Kisah

Kisah manusia yang berjiwa muda dan bebas...

Thursday, January 30, 2014

Penjual kelapa bertemu 'hantu jalan raya'

Tengah hari tadi saya minum air kepala dengan seorang teman di Danau Kota, Setapak. Saya bangga dengan peniaga buah kelapa pandan asal Jerantut dan peranakan Kelantan itu.

Katanya dia boleh jual sehingga 6,000 biji seminggu. Dia ambil kelapa itu dari Pahang yang diusahakan oleh Felda.
Sembang punya sembang, terkeluarlah cerita mengenai 'hantu jalan raya', yang menyamun dan kutip duit rakyat sesuka hati. Ia bermula apabila ditanya apakah setiap hari dia akan ke Jengka untuk ambil kelapa itu.

Jawabnya tidak, kalau pergi sendiri banyak masalah, tambang minyak, letih dan paling menggerikan pegawai JPJ dan juga polis, katanya.

"Nak pergi ambil sendiri rumit, lori saya kecil muat kira-kira 1 tan sahaja, kalau muat lebih nanti kena tahan JPJ, atau poilis cerita lain pula.." hurainya. 

"Cerita apa?" Saya tanya kebodohan. Kalau kena tahan katanya, JPJ akan minta duit untuk settle tanpa disaman. "Sambil menahan kita suruh berhenti menggunakan papan STOPnya, jarinya sudah bercabang, terguai-guai, kalau bercabang begini, (sambil membuat seperti lambang peace) ertinya RM200", jelasnya. 

"Dua ratus apa?" tanya saya. "Dua ratus riallah kena bagi...bukan dua puluh rial, Inchek," balasnya. "Bagi rasuah kata saya!" mahu kepastian.

"Eum....," katanya sambil mengenyit kening beberapa kali penuh kekesalan.

Mendengar itu darah saya meyirap terus ke kepala, nak hirup sisa air kelapa sudah tak ada selera lagi. Perkara itu kata peniaga kelapa berusian 57 tahun itu selalu terjadi. Bahkan kerap terjadi.

Saya tawar diri nak naik lori dia sekali dan alami kejadian seperti itu. Dia hanya mendiamkan diri dan tersenyum pahit. "Apa nak buat Inchek semuanya nak hidup..," katanya selamanya sambil membelah kelapa yang dioder pelanggan. Dua tiga empat orang pelanggan termasuk Cina dan India menanti layanannya.

Kalaulah begitu mudah dan ringkasnya rasuah berlaku, entahlah apa akan jadi kepada nasib rakyat negara ini. Rasuah menyebabkan rakyat terpaksa membayar tax yang tidak sepatutnya dijelaskan. 

Rasuah membenarkan 'hantu-hantu jalan raya' itu terus hidup dengan lidah terjeler panjang. Perasuah membelanjakan anak bini dengan duit yang dicekik dari orang seperti peniaga kelapa itu. Wassalam Mso.

Sumber : MSO
Baca lagi >>

Wednesday, January 29, 2014

Perang antara 3 kumpulan di Syria

Rancangannya mahu membunuh Mujahidin tetapi Rancangan Allah lebih hebat, dia terbunuh dalam perangkapnya.

"Liwa Al Tawhid" turut tidak terkecuali menjadi sasaran para pengebom berani mati puak pelampau Takfiri.
Jurukamera klip ini merupakan pengawal keselamatan di pusat pemeriksaan Liwa al Tawhid yang telah memberhentikan kereta ini untuk pemeriksaan sebelum dia melepasi pusat pemeriksaan itu.

Sewaktu dia mendekati kereta itu, lelaki di dalam kereta menarik picu bom dan kereta itu meletup serta merta dan serpihan kereta melayang keserata tempat.

Alhamdulillah, pengawal keselamatan itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan dan sempat menceritakan detik-detik berlakunya insiden cemas itu:

Lihat video ini:


Terjemahan Klip:

Saya lihat segala yang berlaku. Ini adalah kereta yang di gunakan pengebom berani mati (Daulat al Kufur in Iraq and Sham), (Jazrawi)= adalah singkatan perkataan Jazirat al Hijaz (raut wajah Arab).

Saya nampak dia menarik picu bom dan segera saya menunduk selepas melihat gerak gerinya, (Adakah dia mati serta merta?) Tidak, dia tidak mati serta merta. Saat saya nampak dia (Jazrawi), sedikit perasaan curiga muncul di dalam hati yang dia seperti mahu mengebom dirinya sendiri.

Dari jauh, saya mengarahkan dia keluar dari kereta untuk pemeriksaan kemudian saat itulah dia menarik picu bom dan segera saya menundukkan badan. (Adakah kamu tercedera?) Tidak, Alhamdulillah, Cuma kecederaan ringan.

Ini adalah serangan pengebom berani mati Daish di tanah kita. Mereka menggelarkan diri mereka (Daulat al Islam) tetapi sebenarnya mereka Daulat al Isharak wa al Kufur. Mengapa mereka mahu membunuh kami?

