Monday, October 11, 2010

Kemalangan ngeri 10-10-10

Keadaan bas yang remuk dan hancur.
10 Oktober 2010 bukan sahaja menjadi tarikh keramat untuk pasangan angkasawan negara tetapi juga tarikh yang menjadi ingatan untuk peristiwa ngeri bagi kemalangan maut di lebuhraya Utara-Selatan. Bas yang hilang kawalan seterusnya merempuh penghadang jalan dan melanting ke laluan bertentangan telah menghempap 3 buah kereta, melanggar sebuah van dan dilanggar sebuah bas JKM.

10 penumpang dan pemandu bas ekspres maut, seorang pemandu van dan seorang lagi pemandu Honda Accord juga maut di tempat kejadian. 40 yang lain cedera ringan dan ada yang parah.

Aku tidak sanggup untuk berkongsi gambar-gambar dan video yang ngeri di blog ini. Aku yang melihat melalui skrin komputer pun sudah tidak lalu makan dan tidak dapat tidur malam selepas melihat gambar-gambar ngeri tersebut.

Diceritakan mayat bergelimpangan di merata tempat atas lebuh raya. Ada yang tersepit, putus tangan, pecah kepala dan hancur bahagian badan. Mungkin ini kejadian paling ngeri dalam sejarah Negara.

Beringatlah di jalan raya, jangan kerana kelalaian kita maka orang lain yang tidak bersalah turut terkorban. Kalau tidak mahu fikirkan diri sendiri pun maka fikirkan orang lain.

Al-Fatihah buat keluarga mangsa yang beragama Islam.

Sunday, October 10, 2010

10 - 10 - 10

Pasangan yang secocok
Hari ini merupakan hari ahad bertarikh 10/10/2010 ataupun lebih suka diringkaskan dengan nombor 10/10/10. Ramai yang mengambil peluang pada hari ini untuk mengadakan majlis yang penting dalam hidup mereka termasuk Angkasawan negara Dr.Syeikh Muszaphar Shukor dengan pasangannya Dr.Halina Mohd Yunos. Tahniah diucapkan kepada mereka yang selamat diijab kabulkan pukul 11.45 pagi tadi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Walau apa pun tarikh yang kita hadapi, ingatlah jangan terlampau taksub dengan nombor. Jadikan nombor itu sebagai keseronokan hidup tanpa percaya kepada benda yang karut marut di sebalik nombor. Mungkin ramai berseronok pada hari ini, mungkin juga ada yang meninggal dunia pada hari ini. Segalanya dalam ketentuan Allah...

Saturday, October 9, 2010

UPSR format baru dan mansuh PMR

Keputusan Kementerian Pelajaran untuk menukar Format peperiksaan UPSR dan memansuhkan PMR diganti dengan penilaian sekolah adalah satu tindakan yang tepat memandangkan sistem pendidikan berasaskan peperiksaan (exam oriented) semata-mata tidak mampu melahirkan pelajar yang keratif dan kritis di masa hadapan. Maka tidak hairanlah mengapa negara kita tidak mampu melahirkan pekerja yang inovatif dalam memacu pembangunan negara.

Rakyat minda kelas pertama hanya akan menjadi satu fantasi jika masih meneruskan sistem pemdidikan yang ada berteraskan penilaian peperiksaan semata-mata. Kita perlukan masyarakat yang lebih daripada itu. Otak manusia mampu pergi lebih jauh jika kita kreatif.

Jadi sistem pendidikan yang perlu ialah yang mampu melahirkan sebanyak mungkin manusia kreatif. Aku selaku rakyat yang pernah melalui sistem pendidikan di Malaysia ini merasakan ada sesuatu yang tidak kena selepas memerhati kawan-kawan dan diriku.

Persoalan yang aku selalu tanya ialah, kenapa kita tidak mampu dalam banyak perkara mencipta produk jenama Malaysia yang bermutu dan diyakini dunia. Contohnya, walaupun kita ada kereta keluaran tempatan, tetapi kenapa masih menempel rekaan dan teknologi daripada Jepun, Korea, dan Eropah? Malahan, jika kita tolak duti import kereta luar dan dibandingkan dengan kereta tempatan maka harga kereta tempatan lebih mahal dengan kualiti rendah. Ini adalah salah satu contoh daripada berpuluh-puluh lagi contoh yang boleh difikirkan.


Negara memerlukan manusia kreatif yang mampu menghidangkan rakyat dengan produk keluaran negara yang murah, berkualiti dan diyakini dunia. Segalanya bermula dengan mengubah sistem pendidikan negara bermula dari sekolah rendah.

Tuesday, October 5, 2010

10% Kepandaian dan 90% Keberanian

Apakah Kunci Kejayaan?

