Thursday, April 14, 2011

BEN ASHAARI Gegar lagi!


Pagi ni masa asyik blog walking dari satu blog ke satu blog maka aku terjumpa artikel yang sebijik macam tajuk ni. Maka selepas aku menyelidik dan membaca beberapa artikel tentang Ben Ashaari ni maka terus terdetik di hati untuk join sama.

Bukan apa hanya untuk mengenali blogger-blogger yang hebat kat luar sana. Semakin hari aku membaca blog orang semakin asyik aku dengan dunia blogging ni.

Kadang-kadang penting untuk blogger yang hebat memberi tunjuk ajar kepada blogger baru macam aku ni dengan buat kontest macam ni.

Kalau ada yang berminat nak join jugak boleh angkat tangan macam saya..eh silap..pengaruh cerita Hantu Kak Limah la ni..boleh klik DI SINI.

Wednesday, April 13, 2011

Kisah seorang penipu

Kisah ini sebenarnya terjadi kepada diri aku sendiri. Tujuan aku cerita ni pun supaya dapat iktibar dan pengajaran kepada orang lain.


Kejadian ini berlaku pada hari jumaat pukul 12.30pm sebelum solat jumaat. Aku yang pada waktu itu masih berada di pejabat menerima kehadiran seorang lelaki yang tidak dikenali. Pejabat masa itu sudah ditutup.

Ayat pertama dia:

"Asslamualaikum bang, saya datang ni bukan nak jual ubat atau jual barang. Saya nak minta tolong jer"

Dia pun menceritakan keadaannya yang kehilangan dompet semasa dalam perjalanan ke rumah saudaranya di Bangi. Selepas membuat laporan polis dia terus pergi ke sebuah kolej dekat dengan tempat kerja aku untuk meminjam sedikit wang daripada adiknya. Malangnya adiknya itu dikatakan telah pergi bercuti hujung minggu dengan rakan-rakan di tempat lain.

Dia juga menunjukkan salinan laporan polis 3 hari lepas. Dia bagitau yang dia perlukan RM35 untuk tambang ke Lumut. Dia bagitau dia akan bayar balik dengan bank in duit esok pagi lepas sampai di Lumut.

Di laporan polis tu aku tengok status pekerjaan sebagai pesara askar. Nombor telefon bimbit juga ada.

Akhirnya dengan penuh belas kasihan aku bagi lah RM35 kat dia dan nombor akaun aku. Dia ucap terima kasih sambil cium tangan aku. "Biar betul mamat ni." aku cakap dalam hati.

Dipendekkan cerita keesokan harinya aku terus cek bank aku dan memang tiada sebarang duit masuk.

Aku terus mesej dia, bagi ayat macam ugutan azab Allah bagi orang penipu. Tiba-tiba aku dapat call!
Suara Orang India yang bercakap kat nombor telefon tu. Dia tanya kenapa aku hantar mesej macam tu kat adik dia?

Aku terus cakap minta maaf sebab nombor ni aku dapat daripada orang lain. Saat tu barulah aku tahu yang aku kena tipu.

Kat sini aku bukan nak berkira sangat dengan nilai RM35 tu walaupun pada waktu tu aku agak pokai, tetapi nak bagitau dunia sekarang ni ramai yang penipu.

Sejak terkena hari tu, aku memang tak bagi duit mudah-mudah kat orang yang minta tolong melainkan dengan amaun yang sedikit jer. 

Gunakanlah nikmat yang Allah bagi tubuh badan yang sihat tu. Jangan jadi penipu sebab nak dapat duit mudah jer.

Carta Terkini Liga Super 12 April 2011

Berikut adalah carta terkini Liga super selepas perlawanan pada 12 April 2011:

Ked. Pasukan/Kelab Mata P M S K J B P
1 SELANGOR 23 11 7 2 2 15 10 5
2 PERAK 22 11 6 4 1 15 5 10
3 TERENGGANU 21 11 6 3 2 19 11 8
4 KELANTAN 20 11 6 2 3 24 14 10
5 KEDAH 18 11 5 3 3 9 7 2
6 FELDA UNITED 15 11 4 3 4 9 12 -3
7 T-TEAM 14 11 4 2 5 14 13 1
8 HARIMAU MUDA A 12 10 3 3 4 13 13 0
9 PAHANG 12 11 3 3 5 12 14 -2
10 JOHOR FC 12 11 2 6 3 6 11 -5
11 KUALA LUMPUR 11 11 2 5 4 5 8 -3
12 NEGERI SEMBILAN 11 11 3 2 6 7 13 -6
13 SABAH 10 10 2 4 4 8 12 -4
14 PERLIS 4 11 0 4 7 8 21 -13