Pergi Jahannam, Jazrawi. Kamu panggil diri kamu seorang Muslim tetapi kamu membunuh saudara muslim kamu di Syria. Kamu hanya Islam pada nama tetapi hakikatnya kamu tidak tahu apa-apa tentang agama Islam.

Hasbuna Allah wa nima al wakeel.

Inilah keadaan sebenar yang sedang berlaku di Syria.

Tiga kumpulan; Sunnah, Syiah dan Kawarij. Mereka saling berbunuhan.

Ya Allah, bukakanlah selebarnya pintu hati kami menilai yang benar dan yang salah. Ya Allah, berilah kemenangan mereka kepada yang memperjuangkan agamaMu seikhlas hati, Ya Allah, porak perandakalah rencana musuh Kuffar.

Semoga kemenangan milik mereka yang berjuang fi sabil Allah. Allahumma Amiin.

Sumber : Syria Care
Baca lagi >>

Friday, January 17, 2014

Unit Amal terus dikagumi ramai dengan tindakan mereka kali ini

Antara produk daripada PAS yang berjaya ialah Unit Amal selain PASTI. Aku memang kagum dengan kecepatan dan inisiatif mereka tanpa memikirkan elaun dan gaji.

Berikut adalah cerita daripada Pemuda Gombak:
Pasukan Unit Amal Dewan Pemuda PAS mendapat pengiktirafan apabila diberi kepercayaan oleh pihak Polis untuk bertugas mengawal lalu lintas sempena Thaipusam esok.

Unit Amal Gombak diminta membantu pihak polis berkawal di kawasan lampu isyarat Pinggiran Batu Caves. Ia ekoran aduan orang ramai yang mendakwa berlaku kesesakan teruk di sepanjang jalan memalui Kg. Laksamana, Kg. Nakhoda dan Kg. Sg. Kertas apabila jalan utama ke Batu Caves telah ditutup untuk Thaipusam esok. 

Unit Amal PAS, atau lebih terkenal dengan jolokan 'tentera merah' sebelum ini menjadi bualan rakyat negara ini ekoran kepantasan mereka menghulur bantuan kemanusian ketika banjir melanda beberapa negeri khususnya Pahang dan Terengganu Disember lalu. 

Keikhlasan mereka dengan perinsip 'Beramal Kerana Allah" menjadikan pasukan sukarelawan PAS itu disegani kawan dan lawan.

Bagi aku kalau mereka tidak ikhlas tidak akan sanggup buat kerja-kerja sukarela macam ini. Apapun tahniah buat Unit Amal semoga dakwah anda terus sampai ke hati masyarakat umum.
Baca lagi >>

Monday, January 13, 2014

Meraikan kematian manusia kejam dan hina

Bagi orang Islam yang beriman, kehidupan merupakan sebuah penjara dan kematian merupakan nikmat kerana mereka dijanjikan Syurga.

Bagi orang bukan Islam, dunia ini adalah syurga buat mereka dan apabila mati kelak jika masih dalam keadaan tidak beriman kepada Allah maka neraka yang kekal buat mereka.

Apatah lagi jika orang kafir yang mati itu adalah manusia yang kejam dan suka hati membunuh manusia lain yang tidak bersalah.

Umat Islam meraikan kematian Ariel Sharon si pembunuh tegar rakyat Palestin. Sejak berusia 17 tahun dia ini memang suka mencari pasal dengan rakyat Palestin.
Dikatakan rakyat Palestin pengganas padahal dia yang lebih ganas membaham umat Islam.

Kenapa umat Islam meraikan kematian manusia seperti ini?

Sebabnya mereka yakin dengan janji Allah tentang neraka yang membakar untuk manusia kafir lagi kejam ini.
Bangsa Yahudi yang memang terkenal dengan sikap angkuh dan sombong ini disebut banyak kali di dalam Al-Quran. Malah ramai Nabi diutuskan dikalangan mereka.

Sedihnya ramai dikalangan mereka tetap ingkar dan mengaku bangsa terbaik di dunia.
Lihatlah nanti nilai semangat kebangsaan itu di akhirat. Adakah masih bernilai atau perkara itu akan jadi punca dihumban ke dalam neraka Allah.

Di dunia ini dia mungkin boleh ketawa riang membaham umat Islam. Tetapi sekarang dia akan tahu azab sebenar di alam kubur yang jauh lebih perit daripada seksaan dunia.

Semoga manusia seperti ini kita jadikan iktibar kerana hidup kita di dunia ini tidak kekal.
Baca lagi >>

Saturday, January 11, 2014

Genaplah sudah umur Tuan Guru 83 tahun

Semalam 10 Januari 2014 adalah hari lahir Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Seorang insan yang banyak berjasa kepada negeri Kelantan dalam memartabatkan Islam.

Atas jasa beliau yang memindahkan semua wang kerajaan negeri Kelantan ke dalam perbankan Islam telah membuka mata syarikat bank untuk mengembangkan cabang Islamik.

Betapa kita lihat hari ini hampir kesemua bank ada cabang Islamic Banking.
Gambar ini diambil daripada FB Ahmad Fadhli Bin Shaari, bekas setiausaha akhbar Tuan Guru semasa menjadi MB Kelantan.

