mungkin ada orang kata dia bolehlah sudah tua, kubur kata mari dan rumah kata pergi jadi memang dia kena banyak beramal. Tetapi cuba lihat betapa ramai orang tua di luar sana yang masih liat untuk solat di masjid? Malah alasan sakit selalu meniti di bibir untuk tidak Istiqamah ke masjid.

Ada juga orang kata umur muda hidup mesti mahu berseronok dahulu tunggu nanti sudah tua mesti selalu ke masjid juga. Kita perlu ingat betapa ramai orang mati muda tidak sempat pencen.

Jadi ingatlah apa alasan yang diberi sekalipun, jangan sampai diri kita terlambat untuk beramal. Tanya diri adakah kita Mahu SYURGA atau tidak? Jika mahu jangan lagi hidup dengan beralasan!

Catatan: Tulisan ini sebagai peringatan untuk diri di masa hadapan dikala rasa lemah dan tertewas untuk melakukan amalan Soleh.

Wednesday, February 6, 2013

Seorang Budak Rajin Ke Masjid

Pernah pada suatu hari aku terlewat ke masjid menunaikan solat Isyak dan terpaksa berada di barisan belakang bersama kanak-kanak.
Selepas selesai sujud pertama kanak-kanak ini duduk antara dua sujud dalam keadaan pelik menyebabkan seolah-olah dia memakan ruang duduk aku.

Mula-mula aku merasa pelik adakah budak ini sembahyang main-main sebabnya aku ada ternampak kawannya bergurau senda sesama mereka sebelum solat.

Setelah beberapa kali terjadi begitu maka fahamlah aku yang budak ini ada masalah kesihatan kakinya yang menyebabkan dia terpaksa duduk dalam keadaan pelik.

Aku terus insaf dan kagum dengan semangat budak ini yang masih muda dan sakit tetapi masih mengagahkan diri ke masjid.

Usahkan budak, kalau orang tua sekalipun jika mereka sakit sudah tentu kesakitan itu akan dijadikan alasan kukuh untuk sembahyang di rumah.

Tetapi bagi budak ini tidak begitu. Kesakitan itu membuat dia terus berusaha untuk sembahyang berjemaah di masjid dan mengharapkan pahala berganda daripada Allah Yang Maha Pemurah oleh kerana keadaannya tidak seperti orang lain.

Hidup ini tiada alasan sebenarnya, yang ada hanyalah MAHU ataupun TIDAK!