Ini pula keputusan perlawanan yang telah mengubah keudukan beberapa kumpulan teratas:
Selangor menang dengan Felda United 1-0
Kelantan tewas kepada Perak 0-4
Negeri Sembilan tewas kepada Kedah 0-2
Terengganu menang dengan T-Team 1-0
Harimau Muda A menang keatas Kuala Lumpur 1-0
Sabah seri dengan Perlis 2-2
Pahang dan Johor FC seri 0-0

Tuesday, April 12, 2011

Kisah orang kaya

Semalam aku terbuka TV9 yang menyiarkan rancangan tanyalah Ustaz. Ada satu cerita yang menarik yang ingin dikongsi bersama.

Kisah ini berkenaan seorang kaya yang ustaz ni jumpa di masjid. Orang kaya ini berbual-bual dengan ustaz dan menceritakan keseronokan dia pergi ke Mekah beberapa kali sama ada untuk buat haji atau umrah.


Ustaz itu juga sedia maklum yang dia ni memang seorang yang suka menderma kepada masjid dan orang-orang susah.

Seterusnya ustaz itu mengambil keputusan nekad untuk bertanya lebih dalam lagi kepada orang kaya itu, "Macam mana dengan sanak saudara dan ahli keluarga terdekat? Adakah Tuan haji membantu?"

"Alhamdulillah ustaz, saya akan berikan duit kepada emak saya untuk diagih-agihkan kepada saudara-mara yang memerlukan." jawabnya tenang.

Ustaz itu terus mengatakan kepada orang kaya itu yang soalannya tadi bukan bertujuan untuk mencari keburukan dia tetapi untuk memastikan dia itu menjadi seorang kaya yang beriman seperti yang diajar Nabi.

Dengan kata lain semua penjuru dan sudut dia membantu dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang kaya. Ya, dia bermewah dan pergi ke Mekah beberapa kali tetapi orang disekeliling tidak dilupakan untuk membantu terlebih dahulu.

Tidak salah menjadi orang kaya malah Islam menggalakkan supaya kita kaya tetapi biarlah jadi orang kaya yang beriman. Sahabat nabi juga ramai yang kaya-raya.

Ramainya jutawan senyap di Malaysia

Hari ni aku ada terbaca satu laporan tentang jualan kereta mewah yang terkenal di dunia iaitu Ferrari oleh syarikat pengimport dan pengedar yang terkenal di Malaysia iaitu NAZA Italia.


Statisktiknya seperti di bawah:
  • Jualan NAZA untuk tahun lepas sebanyak 60 unit.
  • Purata permintaan setiap tahun adalah antara 60 - 200 unit. (Termasuk pengimport lain)
  • Kereta Ferrari yang berdaftar atas jalan untuk tahun lepas sebanyak 150 Buah. (Jumlah ini adalah termasuk syarikat pengimport lain)

Melihat kepada statistik ini menunjukkan ramai jugak jutawan di Malaysia ni. Tambah pula mesti ada jutawan yang tidak minat kereta Ferrari. Mesti ada jugak jutawan yang tak suka miliki kereta sport mewah. Jika dicampur dengan golongan ini maka jutawan di Malaysia ni bertambahlah ramai.

Dengan kata lain negara Malaysia ni ramai orang kaya sebenarnya. Kalau semua orang kaya ni pakat membantu mereka yang susah mesti tiada yang merempat kan?

Apa-apapun kita kena ada cita-cita untuk jadi kaya supaya dapat membantu mereka yang susah.

p/s:Sumber daripada Metro.

Monday, April 11, 2011

Hidangan Patin RM13,000 untuk 50 orang!

Sebuah restoren di Temerloh mengenakan RM13,000 bagi hidangan masakan kampung dan ikan patin untuk 50 orang. Sumber berita ni daripada Malaysiakini.

Dengan kata lain setiap seorang dikenakan bayaran sebanyak RM260!