Petikan daripada gambar itu:
Gambar ini diambil 3 hari lepas sewaktu saya dipanggil oleh Tuan Guru ke pejabatnya untuk berbincang sedikit sebanyak tentang isu-isu semasa. Beliau agak keletihan dan meminta diurut di sebelah lengannya.
Saya maklumkan kepada beliau bahawa Pemuda Pas Kelantan akan mengunjungi Mufti Kelantan keesokan harinya. Beliau ternyata sangat teruja dan sejurus sahaja selepas pertemuan berlaku, saya dihubungi oleh beliau untuk bertanyakan perkembangan. Nyata sekali kecaknaan dan keprihatinan beliau langsung tidak pernah luput. 
Hari ini 10 Januari 2014, jika menurut nombor kad pengenalannya, genaplah hari ini umur Tuan Guru 83 tahun mengikut tahun masihi. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada beliau kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan untuk meneruskan perjuangan di atas jalan ini, Insha Allah...
Muhasabah diri kita balik. Apa yang telah kita buat untuk Agama Islam? Apa bekal yang akan kita bawa untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi kelak?

Semoga kita juga tergolong di dalam golongan pejuang Islam yang dikasihi Allah.
Baca lagi >>

Sunday, December 8, 2013

Nelson Mandela menziarahi makam tokoh ini sebaik bebas dari penjara 30 tahun

Kematian tokoh hebat Afrika dirasai hampir seluruh penduduk dunia. Dia adalah tokoh yang membebaskan Afrika daripada krisis atas dasar kulit. Dia juga adalah tokoh yang menghormati penganut agama Islam di Afrika.

Maka tidak hairanlah jika dia berjaya menukar Afrika Selatan kepada sebuah negara yang hebat dan berdaya maju.
Antara tulisan mengenang jasa tokoh hebat ini saya tertarik dengan tulisan Dr. Hafidzi Mohd Noor di Facebook beliau:
Kematian Nelson Mandela mengingatkan kita kepada seorang lagi tokoh yang mungkin tidak dikenali di luar dari negara jiran Indonesia dan Afrika Selatan.
Tokoh ini digelar sebagai 'Tuanta Salamaka' dan disebut oleh Nelson Mandela sebagai 'Putera terbaik pernah dilahirkan Afrika Selatan'. 
Sebaik bebas dari tahanan selama 30 tahun, Nelson Mandela menziarahi makam tokoh ini. 
Beliau tidak lain adalah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al Makassari.
Berasal dari Gowa, Sulawesi dilahirkan pada tahun 1626 dan meninggal dunia pada tahun 1699 di Afrika Selatan. 
Apabila Gowa ditakluk oleh Belanda, Syeikh Yusuf Tajul Khalwati berhijrah ke Banten. Beliau telah diangkat menjadi qadhi dan di ambil sebagai menantu oleh Sultan Ageng Tirtayarsa. 
Di sinilah berlakunya episod paling sedih dalam sejarah umat Islam Nusantara apabila baginda Sultan (ayah) berperang dengan anaknya Sultan Haji yang memihak kepada Belanda. 
Kerajaan Banten dikalahkan dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati di tangkap dan dibuang ke pulau Ceylon (Sri Langka) pada tahun 1684. 
Keberadaan Syeikh Yusuf menjadi tarikan para jemaah haji yang singgah untuk belajar dari beliau. 
Belanda menganggap beliau sebagai ancaman kepada tanah jajahannya di Nusantara telah menghantar Syeikh Yusf lebih jauh iaitu ke Afrika Selatan pada tahun 1693. 
Di sanalah belaiu meninggal dunia pada tahun 1699. Sumbangannya kepada perkembangan dakwah Islam di Afrika Selatan sangat besar. 
Beliau adalah sosok ulama pejuang Nusantara yang mewakili ratusan ulama dan pejuang dari Nusantara yang diasingkan oleh Belanda pada kurun ke 17 dan 18 M. (Di antara mereka Syeikh Abdullah Qadhi Abdul Salam, Tuan Syed Alawi, Syeikh Madura dll). 
Perjuangan ulama dan mujahid dari seluruh nusantara di Afrika Selatan ini wajar dihayati dan dikuasai oleh umat Islam. Ia adalah bahagian yang integral dan tidak terpisah dari warisan perjuangan Islam bukan sahaja di nusantara bahkan seantero alam islami.
Lumrah orang yang berilmu dibuang ke laut pun boleh jadi pulau. Ke mana sahaja mereka dibuang tetap akan memberi manfaat kepada orang sekeliling.

Ini kerana matlamat mereka satu iaitu kebahagian di akhirat yang kekal abadi.
Baca lagi >>

Tuesday, October 29, 2013

Husam Musa Kena Contohi Zaqhanus

Baru-baru ini, dewan persidangan Dun di Kelantan gempar dengan tindakan Husam mempersoalkan beberapa hal berkaitan pengurusan kerajaan negeri.

Husam dilihat menzahirkan kelemahan kerajaan Kelantan yang tidak sampai setahun dipimpin oleh MB baru.