Dalam kehidupan ini kita sering bertanya kepada diri sendiri kenapa orang tu boleh berjaya dan kenapa kita tidak? 

Tidak kiralah dalam apa bidang sekalipun kuncinya tetap sama. Bacalah beratus-ratus buku motivasi pun saranan diakhirnya tetap sama iaitu BERTINDAK!

Untuk berjaya hanya 10% kepandaian sahaja menjadi penyumbang kepada kejayaan anda. Selebihnya adalah keberanian iaitu bertindak. Berani bertindak tanpa terlalu memikirkan akibat.

Apa sahaja perancangan anda, cita-cita anda dan matlamat anda. Mulakan sekarang! Bertindak sekarang! Selepas bertindak baru anda tahu kemampuan dan kekurangan anda. Baiki kekurangan dan jangan cepat putus asa. Semoga bulan oktober 2010 menjanjikan seribu satu kisah kejayaan kepada kita.

Thursday, September 30, 2010

Buang je dalam sungai...

Sungai yang dipenuhi sampah sangat kotor dan jijik
Sikap tidak peduli dan ambil mudah adalah punca keindahan alam tercemar seterusnya membawa kesan jangka panjang yang buruk kepada generasi akan datang.

Mungkin ada orang kata, "Alah, aku buang pembalut makanan jer kat dalam sungai, takde kesan pun".

Cuba bayangkan kalau semua 28 juta penduduk Malaysia berfikir macam tu. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Itulah yang kita rasa sekarang. Paling teruk, penduduk pinggir sungai ambil mudah dengan sistem pelupusan sampah mereka dengan buang ke dalam sungai. Aku pernah lihat dengan mata kepala aku sendiri. Maka, tak hairanlah sungai negara kita semakin tercemar.

Cuba tengok gambar di bawah:

Sungai yang nyaman dan segar
Nampak kuning tapi bersih, kuning sebab lumpur dasar sungai. Sungai sebegini syok memancing.
Apabila ditanya mahu tak sungai macam ni? semua cakap mahu. Tetapi kebanyakan tidak mahu berubah sikap untuk tidak buang sampah ke dalam sungai.

Hanya mereka yang sanggup berubah jer boleh kecapi nikmat alam semulajadi.

Wednesday, September 29, 2010

Gambaran Dajjal zaman ini...

Mungkin ramai orang ingat Dajjal adalah seorang manusia bermata satu.
Halaqah TV9 semalam sangat baik dalam memberi kefahaman kepada orang islam tentang gambaran Dajjal pada zaman ini. Ramai ingat Dajjal adalah seorang manusia yang bermata satu.

Sebenarnya keterangan hadis Rasulullah berkenaan kemunculan Dajjal dan tanda-tandanya merupakan simbolik. Jika kita faham secara ayat maka tepatlah Dajjal seperti gambaran dalam gambarajah di atas.

Walaubagaimanapun, Kata Dr. Danial bin Zainal Abidin dalam wawancara tersebut, Dajjal boleh datang dalam 3 bentuk:
  1. Dalam bentuk ideologi seperti isme-isme yang ada pada hari ini. Contoh Hedonisme, kapitalisme dan bermacam-macam lagi.
  2. Dalam bentuk kumpulan seperti kumpulan bawah tanah iluminati yang diteorikan mengawal dunia pada hari ini melalui Amerika dan Israel.
  3. Dalam bentuk individu yang kuat dan berpengaruh.
Organisasi Iluminati yang diangotai pemimpin besar dunia dikatakan mengawal dunia pada hari ini sehinggakan negara-negara Islam tidak mampu berbuat apa-apa.
Kalaulah macam apa yang disebut itu, maka kita pada hari ini sudah diserang Dajjal! Lihatlah tanda-tandanya...

Tuesday, September 28, 2010

Krisis Malaysia - Indonesia

Bendera Malaysia diconteng dan dibakar dalam mogok di Indonesia baru-baru ini
Demo yang berlaku di Indonesia baru-baru ini membuatkan aku terfirkir apa sebenarnya yang berlaku di sebalik semua ini? Adakah sebab benda yang kecil sudah cukup untuk isytiharkan perang antara 2 negara?

Setelah diselidiki dengan bertanya kepada orang-orang tua dan sedikit pembacaan maka baru aku tahu duduk perkara sebenar. Sebetulnya, perkara ini didalangi oleh pihak yang tidak senang dengan keamanan yang dikecapi oleh Malaysia mahupun Indonesia. Bagi mereka, perang bermakna untung!

