Tuesday, February 12, 2013

Fitnah Zaman Berzaman

Kata-kata seorang ustaz dalam ceramah agamanya betul-betul menyedarkan jiwa. Diceritakan bagaimana sejak zaman dahulu lagi manusia memang mudah percaya dengan fitnah walaupun bukti yang sebaliknya ada di hadapan mata.

Kepelikan ini berlaku bila mana seorang yang alim dan warak melakukan amalan soleh dalam kehidupan hariannya. Keluarganya juga teratur dan patuh pada agamanya. Satu kampung memang kenal orang ini sebagai seorang yang Istiqamah melakukan kebaikan.

Oleh kerana Allah ingin mengujinya, didatangkan satu orang yang hidupnya tunggang terbalik dari segi agamanya malah memang rekod menunjukkan dia ini orang yang tidak boleh dipercayai. Datangnya dia membawa fitnah kepada orang alim ini.

Lalu satu kampung tiba-tiba percaya dengan di pembawa fitnah ini walaupun secara hakikatnya mereka lebih mengenali si alim sudah sekian lama.

Paliknya manusia ini sangat mudah percaya kepada si pembawa fitnah berbanding si alim. Secara buktinya walaupun difitnah si alim masih dengan rutin tetap hariannya melakukan ibadah dan kebaikan namun orang kampung tetap percaya akan fitnah itu dan memandangnya serong.

Cuba perhatikan hidup kita seharian. Mungkin, orang kampung itu adalah kita dan si pembawa fitnah itu boleh jadi media yang suka mencari publisiti murahan. Si alim tadi mungkin individu baik yang selalu mengajar agama dan melakukan kebaikan.

Muhasabah diri kenapa kita sangat mudah percaya kepada sumber yang tidak sahih dengan kredibiliti pembawa berita itu berada pada tahap sangat lemah kepercayaannya.

Air dan minyak itu tidak dapat bercampur. Jika seseorang itu berlakon warak sekalipun perbuatannya itu tidak lama kerana hatinya tidak ikhlas. Sebab itu jarang kita lihat orang yang berhati jahat Istiqamah melakukan amal soleh. Malah kita dapat lihat kehidupan dia dan ahli keluarganya juga tidak terselindung daripada maksiat kepada Allah.

Friday, February 8, 2013

Orang Tua dan Masjid

Sejak sekian lama perhatikan kelibat insan ini yang selalu ada di Masjid. Setiap waktu yang mampu aku pergi ke masjid mesti dia ada. Malah dia telah mengalahkan Pak Imam dan Bilal dari sudut kehadiran. Mungkin rumah dia berhampiran di masjid.
Dia seorang yang sudah tua dan mempunyai masalah kaki yang cepat kekejangan menyebabkan setiap kali duduk Tahiyyat akhir agak sukar untuk dia bangun berdiri dan berjalan. kadang-kadang memerlukan bantuan jemaah ditepinya untuk bangun.

Apa yang mengagumkan ialah Pak Cik ini tidak pernah sembahyang secara duduk tetapi berusaha berdiri walaupun dia mengalami masalah cepat kekejangan kaki.

Lebih mengagumkan lagi dia sangat Istiqamah ke masjid 5 waktu sehari semalam.

Mungkin ada orang kata dia bolehlah sudah tua, kubur kata mari dan rumah kata pergi jadi memang dia kena banyak beramal. Tetapi cuba lihat betapa ramai orang tua di luar sana yang masih liat untuk solat di masjid? Malah alasan sakit selalu meniti di bibir untuk tidak Istiqamah ke masjid.

Ada juga orang kata umur muda hidup mesti mahu berseronok dahulu tunggu nanti sudah tua mesti selalu ke masjid juga. Kita perlu ingat betapa ramai orang mati muda tidak sempat pencen.

Jadi ingatlah apa alasan yang diberi sekalipun, jangan sampai diri kita terlambat untuk beramal. Tanya diri adakah kita Mahu SYURGA atau tidak? Jika mahu jangan lagi hidup dengan beralasan!

Catatan: Tulisan ini sebagai peringatan untuk diri di masa hadapan dikala rasa lemah dan tertewas untuk melakukan amalan Soleh.

Wednesday, February 6, 2013

Seorang Budak Rajin Ke Masjid

Pernah pada suatu hari aku terlewat ke masjid menunaikan solat Isyak dan terpaksa berada di barisan belakang bersama kanak-kanak.
Selepas selesai sujud pertama kanak-kanak ini duduk antara dua sujud dalam keadaan pelik menyebabkan seolah-olah dia memakan ruang duduk aku.

Mula-mula aku merasa pelik adakah budak ini sembahyang main-main sebabnya aku ada ternampak kawannya bergurau senda sesama mereka sebelum solat.

Setelah beberapa kali terjadi begitu maka fahamlah aku yang budak ini ada masalah kesihatan kakinya yang menyebabkan dia terpaksa duduk dalam keadaan pelik.

Aku terus insaf dan kagum dengan semangat budak ini yang masih muda dan sakit tetapi masih mengagahkan diri ke masjid.

Usahkan budak, kalau orang tua sekalipun jika mereka sakit sudah tentu kesakitan itu akan dijadikan alasan kukuh untuk sembahyang di rumah.

Tetapi bagi budak ini tidak begitu. Kesakitan itu membuat dia terus berusaha untuk sembahyang berjemaah di masjid dan mengharapkan pahala berganda daripada Allah Yang Maha Pemurah oleh kerana keadaannya tidak seperti orang lain.

Hidup ini tiada alasan sebenarnya, yang ada hanyalah MAHU ataupun TIDAK!