Apa yang jadi persoalan ialah, adakah Husam yang sebelum ini menjadi Exco tidak nampak dan cuba selesaikan kelemahan kerajaan Kelantan sebelum ini?
Tindakan Husam ini menunjukkan sedikit sebanyak kekecewaan beliau apabila tidak dilantik pemimpin kanan kerajaan negeri apatah lagi Exco walaupun cuba dinafikan beliau.

Kalau ikhlas ingin tegur kepimpinan baru kenapa tidak jumpa terus atau tegur dalam mesyuarat dalaman?

Sangat merisaukan apabila orang sehebat Husam Musa mengikut jejak langkah beberapa orang pemimpin PAS yang seolah-olah tidak boleh bekerja tanpa jawatan dan mengamuk apabila tidak dipilih sebagai pemimpin dalam PAS.

Contohnya adalah seperti Ustaz Nasaruddin Mat Isa dan Dr.Hassan Ali. Sekarang ini kemana mereka? Adakah mereka yang rugi atau PAS yang rugi?

Penyakit ini sebenarnya sering dihidapi oleh mereka yang telah lama memegang jawatan penting. Apabila tidak dilantik mereka akan mula panas punggung tidak tahu buat apa.

Husam sepatutnya mengambil contoh dan iktibar daripada sejarah iaitu Panglima Zaqhanus.

Paglima Zaqhanus adalah antara ketua pasukan tentera yang dilantik oleh Sultan Muhammad Al-Fateh dalam misi menawan Kota Konstantinopel.

Beliau mengetuai angkatan tentera laut bagi menguasai pelabuhan tanduk emas. Oleh kerana Pelabuhan itu dijaga pintu masuknya oleh rantai besi yang besar dan kukuh maka misi itu dilihat mustahil.

Panglima Zaqhanus yang dilihat lemah semangat akibat kegagalan demi kegalan dihadapinya akhirnya dipecat oleh Sultan Muhammad Al-Fateh dan digantikan dengan Panglima Palta Oglu.

Panglima Palta Oglu juga dilihat gagal dalam misi menguasai pelabuhan itu juga dipecat dan digantikan oleh Panglima Hamzah Pasha.

Apa yang menarik melalui lakaran sejarah ini ialah sikap Panglima Zaqhanus yang tidak marah, kecewa dan malu walaupun dipecat.

Perkara ini dapat dilihat apabila dia ada didatangi wakil Maharaja Konstantinopel untuk belot kepada Sultan. Dia dijanjikan emas, pangkat dan intan permata kalau setuju.
Akan tetapi sebab matlamatnya jelas untuk syahid maka dia menolak tawaran itu.

Dia terus menjalankan tugas sebagai mujahidin di medan perang sampai satu ketika mesyuarat pemutus sama ada misi perlu diteruskan atau tidak. Panglima Zaqhanus lantang bersuara supaya misi perlu diteruskan.

Sultan dan ramai dikalangan orang kanan rasa bersemangat selepas mendengar kata-kata Zaqhanus untuk meneruskan perang.

Selepas Sultan mengambil keputusan untuk teruskan peperangan semua tentera dibahagikan kepada 3 kumpulan dan salah satu kumpulan dipimpin oleh Panglima Zaqhanus.

Apa yang boleh dipuji ialah sikap Zaqhanus yang tidak mudah kecewa dengan jawatan apabila beliau dipecat. Dia terus berjuang dengan ikhlas dan akhirnaya dilantik sekali lagi sebagai ketua sehingga kemenangan terhasil di pihak Islam.

Husam sepatutnya jangan risau. Teruskan bekerja walaupun tiada memegang jawatan dalam kerajaan negeri. Jika dia terus ikhlas lambat laun orang yang sehebat beliau akan dilantik juga memegang jawatan penting apabila tiba masanya.

Jawatan, kejatuhan, kemenangan dan kekalahan adalah milik Allah untuk tentukan. Ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Hanya Allah yang mengetahui.

Husam sepatutnya mengambil jalan yang lebih proaktif dengan cuba menjalankan projek kerajaan negeri sebelum ini dengan lebih cemerlang.

Contohnya projek Lebuh Raya Rakyat, dinar emas dan projek perladangan. Jangan sampai semua itu menjadi projek gajah putih.

Di dalam PAS sendiri berapa ramai contoh terbaik individu yang ada ketika kalah ada ketika menang, ada ketika dilantik dan ada ketika tiada jawatan. Mereka ini terus ikhlas bekerja sehingga orang kagum dengan mereka bukan sebab jawatan tetapi sebab keikhlasan mereka berjuang.

Baca lagi >>

Monday, October 28, 2013

Travelog di Bumi Iraq Siri 6

Catatan syiah yang ku kenali siri 6

Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah ke tangan pasukan Mongul Tartar tidak lepas daripada pengkhianatan tokoh Syiah Rafidhah bernama Alauddin Ibnu Alqani dan seorang menteri syiah bernama Nashiruddin Ath-Thusi. 

Wujud pakatan sulit antara pasukan Mongul Tartar dan kelompok Syiah di dalam Kerajaan Abbasiyyah dengan hasrat menjatuhkan pemerintahan Daulah Abbasiyah, kemudian menggantikannya dengan Daulah Fathimiyah.