Harga pasaran untuk ikan patin tidaklah semahal itu sebenarnya, tetapi mungkin pemilik kedai nak ambil kesempatan bila tengok pengunjung yang datang itu kaya. Jom tengok berapa harga pasaran:

Ikan patin buah atau patin muncung = RM120/kg
Bagi ikan yang sudah masak = RM35/ketul

Ikan Patin sangkar = RM15/kg
Bagi ikan yang sudah masak = RM7/ketul

Jadi, daripada mana datangnya harga RM260 untuk seorang makan?

Seingat aku dulu ada kisah macam ni jugak dekat Terengganu. Sampai kena saman dengan Penguatkuasa KDN. Aku sendiri pun pernah terkena harga makan pagi yang amat mahal di Batu Burok, Terengganu. Kalau nak kira harga tu tak padan dengan keadaan kedai, layanan dan kesedapan makanan.

Aku tak sangka masih ada peniaga yang ambik kesempatan macam ni. Lain kali memang kena hati-hati kalau nak makan kat mana-mana. Paling tidak kalau tiada tanda harga pun tanyalah harga makanan dulu sebelum makan.

Sunday, April 10, 2011

Carta Terkini Liga Super 9 April 2011

Berikut adalah carta terkini Liga Super pada 9 April 2011:

Ked. Pasukan/Kelab Mata P M S K J B P
1 KELANTAN 20 10 6 2 2 24 10 14
2 SELANGOR 20 10 6 2 2 14 10 4
3 PERAK 19 10 5 4 1 11 5 6
4 TERENGGANU 18 10 5 3 2 18 11 7
5 KEDAH 15 10 4 3 3 7 7 0
6 FELDA UNITED 15 10 4 3 3 9 11 -2
7 T-TEAM 14 10 4 2 4 14 12 2
8 PAHANG 11 10 3 2 5 12 14 -2
9 KUALA LUMPUR 11 10 2 5 3 5 7 -2
10 NEGERI SEMBILAN 11 10 3 2 5 7 11 -4
11 JOHOR FC 11 10 2 5 3 6 11 -5
12 HARIMAU MUDA A 9 9 2 3 4 12 13 -1
13 SABAH 9 9 2 3 4 6 10 -4
14 PERLIS 3 10 0 3 7 6 19 -13

Ini pula keputusan perlawanan yang telah mengubah kedudukan beberapa pasukan:
Sabah menang dengan Perak 2-1
Selangor tewas kepada T-Team 0-2
Kuala Lumpur seri dengan Pahang 0-0
Kelantan menewaskan Felda United 6-0
Terengganu menang dengan Harimau Muda A 3-1
Johor FC seri dengan Negeri Sembilan 0-0
Perlis tewas dengan Kedah 0-1

Saturday, April 9, 2011

Tak perlu signal kereta pun

Apa perasaan anda jika berada di belakang sebuah kereta kemudian kereta di hadapan anda itu membelok tanpa memberikan lampu signal?


Petang tadi semasa memandu di KL duduk la belakang seorang mamat ni pakai kereta yang agak mahal dan mewah. Tetapi sayangnya, bila nak belok ke kiri lansung tak bagi signal menyebabkan aku terpaksa brek mengejut.

Dalam hati aku ni punyalah menyumpah seranah. Tapi tak bagi hon pun. Walaupun nampak macam kesalahan kecil jer tetapi kalau silap haribulan boleh terlanggar belakang kereta dia.

Apa yang aku tak faham ialah kenapa susah sangat nak petik atau kuis batang signal kat tepi stering kereta? Takde pulak nak kena guna tenaga banyak sangat.

Tambah-tambah lagi kalau guna kereta mahal. Kereta punyalah canggih dan selesa tapi sayangnya pemandu tak nak guna pun kemudahan.

Pesan aku ialah, kalau nak buat kesalahan pun jangan sampai menyusahkan orang lain. Kalau kita selalu fikir tak nak menyusahkan orang lain, InsyaAllah orang lain pun tak akan menyusahkan kita.

Friday, April 8, 2011

Pasangan Kekasih mati ketika mandi

Dua pasangan remaja yang berkelah di air terjun Gunung Berembun pada hari Rabu lepas dirempuh 'kepala air' menyebabkan seorang remaja wanita mati lemas manakala pasangan kekasihnya hilang dihanyutkan arus deras itu. masing-masing berumur 18 dan 19 tahun.


Berita ini tadi aku dapat semasa mendengar khutbah Jumaat daripada khatib yang mengingatkan kita tentang pentingnya mempunyai sebuah keluarga yang mengamalkan Islam supaya generasi muda tidak lalai dan hanyut.