Kenapa? Kerana mereka boleh campur tangan seterusnya menguasai sumber ekonomi yang ada dalam negara. Contoh yang paling mudah ialah apa yang berlaku di Iraq. Setelah banyak minyak disedut keluar semasa pendudukan askar Amerika, barulah mereka berundur.

Diceritakan oleh rakyat Malaysia yang pergi ke Indonesia. Majoriti rakyat mereka tiada apa-apa masalah macam majoriti rakyat kita. Cuma ada segelintir sahaja yang buat demonstrasi dan digembar-gemburkan oleh media. Sebab itu kita nampak macam masalah besar.

Oleh itu, walaupun kita tidak puas hati dengan kerajaan mahupun pembangkang, tak perlulah kita melakukan huru hara. Cukuplah dengan berdemosntrasi secara aman. Pihak polis pula jangan nak sembur tak tentu hala biar bagi nampak huru hara. Tak perlulah diulangi lagi peristiwa 13 Mei. Jangan nanti apabila kita mula hilang kuasa maka dibuatnya huru hara untuk mengembalikan sokongan orang ramai kepada pihak kita.

Monday, September 27, 2010

Jenayah berat yang menjadi-jadi...

Mangsa rompak Mat Rempit dikelar leher. Kejadian ini berlaku di Lebuhraya Persekutuan berdekatan susur keluar ke Padang Jawa.
Hari ini keluar lagi dalam Metro Online tentang seorang remaja dikelar lehernya selepas cubaan merompak oleh Mat rempit pada pukul 2.30 pagi di lebuhraya Persekutuan. Nampaknya semakin menjadi-jadi jenayah sejak akhir-akhir ini.

Jangan negara kita nanti jadi macam Amerika Syarikat yang ada satu kes yang berlaku, sekumpulan remaja bertindak memukul orang yang tidak dikenali mereka semata-mata untuk menghiburkan hati. Mereka menganggap, pukul beramai-ramai seolah-olah sebuah parti menghiburkan diri. Ini contoh masyarakat rosak.

Orang sekarang seolah-olah sudah tidak takutkan undang-undang lagi. Adakah ini bala daripada Allah kerana kita tidak mahu malaksanakan hukumNya?

Sebenarnya tiada undang-undang yang lebih bijak dan berkesan daripada hukum Allah kerana Allah yang mencipta manusia. Jangan nanti terkena kepada keluarga sendiri baru mempertikaikan undang-undang yang tidak berkesan. Fikirkan seolah-olah mangsa itu macam keluarga kita. Baru kita mahu undang-undang yang berkesan dikenakan terhadap penjenayah.

Sunday, September 26, 2010

Banjir di Pakistan, gambaran yang perlu dilihat...

Banjir melanda kawasan penduduk di Pakistan

Semuanya tenggelam dan rumah musnah akibat arus yang deras

Arus deras menyukarkan lagi misi menyelamat dan penghantaran bantuan

Bayangkan bagaimana ingin mendapatkan bekalan air bersih dalam keadaan sebegini?

Penduduk terpaksa mencari tempat yang tidak digenangi air

Air banjir ini dijangka surut dalam sebulan

Kanak-kanak adalah golongan yang paling mudah terkena penyakit bawaan air

Beginilah ujian yang menimpa hampir berjuta-juta rakyat Pakistan selepas berlaku banjir besar akibat salji yang mencair di Himalaya. Aliran sungai yang selalunya membantu pengaliran air ke laut akhirnya tidak dapat menampung pencairan salji. Akibatnya bandar di pinggir sungai semuanya ditengelami air. Lebih teruk lagi kebanyakan rumah rosak teruk akibat aliran deras air yang meruntuhkan dinding rumah. 

Banjir ini adalah yang paling buruk dalam sejarah Pakistan.

Sunday, September 19, 2010

Supermokh dalam National Geographic

National Geographic baru-baru ini mendokumentasikan kehidupan Supermokh sebagai atlet bola sepak Malaysia yang paling berjaya. Setelah menonton video itu aku merasa sangat bangga menjadi rakyat Malaysia. Rupa-rupanya kita orang Malaysia berbangsa melayu boleh berjaya kalau kita mahu. 

Jom tengok video di bawah:









Begitulah hebatnya Mokhtar dahari.
Seorang yang bekerja keras di padang...
Seorang yang merendah diri...
Seorang yang menjadi Inspirasi kepada ramai orang...
Seorang ketua keluarga yang baik...
Seorang yang tidak suka berfoya-foya, minum arak dan merokok...

Mokhtar dahari seorang lagenda. Kalau dia mampu kenapa kita tidak?
Aku harap dokumentari ini mampu menjadi suntikan semangat kepada atlet bola sepak tanah air. Kita mampu menjadi jaguh dunia kalau kita mahu...