Kisah sedih ini diceritakan Dr. Raghib As-Sirjani “Qishah At-Tatar min Al-Bidayah ila ‘Ain Jalut” sementara Dr. Muhammad Ali Ash-Shalabi menceritakan dalam bukunya “Al-Moghul Baina Al-Intisyar wa Al-Inkisyar” 
Ibnu Alqani dilantik sebagai perdana menteri oleh Khalifah Al-Mu’tashim Billah sementara Nashiruddin Ath-Thusi sebagai menteri. 

Sepatutnya mereka bertindak mempertahankan Negara tetapi sebaliknya mengadakan hubungan sulit dengan pimpinan bangsa Mongul Tartar dan membuka jalan pasukan kafir tersebut untuk masuk dan menyerang kota Baghdad. 

Ibnu Katsir menceritakan, “Ibnu Alqani menulis surat kepada pasukan Tartar yang isinya menyokong mereka menguasai Baghdad dengan memperincikan setiap peta jalan bagi kemudahan mereka menyerang Baghdad. Kelemahan-kelamahan pertahanan Khilafah Abbasiyah juga didedahkan.” 

Paling keji, Ibnu Alqani menipu Khalifah kononnya suatu pasukan utusan diplomatik dari Mongul akan tiba untuk melawat Baghdad. Kita perlu membuka pintu kota seluas-luasnya untuk menyambut mereka. Maka keluarlah pembesar-pembesar kerajaan Abbasiyah beramai-ramai untuk menyambut mereka tanpa membawa senjata. 

Akhirnya yang tiba bukan utusan diplomatik, tetapi pasukan tentera Mongul yang besar dan ganas. Dengan pintu kota yang sedia dibuka, Baghdad berhasil takluk dengan mudah. Khalifah Al-Mu’tashim Billah terbunuh pada 14 Shafar 656 H. 

Pengkhianatan itu mengakibatkan ramai ulama yang terbunuh, sekolah-sekolah dan masjid yang hancur, perpustakaan sebagai gudang ilmu luluh, ratusan ribu ummat Islam dibunuh dan kekejaman lain sangat yang luar biasa. Kota Baghdad bersimbah darah. Pusat peradaban Islam yang gemilang, tinggal kenangan.

Tujuan sejarah duka kejatuhan Abbasiyyah saya imbas kembali kerana kita manusia perlu belajar dari sejarah. Sejarah ini wajib kita maklumi. 

Iraq adalah sebuah Negara yang mengamalkan sistem khidmat wajib ketenteraan. Setiap rakyatnya yang mencapai umur 20 tahun wajib menyertai tentera. Kalau mereka menyambung pengajian, masa khidmat ditangguhkan sehingga tamat belajar. 

Tempoh khidmat wajib ini berbeza. Sekiranya Negara dalam keadaan aman, tempohnya 3 tahun bagi mereka yang tidak memiliki ijazah atau diploma. Tempoh setahun setengah bagi pemegang ijazah atau diploma. Dalam suasana perang, tempoh khidmat tiada had sehingga selesai konflik peperangan. 

Sedia dimaklumi bahawa penganut syiah Iraq adalah anti kerajaan era Saddam yang didominasi Muslim Sunni. Tetapi kerana mereka tidak memiliki kekuatan, penentangan ini lebih kepada silent protest serta kadang-kadang gerakan subversif. 

Walaupun anti kerajaan, lantaran undang-undang khidmat wajib tentera, mereka wajib berkhidmat sebagai askar. Dengan nisbah muslim dan sunni yang seimbang, bilangan mereka juga dalam tentera tentunya sangat ramai. Walaupun begitu, pegawai-pegawai tinggi tentera hampir keseluruhannya adalah Muslim Sunni. 

Ketika keadaan kelam kabut dan kacau bilau ekoran serangan Amerika yang membawa kejatuhan Saddam pada 2003, tidak keterlaluan kalau saya senaraikan, antara punca kelemahan pertahanan Iraq adalah kerana ramainya tentera yang berjuang sambil lewa serta lari meninggalkan medan pertempuran. 

Siapakah tentera yang khianat ini? Saya tidak berhajat memberikan jawapannya.
Tetapi lihatlah siapakah yang dipilih oleh Amerika sebagai boneka untuk menerajui Iraq selepas era Saddam. Nuri al Maliki, seorang tokoh syiah yang mempunyai hubungan rapat dengan Amerika, terlibat dalam gerakan subversif menentang kerajaan sehingga beliau melarikan diri dari Iraq pada tahun 1979 dan mendapat perlindungan politik di Syria dan Iran sehinggalah beliau kembali ke Iraq setelah kejatuhan Saddam pada 2003. 

Adakah beliau turut berperanan dengan kejatuhan Iraq kepada Amerika? Ya! Sudah tentu! Dengan perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri serta kerajaan yang didominasi penganut syiah, maka bermulalah mimpi ngeri kepada Muslim Sunni di Iraq. 