Cuba bayangkan kalau emak atau ayah si mangsa tadi seorang yang mengambil berat tentang kemana anak pergi dan dengan siapa mereka keluar maka sudah tentu perkara yang agak memalukan ini dapat dielak.

Kenapa aku kata perkara ini memalukan?

Sebabnya kematian mereka (pengakhiran hidup) adalah ketika mandi di air terjun bersama kekasih. Adakah ini juga amaran daripada Allah untuk kita semua? Bukan setakat kepala air malah Tsunami pun Allah akan hantar jika kebanyakan penduduk melakukan maksiat.

Khatib juga menyebut tentang statistik yang mengatakan setiap 15 minit seorang anak luar nikah dilahirkan di Malaysia.

Memang mengejutkan!

Apa yang kita perlu tahu tentang krisis di Libya


Semalam aku sempat berbual dengan seorang rakan tentang peperangan di Libya. Cerita ini dia dapat terus daripada orang Libya. Ada beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang krisis di Libya:
  • Rakyat Libya adalah rakyat yang sukakan keamanan sebab itu mereka tidak berperang walaupun berada di bawah pemerintahan kuku besi selama lebih 40 tahun.
  • Negara Libya berkeluasan 1.7 juta kilometer persegi berbanding Malaysia 0.3 juta kilometer persegi, manakala populasinya hanyalah 6.5 juta orang berbanding Malaysia 27 juta orang.
  • Dengan kekayaan hasil minyak yang bermutu tinggi dan populasi yang tidak ramai kenapa rakyat Libya ramai yang hidup susah? Jawapannya ialah semua harta kekayaan pergi kepada Gaddafi dan kuncu-kuncunya.
  • Antara 80 - 90 peratus rakyat Libya tidak sukakan Gaddafi dan mahu dia berundur. Tetapi kenapa Gaddafi masih bertahan? Ini kerana rakyat yang menentang tidak ada kelengkapan perang yang cukup untuk menentang Gaddafi.
  • Gaddafi juga bukan macam pemimpin Mesir yang mana dia lebih zalim. Dia sanggup membunuh semua rakyatnya asalkan dia masih bertahan sebagai pemimpin Libya. Sebab itu Rakyat Libya tidak dapat menggunakan teknik sama seperti Mesir dan Tunisia untuk menjatuhkan Gaddafi. Hanya peperangan jalan yang tinggal untuk jatuhkan Gaddafi.
  • Sebab itulah Dr.Yusoff Al-Qardhawi mengeluarkan fatwa halal membunuh Gaddafi berdasarkan dalil yang mewajibkan pemimpin melindungi rakyatnya bukan membunuh rakyatnya sesuka hati.
  • Libya sebatutnya sebuah negara yang maju dan mewah lebih daripada Dubai memandangkan hasil minyak yang lumayan dan negaranya memiliki pesisir pantai yang panjang sesuai untuk pelancongan. Tetapi situasi semasa menunjukkan kemudahan untuk rakyat diabaikan seperti hospital dan kemudahan asas lain. Malah rakyatnya ramai menganggur.
  • Kezaliman Gaddafi memang melampau sampai tahap dia menggunakan senjata yang sepatutnya digunakan untuk menembak kenderaan tetapi digunakan untuk menembak penduduk Libya.
  • Kenapa Gaddafi tidak mahu meninggalkan Libya sedangkan dia sudah kaya raya? Ini kerana perasaan tamak telah menguasai diri. Walaupun sudah kaya tetapi masih rasa tidak cukup dan tidak sanggup untuk tinggalkan Telaga minyak di Libya. Mungkin Mati adalah penyelesaian kepada penyakit hatinya itu.
  • Kerajaan penentang yang baru dutubuhkan dalam usaha mengumpul dana dengan menjual minyak dan membeli senjata untuk menjatuhkan Gaddafi.
  • Banyak pihak mengatakan peperangan ini perancangan US dan negara Eropah. Tetapi ingatlah peperangan ini terjadi akibat rasa tidak tahan rakyat Libya yang bersabar lebih 40 tahun dengan kekejaman Gaddafi. Adakah aman sebuah negara jika berada di bawah pemerintahan kuku besi?
Kita di Malaysia ini doakan semoga perjuangan rakyat Libya berjaya dan Gaddafi yang zalim mendapat hukuman yang setimpal.