Sehingga sekarang, saya masih berhubung dengan kawan-kawan sekuliah di kalangan muslim sunni yang merantau membawa diri ke pelbagai negara seperti Turki, Swiss, Qatar, Dubai, Jordan dan lain-lain termasuk Malaysia ekoran desakan hidup serta ancaman terhadap nyawa dan keselamatan. Saya akan ceritakan kisah sedih mereka nanti.

Mungkin ada yang bertanya. Adakah Saddam seorang Islamik? Jawabnya tidak. Parti Baath yang diterajuinya adalah sebuah parti Sosialis. 

Semoga Allah merahmati seorang Syeikh yang alim lagi wara’ bila saya ajukan persoalan berkenaan Saddam sebelum kepulangan saya dulu. Jawapan beliau cukup dalam dan tidak saya fahami ketika itu. “Adanya Saddam adalah bala kepada Islam di Iraq, jatuhnya Saddam akan mengundang bala yang lebih besar.” Sahabat semua tentu telah dapat memahaminya.

============================

Tulisan ini dipetik daripada Facebook Dr.Azman Ibrahim.

Oleh kerana kisah pengembaraan beliau sangat menarik maka saya abadikan dalam blog ini untuk tatapan kita semua di masa akan datang.

InsyaAllah menurut kata beliau travelog ini akan dibukukan dalam masa terdekat. Sudah tentu ceritanya lebih lengkap, teratur, terperinci dan menarik. Sama-sama kita tunggu penerbitannya.

Baca lagi >>

Kuih Naik Harga 50sen Sebiji!

Sekali fikir gula naik 34sen sahaja. Bukan banyak sangat pun. Paling banyak untuk sekeluarga mungkin 4 - 7kg sebulan beli gula.

Katakan 5kg sebulan untuk sebuah keluarga, sebulan baru RM1.70 kos yang akan meningkat.

Dua kali fikir kita akan nampak gula naik maka harga makanan di restoren mamak dan kuih Mak Jah yang kita beli setiap pagi ditepi jalan semasa hendak pergi kerja turut akan naik.

3 tahun lepas sebiji kuih boleh dapat harga 30sen. Setahun lepas 40sen sebiji dan mungkin selepas ini akan naik 50sen untuk sebiji kuih.
Kita pula selepas ini tidak lagi boleh beli 3 biji kuih untuk sarapan, mungkin 2 biji kuih supaya tidak lebih bajet bulanan.

Orang kata kita kena belajar untuk berjimat mulai sekarang, hentikan tabiat bermewah-mewah.

Bagi saya sangat setuju dan sokong 100% untuk belajar berjimat kalau negara kita tiada hasil bumi yang banyak, tanah tidak subur, sering berlaku bencana alam dan ada perang saudara.

Hakikatnya negara kita aman tanpa semua di atas. Rakyat sekarang kena berjimat bukan sebab-sebab di atas tetapi sebab lain.

Sebab utama ialah kerajaan sekarang tidak pandai mengurus kewangan negara hingga banyak tiris. Buktinya laporan audit negara.

Projek sebuah sekolah sepatutnya RM13juta sudah cukup jadi RM30juta sebab ramai orang nak komisyen. Kalau macam ini gaya pemimpin berbelanja memang sentiasa tidak cukup duit kerajaan walaupun seribu satu cukai baru dikenakan.

Tiga kali fikir mungkin ini bala daripada Allah sebab orang Islam di Malaysia sendiri masih ramai tidak amalkan cara hidup Islam sebenar. 

Nama sahaja Islam, pakaian seksi mengalahkan orang bukan Islam.
Nama sahaja tudung, baju ketat sampai nampak bentuk macam-macam.
Nama sahaja ulama, tetapi sokong pemimpin korup, tidak jaga aurat.

Golongan seperti inilah sebenarnya yang akan terus memberi nyawa kepada pemimpin bermasalah. Sebab itu orang kata pemimpin itu cerminan rakyat. Nak tengok rakyat majoriti macam mana di sesebuah negara itu tengoklah pemimpinnya.

Mungkin bala kecil ini cara Allah ingatkan kita untuk kembali kepadanya. Bukan kita sahaja tetapi kena usaha ajak orang lain sekali.

Tugas pendakwah di Malaysia masih jauh dan mencabar. Dakwah orang Islam sendiri satu hal dan dakwah kepada orang bukan Islam hal yang lain pula.

Kalau kita tidak hiraukan bala kecil ini jangan terkejut kalau bala besar datang seperti ekonomi negara jatuh bankrup menyebabkan kita merana seperti berlaku kepada sebuah negara di Eropah.

Adakah masa itu baru kita insaf?

Baca lagi >>

Sunday, October 27, 2013

Travelog di Bumi Iraq Siri 5

Catatan syiah yang ku kenali siri 5.

Tanggapan buruk dan tuduhan melampau penganut syiah terhadap para sahabat r.a adalah perkara yang sudah dalam makluman sejak sekian lama. Lantaran itu saya sentiasa mengambil sikap berhati-hati untuk membincangkan topik ini bersama mereka. 

Ibarat anak dagang di rantau orang, kena pandai membawa diri. Apatah lagi di Kuliyah Perubatan dan Pergigian University of Baghdad ketika itu, bukan setakat saya anak Malaysia tunggal malah saya satu-satunya pelajar bukan Arab yang wujud. 

Mungkin sahabat-sahabat berpendapat, kebenaran wajib dizahirkan walau di mana kita berada. Ya! Saya akui hakikat dan tuntutan itu tetapi kita perlu berpijak di bumi nyata. 

Siapalah kita yang bersendirian di rantau orang untuk mengubah suatu anutan dan pegangan yang telah diwarisi dari datuk nenek moyang mereka lagi. 

Lantaran itu saya lebih bertindak sebagai pencari fakta dan maklumat untuk dibawa balik ke tanah air dan di sinilah medan kita untuk menyatakan kebenaran.

Walaupun dalam keadaan beringat, akhirnya hari panas dan tegang berlaku juga tanpa diundang. Seorang teman (tentunya syiah) yang tinggal di pinggir Baghdad berkali-kali memaklumkan keluarganya sangat ingin untuk bertemu dan berkenalan dengan saya. 
Undangan mereka saya tunaikan sebaik sahaja selesai menghadapi peperiksaan akhir di tahun keempat pengajian. Sekitar bulan Julai 1997, ketika cuaca panas membahang dengan suhu melebihi 45°C, di satu penempatan syiah dipanggil Hayyu Adil.

Sebagaimana lazimnya, air sejuk di dalam teko akan diangkat sebagai memuliakan tetamu sebelum kita dijemput menikmati hidangan tengah hari. 

Bersama beberapa orang abang teman saya, kami berbual-bual sebelum hidangan tengah hari disiapkan. Bertamu ke rumah orang Arab, jangan mimpi kita nak tengok ahli keluarga wanita mereka, ini adat yang mereka pegang samada sunni atau syiah.

Tanpa diduga, keluar satu soalan dari mulut seorang abangnya, “Azman, kamu di Malaysia orang Islam yang baik. Apa pandangan kamu tentang sahabat-sahabat Rasulullah?” 

“Sahabat Rasulullah ramai, yang mana satu saudara maksudkan?” soal saya balik sebenarnya dengan tujuan ingin mengelak. 

“Muawiyyah!” jawabnya tegas. 

“Ya Allah! Cari penyakit sungguh aku hari ini...”

“Kalau jawapan saya tak sependapat dengan saudara semua, bolehkah kita sama-sama berlapang dada menerimanya?” Soal saya lagi. “Tak apa, kami nak dengar saja apa pandangan Muslim di Malaysia.” Saya lega...

Lalu saya memulakan bicara. Bagi saya para sahabat Rasulullah s.a.w adalah generasi terbaik selepas Rasulullah. Merekalah generasi yang telah mengorbankan masa, tenaga, harta dan nyawa demi dakwah Islam yang diperjuangkan Baginda Rasul. 

Setiap mereka ada fungsi dan kehebatan masing-masing. Ali adalah gedung ilmu, Uthman adalah gedung kekayaan ummat, Umar dengan keberaniannya dan Abu Bakar dengan kebenarannya. Semoga Allah meredhai mereka semua. 

Rasulullah juga berpesan; “Ikutlah sunnahku dan sunnah para sahabatku.” Nabi yang mulia juga turut berpesan; “Jangan kamu caci-maki para sahabatku.” Kemulian mereka dengan kita terlalu jauh sehingga Nabi pernah bersabda mafhumnya; Kalau kita sedekahkan emas sebesar Bukit Uhud sementara sahabat nabi hanya bersedekah secupak emas, sedekah kita tidak akan dapat menandingi para sahabat. 

Memang saya akui terdapat peristiwa-peristiwa yang menyedihkan berlaku selepas kewafatan Rasulullah yang melibatkan para sahabat Nabi seperti Peperangan Siffin dan Perang Jamal, yang kita telah pelajari kisahnya. 

Tetapi kita bukanlah hakim untuk menentukan siapa benar dan siapa salah. Tidak pernah saya ketemu seorang ahli sejarah Islam yang muktabar apabila membicarakan hal kedua-dua peperangan ini membuat kesimpulan dengan menentukan siapa benar dan siapa salah.

Panjang lebar saya bersyarah. Kemudian di sambung; “berhubung dengan Muawiyyah, pendirian kami, beliau juga adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang berjasa besar kepada Islam dan perjuangan Islam. Jasa Syaidina Ali k.w tentunya lebih besar.” 

Bila saya menyebut “Muawiyyah adalah salah seorang sahabat Rasulullah...” sangat ketara air muka mereka berubah dengan mendadak, nafas menjadi turun naik menahan kemarahan.

Walaupun begitu, saya cuba menyambung lagi, “Khalifah Umar Abdul Aziz pernah ditanya pandangannya tentang Muawiyyah, lalu Umar Abdul Aziz menyatakan... debu-debu yang melekat di hidung kuda Muawiyyah yang berjihad di jalan Allah lebih mulia dari batang tubuh manusia yang bernama Umar Abdul Aziz...”

Saya tak sempat menjelaskan lebih lanjut, dengan nada tinggi mereka membantah…

“Azman! Kamu memuji Abu Bakar, sedangkan Abu Bakar adalah perampas!” 

“Yaa akhie, apa yang Abu Bakar telah rampas?” 

“Dia telah merampas hak Imam Ali untuk menjadi khalifah!” 

“Silap tu wahai saudaraku, tahukah kamu bagaimana kaedah pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah? Abu Bakar dipilih secara syura di kalangan kaum muslimin dan di bai’ah oleh mereka semua termasuk Imam Ali k.w.” 

“Mana adil Abu Bakar menjadi khalifah sedangkan Imam Ali lebih baik dan lebih layak?” 

“Apa ukuran yang kamu guna wahai saudaraku untuk mendakwa bahawa Imam Ali lebih layak?” 

“Imam Ali telah Islam semenjak kanak-kanak lagi, dia tidak pernah sujud kepada berhala. Abu Bakar Islam ketika telah dewasa dan dia pernah sujud kepada berhala.” 

“Astaghfirullah... mengucap saudaraku. Silap besar kamu berfikiran begitu. Aturan Allah menentukan perutusan Nabi berlaku ketika Ali masih kanak-kanak sementara Abu Bakar telah dewasa. Sebagaimana Ali adalah generasi yang paling awal beriman, begitulah juga Abu Bakar. Tuduhan kamu bahawa Abu Bakar adalah penyembah berhala merupakan tuduhan keji dan batil terhadap sahabat Nabi yang agung. Abu Bakar seorang ‘hanifah’. Dia tidak menganut agama penyembahan berhala walaupun ketika zaman jahiliah.” 

“Azman! Imam Ali seorang yang sangat berani, dia yang tidur di atas tempat tidur Nabi ketika hijrah dalam keadaan rumah Nabi dikepung kaum musyrikin!” 

“Yaa, tepat sekali. Syaidina Ali adalah seorang yang sangat berani. Dialah yang memegang panji-panji tentera Islam ketika pembukaan Khaibar. Tetapi kamu jangan nafikan bahawa Abu Bakar yang menemani Nabi dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Saudaraku, siapa yang mereka-reka tuduhan yang begini buruk terhadap Abu Bakar?” 

“Ianya diajar oleh Imam-Imam kami ahlul bait!” 

“Saya tak percaya! Imam mana yang ajar begitu? Contohnya Imam Ja’far as Sadiq, salah seorang Imam 12. Betul dia cucu Imam Ali k.w dari sebelah bapanya, tapi dia juga adalah cicit Abu Bakar dari sebelah ibunya. Mustahil dia akan menuduh begitu terhadap moyangnya sendiri!”

Buntu bab Abu Bakar, mereka beralih kepada Umar.

“Umar juga perampas! Dia seorang penyembah berhala yang kufur di zaman jahiliah. Pernah membunuh anaknya sendiri. Manusia sebegini kamu akui sebagai Khalifah Rasulullah?” 

“Saudaraku! Islamnya seseorang akan memadamkan segala kisah silamnya. Apa hak kamu semua untuk mengungkit semua ini? Lebih-lebih lagi Umar seorang ‘Ahli Badar’ yang dijamin syurga oleh Rasulullah. Dia juga dilantik sebagai khalifah dengan bai’ah kaum Muslimin termasuk dibai’ah oleh Imam Ali k.w. Sebagaimana Imam Ali syahid ditikam, Umar juga seorang syuhada’. Siapa kita nak mengeji dan menghukum Umar sebagai kufur. Dia adalah khalifah yang sangat adil, memikul gandum untuk fakir miskin dengan bahunya sendiri. Wafat tanpa meninggalkan apa-apa harta.”

Mereka beralih pula kepada Muawiyyah bin Abi Sufian r.a.

“Celaka atas kamu dan laknat Allah ke atas Muawiyyah yang kamu iktiraf sebagai sahabat Rasulullah! Bagaimana manusia yang kamu iktiraf sebagai sahabat nabi yang berjasa besar kepada Islam boleh memerangi seorang ‘Waliyullah’? Ini manusia pembunuh! Kufur! Laknat! Anaknya juga seorang pembunuh! Semoga Allah mencampakkan dia ke dalam neraka jahannam!”

Saya melihat kepanasan telah mendidih, kata-kata yang keluar adalah dari luapan emosi marah yang melampau. Lebih baik saya mengundur diri.

“Saudaraku, saya telah mengingatkan diawal tadi. Pendirian saya akan bertentangan dengan saudara semua, tapi saudara nak dengar juga. Saya di sini sebagai tetamu. Aib bagi saya untuk berbalah dengan tuan rumah. Izinkan saya berundur. Ma’assalaamah...”

Pergilah diriku tanpa sempat menjamah makan tengah hari.

============================

Tulisan ini dipetik daripada Facebook Dr.Azman Ibrahim.

Oleh kerana kisah pengembaraan beliau sangat menarik maka saya abadikan dalam blog ini untuk tatapan kita semua di masa akan datang.

InsyaAllah menurut kata beliau travelog ini akan dibukukan dalam masa terdekat. Sudah tentu ceritanya lebih lengkap, teratur, terperinci dan menarik. Sama-sama kita tunggu penerbitannya.

Baca lagi >>